
Melalui laman sosial rasmi Vivo Malaysia, pengguna di negara ini bakal menerima satu lagi model terbaharu yang akan ditawarkan pada harga lebih mampu milik dengan kemunculan model Vivo Y91i.
Vivo Y91i menampilkan sokongan skrin penuh HD+ (1520 x 720 piksel) mencecah 6.22 inci yang dikenali sebagai Halo FullView Display. Ia juga akan dijana dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 439 (12nm) dengan konfigurasi memori 2GB + 16GB. Lebih menariknya, ia turut didatangkan dengan kapasiti bateri yang besar iaitu mencecah 4030 mAh.
Dioperasikan oleh Funtouch OS 4.5 (Android 8.1 Oreo), Vivo Y91i memiliki rekaan takuk kecil pada skrin bagi menempatkan kamera swafoto beresolusi 8MP. Manakala untuk penggambaran utamanya pula, terdapat dwi kamera beresolusi 13MP + 2MP bagi menghasilkan efek bokeh pada hasil gambar.
Akan mula dijual pada 16 Disember (Ahad), Vivo Y91i boleh dimiliki pada harga RM599 di semua pusat jualan Vivo di seluruh negara. Pembeli juga berpeluang untuk memenangi pembesar suara Vivo dengan setiap pembelian Vivo Y91i.