[Ulasan] HUAWEI Y9 Prime 2019 – Peranti Pertama HUAWEI Dengan Rekaan Kamera Terangkat Comments Off on [Ulasan] HUAWEI Y9 Prime 2019 – Peranti Pertama HUAWEI Dengan Rekaan Kamera Terangkat 233

Apabila anda memiliki bajet yang agak terhad di bawah RM1000, pilihan untuk memiliki telefon pintar boleh dikatakan agak terhad. Perkara ini secara tidak langsung sudah tentunya memerlukan anda untuk membuat pilihan yang tepat agar nilai belian terasa lebih berbaloi dengan nilai wang yang dibelanjakan.

Ternyata kemunculan HUAWEI Y9 Prime 2019 di pasaran mungkin sesuai untuk anda jadikan pilihan kerana ia menjanjikan sokongan spesifikasi yang boleh dikatakan sangat lengkap dan sukar untuk ditandingi oleh mana-mana peranti lain dari kelas harga yang sama. Ini jelas dapat dilihat melalui skrin besar dengan rekaan kamera terangkat, kapasiti bateri besar (USB-C),  dan juga hadir dengan tiga kamera utama.

Spesifikasi HUAWEI Y9 Prime 2019:

  • EMUI 9.0 (Android 9.0 Pie)
  • HiSilicon Kirin 710F (12nm FinFET)
  • CPU: 4x 2.2GHz Cortex-A73 + 4x 1.7GHz Cortex-A53
  • GPU: Mali G51 MP4 @ 650MHz
  • Slot kad: Dwi SIM Hibrid
  • 4GB + 128GB
  • microSD sehingga 512GB
  • 6.59 inci LTPS FHD+ (2340 x 1080 piksel)
  • Kamera depan: 16MP (f/2.2)
  • Kamera utama: 16MP (f/1.8) + 8MP (f/2.4, Ultra Wide Angle) + 2MP (Depth sensor)
  • WiFi 802.11n (2.4GHz), Bluetooth 5.0, USB Type-C, USB OTG
  • 4000 mAh (10W)
  • 1x speaker mono
  • GPS, GLONASS, A-GPS
  • 163.5 x 77.3 x 8.8mm / 196.8g
  • Pilihan warna: Midnight Black / Emerald Green / Sapphire Blue

Harga dan ketersediaan

HUAWEI Y9 Prime 2019 sudahpun mula dijual secara rasmi untuk pasaran tempatan pada harga RM899. Tersedia di pasaran bermula 27 Julai 2019 yang lalu dan ia sudah boleh dibeli dari HUAWEI Experience Store, pengedar yang sah ataupun secara dalam talian.

Pakej Pembelian

  • HUAWEI Y9 Prime 2019
  • Pelindung skrin (siap dipasang)
  • Palam kuasa (5V2A / 10W)
  • Kabel USB Type-C
  • Fon telinga
  • Pin slot kad
  • Buku manual
  • Sarung pelindung TPU

Tidak dinafikan bahawa pakej pembelian yang ditawarkan oleh HUAWEI Y9 Prime 2019 boleh dikatakan sudah cukup lengkap untuk peranti yang dijual dengan tanda harga sekitar RM900. Malah jika dibandingkan dengan sesetengah peranti yang dijual pada harga yang setanding, ada antaranya yang tidak didatangkan dengan pelindung skrin, apatah lagi fon telinga. (*Set rasmi akan menerima palam kuasa tiga pin)

Tonton video buka kotak HUAWEI Y9 Prime 2019:

Rekaan

Berbeza dengan peranti keluaran HUAWEI sebelum ini, Y9 Prime 2019 sememangnya tampil lebih unik kerana ia merupakan model pertama hadir dengan rekaan skrin penuh tanpa takuk ataupun lubang kamera di dalam skrin. Walaupun berada dalam segmen telefon pintar mampu milik, saiz bezel pada peranti ini boleh dikatakan agak baik kerana tidak terlalu tebal terutamanya pada bezel bawahnya.

Pengambilan gambar swafoto pada Y9 Prime 2019 ini boleh dibuat menggunakan kamera depan jenis terangkat yang beresolusi 16MP dengan sokongan AI. Kamera depan peranti ini akan dinaikkan secara automatik sebaik sahaja anda ingin mengambil gambar swafoto ataupun membuat panggilan video. Namun begitu, ia tidak tersedia dengan fungsi pengecaman wajah atau face unlock.

HUAWEI Y9 Prime 2019 tersedia dengan sokongan tiga kamera beresolusi 16MP (f/1.8) + 8MP (f/2.4, Ultra Wide Angle) + 2MP (Depth sensor). Jika diperhatikan, rekaan tiga kamera pada peranti ini sebenarnya kelihatan mirip seperti rekaan tiga kamera pada HUAWEI P20 Pro. Di tengah-tengahnya pula boleh ditemui sensor pengimbas cap jari fizikal yang mampu mengakses peranti dengan sangat pantas.

Jika panel depan Y9 Prime 2019 ini menyerlah dengan paparan skrin penuh tanpa takuk, panel belakangnya juga tidak kurang menarik dengan kemasan dua tona warna berbeza seakan-akan sentuhan yang digunakan pada Pixel 3. Walau bagaimanapun, panel belakang Y9 Prime 2019 diperbuat daripada polikabornat dan ia sememangnya lebih mudah tercalar berbanding panel belakang kaca.

Bahagian atas peranti ini telah menempatkan slot kamera depan terangkat, slot kad dwi SIM jenis hibrid yang mana slot kedua boleh digunakan untuk memuatkan kad nanoSIM ataupun kad microSD, dan juga satu lubang mikrofon. Pada bahagian bawahnya pula tersedia dengan bicu audio 3.5mm, port USB Type-C, dan juga speaker mono.

This slideshow requires JavaScript.

Kamera Depan Terangkat

Beresolusi 16MP, kamera depan Y9 Prime 2019 ini menyokong mod penggambaran AI dengan keupayaan untuk memilih tetapan kamera terbaik untuk lapan persekitaran berbeza. Tidak cukup dengan itu, ia turut tersedia dengan bantuan pencahayaan untuk swafoto di dalam persekitaran gelap, efek bokeh (latar belakang kabur), mod Lighting dan juga efek kecantikan yang boleh dilaras secara manual.

Tidak dinafikan bahawa proses naik turun kamera pada Y9 Prime 2019 ini tidaklah sepantas kamera terangkat yang disokong oleh OPPO, Vivo ataupun OnePlus, ini kerana ia mengambil masa sekitar satu saat untuk diangkat sepenuhnya. Namun begitu ketahanan kamera depannya telah terbukti melalui ujian di dalam makmal HUAWEI:

  • Mampu bertahan dengan tekanan sehingga 15kg
  • Proses naik/turun kamera telah teruji lebih daripada 100,000 kali
  • Kamera boleh digunakan tanpa masalah dalah suhu ekstrem antara -20°C hingga 60°C

Apa yang menariknya tentang kamera depan terangkat pertama daripada HUAWEI ini adalah sokongan ciri keselamatan tambahan bagi mengurangkan risiko kerosakan pada kamera. Melalui bantuan sensor, kamera secara automatik akan ditolak masuk semula ke dalam slotnya apabila peranti terjatuh secara mengejut. Malah satu mesej pemberitahuan juga akan turut dipaparkan pada skrin peranti tersebut.

Namun sepanjang pengalaman kami menggunakan kamera depan terangkat pada Y9 Prime 2019 ini, ada dua perkara yang pada pendapat kami HUAWEI perlu perbaiki. Pertama sekali adalah proses kamera naik yang agak perlahan, dan yang kedua adalah komponen mekanikal gelongsor ketika kamera naik/turun yang terasa sedikit kasar.

Kamera Utama

HUAWEI Y9 Prime 2019 menampilkan sokongan tiga kamera dengan permukaan lensa yang sedikit timbul daripada permukaan panel belakangnya. Dilengkapi dengan ciri penggambaran AI, ia mampu mengenal pasti 22 kategori dan lebih 500 jenis persekitaran/objek mengikut masa nyata. Bagi memenuhi keperluan penggambaran, ia tersedia dengan pelbagai mod kamera berbeza seperti berikut:

  • Aperture
  • Night
  • Portrait
  • Pro
  • Slow-mo
  • Panorama
  • AR Lens
  • Light Painting
  • HDR
  • Time-lapse
  • Filter
  • Stickers

Sokongan lensa Depth sensor pada telefon pintar bajet bukanlah sesuatu yang asing lagi, tetapi HUAWEI Y9 Prime 2019 menjanjikan keupayaan penggambaran yang lebih baik kerana menampilkan sokongan lensa sudut luas. Melalui bantuan AI, masalah herotan pada gambar yang diambil menggunakan lensa sudut luas itu berjaya diperbetulkan dengan begitu baik sekali.

Hasil Gambar

This slideshow requires JavaScript.

Prestasi 

HUAWEI Y9 Prime 2019 telah dikuasakan dengan cipset Kirin 710F dan ia telah dikombinasikan dengan RAM berkapasiti 4GB serta antaramuka EMUI 9.0 berasaskan Android 9.0 Pie. Untuk pengetahuan anda, cipset Kirin 710F sebenarnya sama sahaja seperti cipset Kirin 710, malah dari segi prestasi kedua-duanya juga adalah setanding. Melalui rujukan kami ke HUAWEI sendiri, perbezaan kedua-dua cipset ini hanyalah pada rekaan seni binanya sahaja.

Masa Pengecasan

Dilengkapi bateri berkapasiti 4000 mAh, ia hanya mampu menyokong pengecasan biasa dengan output 10W sahaja. Malah di dalam pakej pembelian ia telah didatangkan dengan palam kuasa 5V2A (10W). Berdasarkan ujian pengecasan yang telah kami jalankan, ia mengambil masa yang agak lama iaitu 1 jam 47 minit untuk mengecas dari 23% ke 100%.

Ketahanan Bateri

Dengan bateri berkapasiti sebesar 4000mAh dan juga paparan skrin 6.59 inci LTPS FHD+ (2340 x 1080 piksel), kami berjaya memperolehi masa penggunaan sekitar 6 jam 22 minit dengan bateri masih berbaki 10%. Memandangkan kami jarang menyambungkan peranti ini ke rangkaian WiFi, dan ditambah pula dengan penggunaan yang agak berat, masa penggunaannya boleh dianggap agak baik.

Kesimpulan

Tidak dinafikan lagi pada masa ini sudah banyak pengeluar telefon pintar sudah mampu menawarkan telefon pintar pada harga mampu milik dengan sokongan spesifikasi yang baik secara keseluruhannya. Perkara ini tidak terkecuali dengan HUAWEI Y9 Prime 2019 kerana dengan harga jualan di bawah RM900, tidak keterlaluan untuk kami katakan ia merupakan model yang sangat berbaloi untuk dimiliki.

Berbeza dengan pencabarnya yang lain, HUAWEI Y9 Prime 2019 masih memiliki keistimewaannya yang tiada pada peranti lain yang dijual pada harga yang sama. Antara ciri menariknya termasuklah sokongan tiga kamera dengan lensa sudut luas, paparan skrin besar dengan resolusi penuh tanpa takuk, dan juga ruang storan yang besar mencecah 128GB.

Kelebihan:

  • Paparan skrin yang besar berukuran 6.59 inci dengan resolusi FHD+ ini menjanjikan pengalaman penggunaan yang lebih baik kerana tiada gangguan daripada kehadiran takuk mahupun lubang kamera di dalam skrin.
  • Menyokong tiga kamera dengan lensa sudut luas beresolusi 8MP yang mampu membetulkan masalah herotan pada gambar dengan baik sekali.
  • Tersedia dengan sambungan port USB Type-C yang kini menjadi trend kebanyakan pengeluar pada masa kini.
  • Pengimbas cap jari yang sangat pantas dengan sokongan fungsi tambahan untuk mengambil gambar, menjawab panggilan, mematikan jam penggera, memaparkan panel notifikasi, dan menukar gambar di galeri.
  • Pakej pembelian yang lengkap dengan aksesori tambahan seperti sarung pelindung, pelindung skrin dan juga fon telinga.

Kekurangan:

  • Hasil gambar menggunakan lensa sudut luas pada peranti ini tidak seluas peranti lain kerana bahagian kiri dan kanan gambar akan dipotong (crop) berbanding imej yang dipaparkan pada viewfinder kamera sebelum gambar diambil.
  • Masa mengecas yang sangat lama memandangkan tiada sokongan teknologi pengecasan pantas, walaupun hadir dengan port USB Type-C.
  • Kamera depan agak perlahan untuk dinaikkan dan ia tidak menyokong fungsi Face Unlock.
  • Tiada sambungan WiFi 802.11ac (5GHz) dan juga NFC.
  • Tiada lampu LED notifikasi.
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend