Xiaomi Redmi 6 Dan Redmi 6A Dilancarkan Secara Rasmi Di Malaysia Pada Harga RM499 Dan RM349 Comments Off on Xiaomi Redmi 6 Dan Redmi 6A Dilancarkan Secara Rasmi Di Malaysia Pada Harga RM499 Dan RM349

Hari ini Xiaomi Malaysia telah mengumumkan pelancaran dua model mampu milik terbarunya dari siri Redmi iaitu Redmi 6 dan Redmi 6A untuk pasaran tempatan.

Xiaomi Redmi 6 dan Redmi 6A dilengkapi dengan paparan skrin 18:9 berukuran 5.45 inci HD+ (1440 x 720 piksel), dioperasikan dengan antaramuka MIUI 9 berasaskan Android 8.1 Oreo, bateri berkapasiti 3000 mAh, sambungan WiFi 802.11 b/g/n, Bluetooth v4.2, port microUSB, dan juga kamera hadapan beresolusi 5 Megapiksel.

Xiaomi Redmi 6

Xiaomi Redmi 6 yang dikuasakan dengan pemproses MediaTek Helio P22 berasaskan proses 12nm ini menjanjikan penggunaan tenaga 48% lebih efisien berbanding pemproses 28nm. Ia juga turut menyokong memori yang lebih besar iaitu 32GB + RAM 3GB dengan sokongan keupayaan penggambaran dwi kamera beresolusi 12 Megapiksel + 5 Megapiksel.

Xiaomi Redmi 6A

Xiaomi Redmi 6A pula dikuasakan dengan pemproses MediaTek Helio A22 yang juga berasaskan proses 12nm. Walau bagaimanapun, ia menyokong memori yang lebih kecil iaitu 16GB + RAM 2GB dengan sokongan satu lensa kamera beresolusi 13 Megapiksel.

Kedua-dua model mampu milik ini akan ditawarkan dalam tiga warna pilihan iaitu emas, biru atau hitam, dan akan dijual bermula 25 Julai 2018 nanti. Xiaomi Redmi 6 akan dijual pada harga RM499 dan Redmi 6A pula boleh dimiliki pada harga RM349 di beberapa saluran berbeza iaitu Lazada, Mi Store dan juga Mi Zones. Model Redmi 6 juga akan turut dijual melalui platform e-dagang Shopee.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend