[Ulasan] OPPO A91 – Mampukah Ia Mengubah Persepsi Terhadap OPPO Siri-A?! Comments Off on [Ulasan] OPPO A91 – Mampukah Ia Mengubah Persepsi Terhadap OPPO Siri-A?!

Apabila OPPO A9 2020 dilancarkan untuk pasaran tempatan, ia telah berjaya menarik perhatian pengguna kerana menawarkan sokongan speaker stereo dengan audio berkualiti Dolby Atmos. Namun begitu, bagi kami sokongan resolusi skrin HD+ dilihat antara kekurangan utama peranti ini.

Menariknya baru-baru ini OPPO telah tampil pula dengan model terbaharunya daripada siri yang sama iaitu OPPO A91. Dengan menampilkan slogan ‘The Era of Light’, mampukah model baharu dari siri-A ini mampu menambat hati pengguna?!

HARGA: RM999

PAKEJ PEMBELIAN

Kotak pembungkusan OPPO A91 tampil dengan kombinasi warna putih dan hijau. Sebaik sahaja kotak dibuka anda akan menemui satu kotak yang menempatkan sarung pelindung TPU lut sinar, pin slot kad SIM dan juga buku manual serta kad waranti.

Manakala di bawahnya pula terdapat OPPO A91 yang dibalut dengan plastik. Apabila peranti dialihkan, anda boleh menemui palam kuasa VOOC Flash Charge 3.0 dan juga kabel USB Type-C VOOC Flash Charge.

Apa yang lebih istimewanya, kini OPPO lebih bermurah hati untuk turut memberikan fon telinga siap di dalam kotak. Menariknya sama seperti palam kuasa dan kabel, fon telinga ini turut hadir dengan sentuhan warna hijau yang sememangnya sinonim dengan OPPO.

REKAAN

  • Kerangka kompak

Apabila pertama kali melihat dan memegang OPPO A91, terdapat dua perkara yang terlintas di fikiran kami iaitu ‘SELESA DIPEGANG’ dan juga ‘NIPIS’. Ini kerana walaupun OPPO A91 hadir dengan skrin besar berukuran 6.4 inci, nisbah skrin 20:9 menjanjikan rekaan kerangka yang lebih memanjang dan bukannya lebar.

hdr

Bahkan dengan dimensi berukuran 160.2 x 73.3 x 7.9mm, ia sememangnya jauh lebih nipis berbanding pesaingnya yang lain seperti realme 6 (8.9mm), Redmi Note 9S (8.8mm) dan HUAWEI Y9s (8.8mm). Namun begitu, Samsung Galaxy A30s tampil sedikit lebih nipis iaitu hanya 7.8mm.

  • Panel AMOLED FHD+

Kekurangan pada OPPO A9 2020 kini telah ditebus oleh OPPO A91 apabila ia telah dilengkapi dengan paparan skrin FHD+ dengan resolusi 2400 x 1080 piksel.

Apa yang menjadikannya lebih istimewa adalah sokongan panel AMOLED yang sememangnya menjadi ‘kegilaan’ pengguna berikutan tahap kontras yang lebih tinggi dan juga warna paparan yang lebih menonjol.

Sokongan panel ini juga secara tidak langsung membolehkan OPPO A91 untuk hadir dengan teknologi pengimbas cap jari pada skrin iaitu ‘In-Display Fingerprint 3.0’ yang 20% lebih cepat.

Jika sesetengah pesaingnya masih menggunakan Corning Gorilla Glass 3, OPPO A91 menjanjikan ketahanan skrin yang lebih baik dengan sokongan Corning Gorilla Glass 5.

OPPO A91 juga didatangkan dengan sokongan teknologi DC Dimming 2.0 yang mengatasi isu flickering apabila tahap keterangan pada panel skrin AMOLED berubah. Malah pengalaman tontonan Netflix dan YouTube pada peranti ini juga boleh menyokong kandungan HD Penuh melalui sokongan Widevine L1 Certificate. Namun begitu, peranti ini hanya menyokong Widevine L3 Certificate yang mengehadkan paparan video berkualiti SD sahaja.

  • Efek panel belakang yang premium

Memandangkan rekaan peranti pada hari ini kelihatan tidak begitu jauh berbeza antara satu model dengan model yang lain, pelbagai pendekatan telah digunakan oleh pengeluar untuk membezakan peranti keluarannya.

Tidak kami nafikan bahawa kemasan panel belakang pada OPPO A91 merupakan antara yang berjaya menarik perhatian kami. Dengan menampilkan rekaan panel belakang yang melengkung, efek pantulan cahaya yang terhasil boleh dikatakan antara yang tercantik.

Ini kerana efek pantulan cahaya akan terhasil dari bahagian sisi kanan kerangka dan membawa ke bahagian sisi kiri kerangka. Efek pantulan cahaya sebegini kelihatan lebih premium dan lebih low-profile.

Namun bagi memastikan kos pembuatan yang lebih rendah, OPPO A91 sebenarnya menggunakan kerangka dan juga panel belakang yang diperbuat daripada plastik.

Jadi kami nasihatkan anda untuk menggunakan perlindungan tambahan seperti sarung pelindung ataupun stiker yang ada terjual di pasaran bagi memastikan panel belakangnya tidak mudah tercalar.

  • Kuad kamera 48MP

Pengambilan gambar menggunakan OPPO A91 sememangnya sangat praktikal untuk pelbagai senario berbeza. Ini kerana ia telah dilengkapi dengan kuad kamera beresolusi 48MP (f/1.79) + 8MP (Ultra Wide, 119°, f/2.25) + 2MP (Portrait, f/2.4) + 2MP (Mono, f/2.4).

Rakaman video pada OPPO A91 hanya sekadar menyokong kualiti 1080p pada 30fps sahaja untuk kamera depan dan juga kamera utamanya. Tidak dinafikan ia bukanlah yang terbaik tetapi kehadiran fungsi penstabilan video EIS Anti-Shake dan juga AI Beautification untuk rakaman video sangat membantu.

  • Port sambungan dan speaker

Sebagaimana kebanyakan peranti kelas pertengahan yang lain, OPPO A91 dilengkapi dengan port USB Type-C dan juga bicu audio 3.5mm pada bahagian bawah kerangkanya.

Bahagian ini juga turut menempatkan satu-satunya lubang speaker berkualiti mono. Tidak dinafikan kualiti audionya agak baik, tetapi ia agak mengecewakan kerana ia telah diturun taraf berbanding model OPPO A9 2020 yang sebelum ini menyokong speaker stereo dengan Dolby Atmos.

  • Kedudukan butang fizikal

Memandangkan rekaan kerangka OPPO A91 lebih panjang dengan nisbah skrin 20:9, kedudukan butang fizikal untuk melaras suara (sisi kiri kerangka) dan butang kuasa (sisi kanan kerangka) telah diletakkan sedikit ke bawah.

Rekaan kedudukan butang fizikal sebegini sememangnya praktikal kerana ia terasa lebih mudah untuk dicapai walaupun untuk mereka yang memiliki tangan yang kecil.

  • Slot dedikasi kad microSD

Berbanding kebanyakan peranti mercu di pasaran, kelebihan paling ketara pada peranti kelas pertengahan adalah sokongan slot dedikasi untuk kad microSD.

OPPO A91 juga tidak terkecuali kerana ia hadir dengan sokongan tiga slot kad berasingan. Ini bermakna anda boleh menggunakan dua kad SIM bersaiz nano, bersama-sama dengan satu kad microSD untuk ruang storan lebih besar.

ANTARAMUKA COLOROS 6.1.2

Selain sokongan spesifikasi yang baik pada sesebuah telefon pintar, penampilan antaramuka merupakan salah satu kriteria penting yang menjadi pilihan pengguna.

Walaupun antaramuka sesebuah telefon pintar boleh dianggap subjektif kerana ada yang suka dan ada yang tidak menggemarinya, ternyata antaramuka OPPO sering mendapat kritikan pengguna.

Bahkan pada pendapat kami, antaramuka ColorOS 6.1.2 berasaskan Android 9.0 Pie pada OPPO A91 ini masih memerlukan penambahbaikan menyeluruh.

Ini termasuklah pada rekaan ikon yang tidak selari (kombinasi ikon bulat dan segi empat), rekaan Quick Settings dengan ikon terlalu besar, dan juga senarai menu tetapan yang terlalu banyak dan mengelirukan.

Namun begitu, dari segi fungsi yang ditawarkan ColorOS 6.1.2 ini sebenarnya tidaklah mengecewakan kerana ia tersedia dengan mod talam aplikasi, kawalan navigasi skrin penuh, aplikasi Game Space yang mampu menawarkan pengalaman gaming terbaik, antaramuka Smart Assistant yang diperbaharui, dan juga teknologi Hyper Boost (System Boost, App Boost dan Game Boost) untuk memastikan peranti sentiasa dalam prestasi yang optimum.

PRESTASI

OPPO A91 telah dikuasakan dengan cipset 12nm daripada Helio P70 dan juga GPU Mali-G72 MP3 (900Hz) yang diperkenalkan penghujung tahun 2018 yang lalu. Ia juga turut menampilkan sokongan RAM LPDDR4X sebesar 8GB dan juga ruang storan UFS 2.1 sebesar 128GB.

  • Ujian penanda aras
  • Ujian masa pengecasan

Dilengkapi bateri berkapasiti 4025mAh, OPPO A91 dilihat menyokong kapasiti bateri yang lebih kecil berbanding OPPO A9 2020 iaitu sebesar 5000mAh.

Namun begitu proses pengecasan OPPO A91 ternyata jauh lebih laju kerana ia didatangkan dengan teknologi pengecasan pantas VOOC Flash Charge 3.0 dengan output 5V2A (10W) dan 5V4A (20W).

HASIL GAMBAR

KELEBIHAN

  • Rekaan kerangka yang memanjang dan nipis sememangnya sangat selesa untuk dipegang ataupun dimasukkan ke dalam poket seluar yang agak ketat.
  • Kami sangat berpuas hati menonton video YouTube atau Netflix pada OPPO A91 kerana skrin bernisbah 20:9 sememangnya sangat sesuai untuk video dengan paparan lebar. Ini ditambah pula dengan panel AMOLED FHD+ yang berjaya menghasilkan warna yang sangat menonjol.
  • Kemasan panel belakang dengan efek pantulan cahaya kelihatan sangat cantik.
  • Teknologi pengecasan pantas 20W mampu mempercepatkan proses pengecasan.
  • Pakej pembelian yang lengkap kerana didatangkan siap dengan pelindung skrin, sarung pelindung, palam kuasa serta kabel pengecasan pantas, dan juga fon telinga yang jarang diberikan untuk peranti dalam segmen ini.

KEKURANGAN

  • Kualiti kamera OPPO A91 pada pendapat kami hanya memuaskan untuk penggambaran outdoor dan mod malam peranti ini pula adalah agak mengecewakan kerana ia tidaklah terlalu terang dengan isu noise yang agak ketara.
  • Anda disarankan untuk menggunakan sarung pelindung (casing) sebagai perlindungan tambahan memandangkan panel belakang dan kerangka OPPO A91 diperbuat daripada plastik.
  • Bateri berkapasiti 4025mAh boleh dikatakan agak kecil jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain di pasaran.
  • Pelindung skrin yang siap dipasang pada peranti ini terasa agak tajam dan ia boleh dirasai ketika anda menggunakan kawalan navigasi skrin penuh.

PENDAPAT KAMI…

Tidak dinafikan bahawa OPPO A91 sememangnya mampu mengubah pandangan kami terhadap OPPO siri-A. Bahkan secara keseluruhannya ia lebih baik jika dibandingkan dengan model OPPO A9 2020, terutamanya pada paparan skrin FHD+ dengan panel AMOLED. Malah ia juga kini tersedia dengan teknologi VOOC Flash Charge 3.0 yang sangat penting untuk pengguna yang aktif.

Namun begitu, kami berpendapat OPPO mungkin boleh menjadikan siri-A ini jauh lebih kompetitif dengan menyertakan sekali speaker stereo dan juga kapasiti bateri yang lebih besar untuk terus bersaing dalam pasaran peranti kelas pertengahan ini.

PILIHAN MODEL TELEFON PINTAR ALTERNATIF:

  1. Redmi Note 9S (bermula dari RM799)
  2. Samsung Galaxy A30s (RM899)
  3. Vivo Y19 (RM899)
  4. realme 6 (RM999)
  5. HUAWEI Y9S (RM999)
  6. Samsung Galaxy M31 (RM1,099)

SPESIFIKASI:

  • ColorOS 6.1.2 (Android 9.0 Pie)
  • MediaTek Helio P70 (12nm)
  • 4x 2.1GHz Cortex-A73 + 4x 2.0GHz Cortex-A53
  • GPU Mali-G72 MP3 @ 900Hz
  • 8GB (LPDDR4X) + 128GB (UFS 2.1) / microSD
  • 6.4 inci AMOLED FHD+ (2400 x 1080 piksel)
  • Corning Gorilla Glass 5, Widevine L1 Certificate, DC Dimming 2.0
  • In-Display Fingerprint 3.0
  • Kamera depan: 16MP (f/2.0)
  • Kamera utama: 48MP (f/1.79) + 8MP (Ultra Wide Angle, f/2.25) + 2MP (Potrait, f/2.4) + 2MP (Mono, f/2.4)
  • WiFi 802.11ac (2.4GHz/5GHz), Bluetooth v4.2, USB Type-C, Bicu audio 3.5mm
  • 4025mAh (VOOC Flash Charge 3.0)
  • 160.2 x 73.3 x 7.9mm / 172g
  • Pilihan warna: Lightening Black, Blazing Blue

Tonton Video Buka Kotak:

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend