Xiaomi Mi 9 Pro 5G Kini Rasmi Dengan Snapdragon 855 Plus, 12GB + 512GB Dan Pengecas Pantas 40W Comments Off on Xiaomi Mi 9 Pro 5G Kini Rasmi Dengan Snapdragon 855 Plus, 12GB + 512GB Dan Pengecas Pantas 40W 282

Seperti yang telah dijanjikan, hari ini Xiaomi telahpun melancarkan peranti mercu terbaharunya iaitu Xiaomi Mi 9 Pro 5G dan juga Mi MIX Alpha secara rasmi di China.

Mi 9 Pro 5G telah dikuasakan dengan cipset Qualcomm Snapdragon 855 Plus, RAM berkapasiti 12GB, ruang storan 512GB, dan juga bateri berkapasiti 4000mAh. Malah menurut Xiaomi, Mi 9 Pro 5G juga mampu menjanjikan ketahanan bateri yang sangat baik iaitu lebih 7 jam masa penggunaan dengan bateri masih berbaki sebanyak 21%.

Bagi memastikan Mi 9 Pro 5G kekal sejuk, ia turut tersedia dengan teknologi penyejukan Vapor Chamber yang dikatakan mampu menurunkan suhu CPU sehingga 10.2°C. Kombinasi spesifikasi berkuasa ini secara tidak langsung mampu memastikan prestasi yang lebih baik iaitu mencapai sehingga 480,830 mata untuk skor AnTuTu.

Lebih menariknya, proses pengecasan juga terasa jauh lebih pantas kerana ia menyokong palam kuasa Mi Charge Turbo dengan output 40W yang mampu mengecas penuh bateri dalam masa hanya 48 minit sahaja. Tidak cukup dengan itu, Xiaomi turut memberikan palam kuasa 45W di dalam pakej pembelian, dan ia boleh digunakan untuk mengecas MacBook ataupun komputer riba dengan sambungan USB PD.

Mi 9 Pro 5G juga turut menyokong teknologi pengecasan pantas tanpa wayar 30W, dan ia merupakan yang terpantas setakat ini di pasaran berbanding 15W pada HUAWEI P30 Pro, 20W pada Xiaomi Mi 9, dan juga 27W pada HUAWEI Mate 30 Pro. Kelajuan pengecasan pantas tanpa wayar ini membolehkan Mi 9 Pro 5G dicas penuh dalam masa hanya 69 minit sahaja. Selain itu ia turut menyokong fungsi Reverse Wireless Charging dengan output 10W.

Memiliki paparan skrin AMOLED berukuran 6.39 inci dengan rekaan takuk kecil dan fungsi AOD, Mi 9 Pro 5G memiliki permukaan panel belakang kaca anti-silau dan kalis cap jari. Keupayaan penggambarannya pula dibantu oleh tiga kamera beresolusi 48MP (f/1.75, Sony IMX586) + 16MP (Ultra Wide Angle, Sony IMX481) + 12MP (Portrait, f/2.2).

Apa yang menariknya, Mi 9 Pro 5G juga telah diperkenalkan dengan sokongan motor getaran (vibration) yang paling besar pernah diperkenalkan pada telefon pintar Android, sekaligus memberikan efek haptik yang jauh lebih baik. Tersedia dalam dua warna pilihan iaitu Dream White dan Titanium Black, berikut adalah harga jualan Xiaomi Mi 9 Pro 5G:

  • 8GB + 128GB – CNY3,699 (~RM2,176)
  • 8GB + 256GB – CNY3,799 (~RM2,235)
  • 12GB + 256GB – CNY4,099 (~RM2,412)
  • 12GB + 512GB – CNY4,299 (~RM2,529)
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend