Xiaomi Mi MIX Alpha Turut Diperkenalkan Dengan Nisbah Skrin-Ke-Kerangka Cecah 180.6% Comments Off on Xiaomi Mi MIX Alpha Turut Diperkenalkan Dengan Nisbah Skrin-Ke-Kerangka Cecah 180.6% 338

Serentak dengan majlis pelancaran model Mi 9 Pro 5G, Xiaomi turut memperkenalkan satu lagi telefon pintar konsep dengan kemunculan Xiaomi Mi MIX Alpha. Berbeza dengan rekaan siri Mi MIX yang telah diperkenalkan sejak tahun 2016 yang lalu, Mi MIX Alpha dilihat jauh lebih unik kerana hampir keseluruhan kerangkanya terdiri daripada paparan skrin.

Menurut Xiaomi, mereka telah menggunakan satu panel skrin fleksibel dan ia telah dipasang pada bahagian panel depan sehingga ke bahagian belakang panel belakang Mi MIX Alpha. Rekaan skrin 360 darjah yang dikenali sebagai ‘Surround Display’ ini secara tidak langsung berjaya menghasilkan peranti dengan nisbah skrin-ke-kerangka mencecah sehingga 180.6%.

Bagi merealisasikan rekaan skrin penuh pada Mi MIX Alpha, Xiaomi turut memperkenalkan teknologi khas iaitu speaker dalam skrin dengan menggunakan motor getaran baharu bagi memastikan kualiti audio yang lebih baik. Malah teknologi itu juga dikatakan mampu menghasilkan gelombang ultrasonik untuk mengukur jarak.

Memandangkan peranti konsep ini tidak memiliki bingkai dan hanya memiliki bezel bawah senipis 2.15mm, Xiaomi juga telah berjaya mengatasi cabaran untuk menempatkan pelbagai antena seperti GPS, WiFi, 5G dan sebagainya. Manakala butang fizikal untuk Mi MIX Alpha ini pula telah digantikan dengan butang dalam skrin yang sensitif pada sentuhan pada kedua-dua sisi skrin.

Rekaan skrin penuh ini juga membolehkan pengguna menggunakan kamera utama untuk mengambil gambar swafoto dengan bantuan paparan viewfinder pada skrin belakang. Rekaan skrin penuh itu juga kini dioptimumkan dengan sokongan lampu notifikasi pada skrin sisi, dan juga efek ketika dicas juga akan diperlihatkan dalam skrin penuh.

Mi MIX Alpa turut dilengkapi dengan kamera beresolusi 108MP + 20MP + 12MP yang menyokong resolusi gambar maksimum sehingga 12032 x 9024 piksel. Selain itu ia juga menyokong sensor imej yang jauh lebih besar iaitu 1/1.33″, berbanding 1/1.7″ pada HUAWEI P30 Pro (40MP) dan 1/2.55″ pada iPhone 11 Pro Max (12MP).

Kerangka peranti ini pula diperbuat daripada titanium pada bahagian atas dan bawah Mi MIX Alpha, sekaligus memastikan ketahanan 3x lebih kuat berbanding stainless steel. Manakala untuk bahagian bingkai pada kameranya pula telah diperbuat daripada kombinasi antara seramik dan juga sapphire yang lebih tahan calar.

Xiaomi dikatakan akan menawarkan Mi MIX Alpha dalam skala yang kecil dan dengan rekaan yang unik ini, ia akan dijual pada harga CNY19,999 (~RM11,773).

Spesifikasi Xiaomi Mi MIX Alpha:

  • Qualcomm Snapdragon 855 Plus
  • Sokong rangkaian 5G
  • Skrin sentuh dengan nisbah skrin-ke-kerangka 180.6%
  • 12GB + 512GB (UFS 3.0)
  • 4050 mAh
  • Pengecasan pantas 40W
  • 108MP (f/1.69, OIS) + 20MP (Ultra Wide Angle, Super Macro 1.5cm, f/2.2) + 12MP  (Portrait, f/2.0)

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend