Xiaomi Mi Gaming Laptop Dilancarkan Dengan Sokongan NVIDIA GeForce GTX 1060/ GTX 1050 Ti Comments Off on Xiaomi Mi Gaming Laptop Dilancarkan Dengan Sokongan NVIDIA GeForce GTX 1060/ GTX 1050 Ti

Xiaomi nampaknya telah memperluaskan lagi portfolio peranti keluarannya apabila melancarkan gaming laptop terbaru keluarannya dengan kemunculan model Mi Gaming Laptop. Kehadiran model ini secara tidak langsung telah melengkapkan lagi penawaran komputer riba keluaran Xiaomi di pasaran dengan model Mi Notebook Pro dan juga Mi Notebook Air.

Berbeza dengan kebanyakan gaming laptop yang lain, Xiaomi dilihat mengekalkan rekaan yang ringkas tanpa sebarang logo ataupun stiker khas untuk membezakan Mi Gaming Laptop dengan komputer ribanya yang lain. Walau bagaimanapun, ia masih disediakan dengan butang kekunci yang dikhususkan untuk professional gaming dengan sokongan 5 butang yang boleh diprogramkan.

Dilengkapi paparan HD penuh berukuran 15.6 inci, Mi Gaming Laptop menyokong kerangka yang diperbuat daripada aluminium dengan berat sekitar 2.7kg. Ia telah dikuasakan dengan pemproses Intel Core i7, RAM 16GB, SSD 256GB, HDD 1TB, NVIDIA GeForce GTX 1060, speaker berkualiti yang menerima pengiktirafan Dolby Sound serta Sony Hi-Res Audio, dan juga sistem penyejukan berkuasa tinggi yang mampu menurunkan suhu antara 3 hingga 5 darjah celsius dalam masa 10 minit.

Selain itu, Xiaomi turut memperkenalkan Mi Gaming Laptop versi yang lebih rendah dengan sokongan pemproses Intel Core i5, RAM 8GB, SSD 128GB, HDD 1TB dan juga kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050 Ti.

Mi Gaming Laptop dikatakan akan mula dijual pada harga yang sangat kompetitif bagi sebuah gaming laptop dengan harga jualan CNY5999 (kira-kira RM3700) untuk model Intel Core i5 + NVIDIA GeForce GTX 1050 Ti. Manakala model Intel Core i7 + NVIDIA GeForce GTX 1060 pula akan dijual pada harga CNY8999 (kira-kira RM5600).

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend