[Ulasan] HUAWEI P40 Pro, Peranti 5G Berprestasi Tinggi Dengan Kuad Kamera Leica Berkuasa Comments Off on [Ulasan] HUAWEI P40 Pro, Peranti 5G Berprestasi Tinggi Dengan Kuad Kamera Leica Berkuasa

HUAWEI sememangnya terkenal dengan keupayaan penggambarannya, dan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa siri HUAWEI P telah menjadi tanda aras untuk aspek fotografi.

HUAWEI P40 Pro tidak terkecuali apabila ia menjanjikan sokongan kamera yang telah dipertingkatkan dengan teknologi Ultra Vision Leica Quad Camera.

Tidak cukup dengan itu, HUAWEI P40 Pro juga telah dilengkapi dengan spesifikasi yang dipertingkatkan, fungsi menarik yang baharu dan juga rekaan yang bukan sahaja kelihatan premium tetapi dalam masa yang sama masih praktikal.

PAKEJ PEMBELIAN

Sama seperti kotak dari siri HUAWEI P yang lain, HUAWEI P40 Pro masih didatangkan dengan penampilan kotak ringkas berwarna putih. Selain cetakan nama model dalam warna emas, cetakan ‘EXPLORE IT ON AppGallery’ dengan jelas telah memberi klu bahawa peranti ini menggunakan HUAWEI Mobile Services (HMS).

Di dalam kotak pembungkusan, ia tersedia dengan HUAWEI P40 Pro, sarung pelindung TPU jernih, palam kuasa serta kabel HUAWEI SuperCharge 40W, fon telinga USB-C dan juga pin slot kad SIM. Tetapi untuk set ulasan ini, kami telah menerima palam kuasa HUAWEI SuperCharge 40W dengan sokongan 2-pin.

Namun sebagai rujukan, set ulasan yang kami terima ini bukannya set komersial yang akan dijual untuk pasaran tempatan. Jadi sekiranya anda membeli HUAWEI P40 Pro, anda akan menerima palam kuasa HUAWEI SuperCharge 40W 3-pin dan juga buku manual.

REKAAN

  • Skrin melengkung di empat bahagian

Apabila pertama kali kami berpeluang melihat sendiri HUAWEI P40 Pro secara dekat, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah – ‘Nampak premium!’. Ini kerana sebelum paparan skrin dinyalakan, rekaan Quad-Curve Overflow Display dengan rekaan skrin melengkung pada bahagian sisi, atas dan bawah P40 Pro ini berjaya menyerlahkan rekaan pada panel depannya.

Tidak dinafikan pada mulanya kami agak skeptikal dengan keperluan HUAWEI untuk mengimplementasikan rekaan sebegini pada peranti keluarannya. Tetapi selepas menggunakan sendiri peranti ini, terus terang kami akui bahawa rekaan sebegini sememangnya mampu memberikan pengalaman yang jauh lebih baik terutamanya untuk kawalan navigasi skrin penuh.

Bahkan rekaan panel kaca depan dan belakang yang melengkung ini turut memberikan rasa genggaman yang cukup selesa sekali. Tetapi pengalaman dan rekaan ergonomik ini mungkin tidak begitu dapat dirasai sekiranya anda menggunakan sarung pelindung pihak ketiga biasanya hadir dengan rekaan yang agak tebal.

  • Skrin OLED 90Hz

P40 Pro telah dilengkapi skrin OLED berukuran 6.58 inci dengan nisbah skrin 19.8:9. Sokongan resolusi 2640 x 1200 piksel pada peranti ini agak unik kerana ia berada di antara paparan WQHD+ (3040 x 1440 piksel) dan paparan WQHD (2560 x 1440 piksel). Kualiti paparan juga turut dibantu dengan teknologi DCI-P3 HDR dan juga Anti Blue Light.

Jika sesetengah pengeluar sudahpun memperkenalkan paparan skrin dengan kadar segar semula 120Hz dan ada yang mencecah sehingga 144Hz (Nubia Red Magic 5G), HUAWEI telah mengambil pendekatan untuk menawarkan sokongan 90Hz sahaja untuk P40 Pro.

Tetapi itu bukanlah suatu kekurangan, ini kerana P40 Pro membenarkan pengguna untuk menikmati paparan paling optimum pada setiap masa tanpa perlu memaksa pengguna membuat pilihan. Ini bermakna anda boleh menggunakan paparan 90Hz pada skrin dengan resolusi tertinggi iaitu 2640 x 1200 piksel.

Sebaliknya berbeza dengan pemilik siri Samsung Galaxy S20, mereka hanya boleh menggunakan paparan 120Hz pada resolusi FHD+ sahaja. Manakala pengaktifan skrin beresolusi WQHD+ secara automatik akan disetkan ke paparan 60Hz sahaja.

  • Slot dwi SIM + eSIM

Bahagian bawah P40 Pro tersedia dengan slot kad SIM, port USB-C, dan juga speaker mono. Ya, P40 Pro hanya menyokong satu speaker sahaja dan ia sememangnya sedikit mengecewakan untuk sebuah peranti mercu yang sudah menjadi kemestian untuk hadir dengan sokongan speaker stereo.

Malah sokongan Dolby Atmos pada siri P30 juga telah disingkirkan dan digantikan dengan sokongan teknologi audio daripada HUAWEI sendiri iaitu HUAWEI Histen yang boleh diaktifkan apabila fon telinga disambungkan.

Namun berdasarkan perbandingan yang telah kami buat, kualiti bunyi speaker P40 Pro dirasakan lebih kuat dan lebih padat bunyinya jika dibandingkan dengan P30 Pro. Tetapi ia masih tidak setanding peranti mercu dengan sokongan speaker stereo yang lain.

Menariknya buat pertama kalinya HUAWEI telah memperkenalkan sokongan eSIM pada P40 dan juga P40 Pro. Dengan sokongan slot yang lebih fleksibel, anda boleh menggunakan kombinasi nano SIM 1 + NM Card + eSIM ataupun nano SIM 1 + nano SIM 2.

Cuma kekurangan penggunaan NM Card ini adalah harga jualannya yang jauh lebih mahal berbanding kad microSD biasa, iaitu mencecah hampir RM250 untuk kad berkapasiti 128GB.

  • Port inframerah

Jika anda perhatikan pada bahagian atas P40 Pro, anda mungkin menyedari kewujudan satu sensor yang terletak di sebelah salah satu daripada tiga lubang mikrofon yang terdapat para peranti ini.

Kami sememangnya menghargai pendekatan HUAWEI untuk menyediakan sensor inframerah pada P40 Pro, ini kerana ia memudahkan anda untuk mengawal pelbagai peralatan elektrik seperti TV dan penghawa dingin daripada pelbagai jenama berbeza.

Aplikasi Smart Remote

Jadi selepas ini, anda bolehlah lakukan ‘prank’ dengan menutup TV ketika berkunjung ke rumah rakan atau ketika lepak bersama kawan-kawan di kedai mamak selepas tempoh PKP tamat nanti.

  • Butang kawalan fizikal

Seperti biasa, kedudukan butang laras suara dan juga butang kuasa pada P40 Pro ditempatkan pada bahagian sisi kanan kerangka. Menariknya butang kuasanya masih lagi menerima kemasan jalur berwarna merah yang sudah menjadi trademark pada peranti mercu HUAWEI.

ANTARAMUKA EMUI 10.1

Siri P40 merupakan peranti pertama daripada HUAWEI yang dioperasikan dengan versi EMUI 10.1 berasaskan Android 10. Secara keseluruhannya antaramuka EMUI 10.1 ini tidaklah begitu berbeza jika dibandingkan dengan EMUI 10.

Namun begitu, EMUI 10.1 telah didatangkan dengan sokongan pelbagai fungsi baharu yang menarik seperti berikut:

1. Multi-Window

Kini anda boleh meleretkan dari kiri atau kanan skrin untuk mengaktikfan fungsi Multi-Window. Berbeza dengan split-screen, fungsi ini akan memaparkan aplikasi dalam bentuk tetingkap terapung yang boleh diubah kedudukannya dengan menyentuh bar yang terdapat pada bahagian atas tetingkap.

Lebih menariknya, Multi-window juga membenarkan pengguna untuk menggunakan fungsi ‘drag & drop’ untuk memindahkan gambar, teks ataupun fail dengan sangat mudah di dalam satu skrin. Bahkan fungsi ini turut menyokong aplikasi pihak ketiga.

2. MeeTime

Aplikasi MeeTime menawarkan panggilan video berkualiti HD sehingga 1080p, ia turut membolehkan panggilan dibuat di dalam persekitaran yang agak gelap dengan bantuan AI. Lebih istimewanya, panggilan video boleh dipindahkan dengan mudah ke peranti pihak ketiga seperti kamera aksi bagi menghasilkan perspektif berbeza.

Tidak cukup dengan itu, fungsi Screen Sharing memudahkan anda untuk berkongsi paparan skrin peranti anda berdasarkan masa-nyata. Dengan fungsi ini, anda boleh menggunakannya untuk tujuan membuat tutorial cara pembelian atas talian secara langsung dengan rakan, ataupun mengajar ibu anda cara untuk menggunakan telefon pintar mereka.

3. Multi-screen Collaboration

Fungsi Multi-screen Collaboration kini telah ditambah dengan keupayaan baharu bagi membolehkan anda menyalin teks, gambar atau video pada telefon pintar terus ke komputer riba dengan menggunakan kaedah ‘drag & drop’.

Malah anda juga boleh membuka fail dokumen seperti video pada telefon pintar dengan menggunakan perisian pada komputer riba. Selain itu, ia juga turut menyokong paparan notifikasi terus pada skrin komputer riba, dan juga penerimaan/pemindahan panggilan video dari telefon ke komputer riba atau sebaliknya.

4. HUAWEI Cast+

Teknologi unjuran skrin tanpa wayar (wireless projection) pada siri P40 kini telah dipertingkatkan agar menyokong rangkaian lebih stabil. Hadir dengan prestasi kadar kependaman (latency) yang rendah, anda kini boleh menyambungkan pad kawalan Bluetooth untuk menikmati pengalaman seperti menggunakan konsol permainan.

5. Sound Booster

Apabila anda berada di bilik yang luas, pengaktifan Sound Booster membolehkan suara anda akan kedengaran lebih jelas dan kuat dengan bantuan mikrofon pada telefon pintar yang telah disambungkan ke speaker.

Fungsi ini juga membolehkan individu yang mengalami masalah pendengaran untuk mendengar dengan lebih jelas melalui penggunaan fon telinga Bluetooth. Sebagai contoh, anda boleh meletakkan telefon berdekatan dengan TV untuk memastikan audio dapat didengari dengan lebih baik.

6. Pembantu maya Celia

Memandangkan siri P40 tidak lagi hadir dengan sokongan Google Assistant, HUAWEI telah memperkenalkan pembantu maya yang dibangunkannya sendiri iaitu ‘Celia’. Pengaktifan boleh dibuat dengan menyebut ‘Hey Celia’ ataupun menekan butang kuasa.

Dengan bantuan Celia, anda boleh menggunakan arahan suara untuk set jam penggera, menghantar teks mesej, memeriksa kalori dalam hidangan, membuat panggilan, memeriksa ramalan cuaca, menetapkan jadual peringatan dan banyak lagi.

Namun buat masa ini Celia hanya tersedia dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris (UK), Bahasa Perancis, dan Bahasa Sepanyol. Selain itu ia hanya boleh tersedia di enam buah negara termasuk UK, Perancis, Sepanyol, Chile, Mexico dan Colombia.

KAMERA

Kelebihan paling utama yang dapat anda lihat pada P40 Pro adalah prestasi kameranya yang dikatakan antara yang terbaik boleh anda dapati di pasaran. Malah DXOMARK sendiri telah memberikan skor tertinggi untuk keupayaan kamera depan dan juga kamera utamanya.

  • Kamera depan dengan pengecaman wajah 3D

Rekaan lubang kamera depan pada P40 Pro kelihatan sangat lebar dan besar kerana ia telah dilengkapi dengan lensa 32MP auto fokus, sensor IR Depth/Gesture Camera, dan juga sensor Ambient & Proximity.

Dengan rekaan takuk yang jauh lebih kecil berbanding Mate 30 Pro dan iPhone 11 Pro Max, kami mendapati fungsi pengecaman wajah 3D dengan bantuan sensor inframerah pada P40 Pro ini boleh berfungsi dengan sangat cepat walaupun dalam keadaan yang sangat gelap.

Ini berbeza dengan fungsi pengecaman wajah biasa yang mana tahap keterangan skrin akan dinaikkan secara automatik bagi membolehkan wajah pengguna dikesan menggunakan kamera semata-mata.

  • Kawalan gerakan pintar – ‘Air Gestures’

Sokongan sensor IR Depth/Gesture Camera ini turut disertakan dengan dua fungsi yang menggunakan kawalan gerakan pintar yang dikenali sebagai Air Gestures. Fungsi Air scroll membolehkan anda menatal skrin ke atas atau ke bawah tanpa perlu menyentuh skrin, manakala fungsi Grabshot pula boleh digunakan untuk tangkap skrin.

Isyarat ‘Air Gestures’ dengan bantuan inframerah akan diaktifkan apabila simbol tangan tertera pada skrin.

Berdasarkan percubaan kami menggunakan kedua-dua fungsi ini, tiga isyarat tangan yang perlu dibuat agak mudah difahami dan ia berfungsi dengan sangat baik sekali. Sungguhpun begitu, fungsi ini hanya boleh digunakan di dalam persekitaran yang terang sahaja.

  • Kuad kamera Leica kini lebih berkuasa

HUAWEI P40 Pro kini tersedia dengan sokongan kuad kamera lebih berkuasa yang dikenali sebagai ‘Ultra Vision Leica Quad Camera’. Dari segi konfigurasi sistem kamera, P40 Pro masih mengekalkan sokongan lensa sama seperti P30 Pro iaitu lensa biasa Wide, Ultra Wide, periskop dan juga ToF.

Namun begitu keupayaan lensanya kini telah dipertingkatkan dengan lensa utama 50MP Ultra Vision sensor terbesar buat masa ini iaitu mencecah 1/1.28 inci. Ia juga menyokong teknologi RYYB yang memastikan gambar yang lebih terang dalam persekitaran gelap, dan juga fungsi auto fokus Octa Phase Detection yang jauh lebih cepat berbanding auto fokus Dual Pixel.

P40 Pro juga turut menyokong lensa 40MP Ultra Wide Cine dengan sensor RGGB sebesar 1/1.54 inci, lensa Telephoto jenis periskop 5x zum optikal dengan sensor RYYB beresolusi 12MP, dan juga lensa ToF untuk membantu auto fokus serta efek bokeh.

Selain lensa kuad kamera yang telah dipertingkatkan, penggunaan cipset Kirin 990 5G dengan ISP dan NPU yang telah dipertingkatkan membolehkan teknologi HUAWEI XD Fusion Engine menghasilkan gambar yang lebih terperinci diambil dengan proses yang lebih cepat.

HASIL GAMBAR

  • Keupayaan zoom
  • Persekitaran Low-light
  • Lihat hasil gambar yang diambil oleh jurugambar profesional:
  • Keupayaan rakaman video 4K 30fps

Pendapat kami: Keupayaan rakaman video 4K 30fps pada P40 Pro sememangnya tidak mengecewakan kerana ia masih mampu menghasilkan imej yang sangat jelas walaupun selepas dizoom sehingga 15x. Malah ton warna antara kesemua lensa (termasuk Ultra Wide) berjaya dikekalkan dengan agak baik. Cuma kekurangannya adalah pertukaran di antara lensa ketika dizoom kelihatan sedikit kurang lancar.

Fungsi Penggambaran dan Suntingan Gambar Menarik:

HUAWEI telah memperkenalkan ciri penggambaran yang dipanggil Golden Snap yang mana peranti secara automatik akan memilih gambar terbaik untuk digunakan oleh pengguna.

Selain fungsi Golden Snap, HUAWEI P40 Pro juga telah didatangkan dengan ciri suntingan gambar segera yang sangat menarik seperti berikut:

  • AI Remove Passersby – membolehkan pengguna memadam gambar orang yang melintas di belakang.
  • AI Remove Reflection – membolehkan pengguna memadam kesan pantulan jika gambar diambil disebalik cermin.

HUAWEI MOBILE SERVICES (HMS)

Seperti yang anda sedia maklum, peranti baharu keluaran HUAWEI telah menyokong HUAWEI Mobile Services (HMS) bagi menggantikan Google Mobile Services (GMS). HUAWEI MatePad Pro juga tidak terkecuali, dan ini bermakna aplikasi daripada Google termasuklah YouTube, Play Store, Maps dan sebagainya.

Bagi memenuhi keperluan pengguna di negara ini, HUAWEI Malaysia telah memaklumkan AppGallery kini menyokong pelbagai aplikasi popular di kalangan rakyat Malaysia, dan ini termasuklah aplikasi Facebook, WhatsApp, Instagram, TikTok, Netflix, Lazada dan sebagainya.

Jadi walaupun tidak didatangkan dengan sokongan aplikasi Google Play Store, anda sebenarnya masih boleh memuat turun pelbagai aplikasi pihak ketiga pada siri P40 dengan menggunakan tiga kaedah berikut:

1. Phone Clone

Proses muat turun aplikasi menggunakan bantuan Phone Clone adalah yang paling mudah untuk anda lakukan kerana tetapan peranti, gambar, kontak, kalendar dan juga aplikasi (lengkap dengan data) boleh terus dipasang pada P40 Pro.

Ini bermakna kesemua aplikasi yang telah dipindahkan dari peranti lama ke P40 Pro boleh terus digunakan seperti biasa tanpa perlu menjalankan proses daftar masuk.

Menariknya proses Phone Clone boleh menyokong pemindahan data dari peranti HUAWEI, peranti Android dan juga iPhone atau iPad. Apa yang perlu dilakukan adalah muat turun aplikasi Phone Clone dari Play Store atau App Store.

2. AppGallery

Berdasarkan percubaan kami, AppGallery berfungsi sama sahaja seperti Google Play Store kerana anda hanya boleh terus menaip nama aplikasi yang diingini atau mencari aplikasi mengikut kategori berbeza.

Antara aplikasi popular yang boleh dimuat turun terus melalui AppGallery, termasuklah aplikasi perbankan seperti RHB Mobile Banking, AMOnline, PB engage MY dan banyak lagi.

  • Quick APP

Menariknya HUAWEI AppGallery kini turut memperkenalkan fungsi Quick APP yang membolehkan pengguna untuk terus mengakses laman sesawang mudah alih seperti Maybank2u MY.

Berbeza dengan akses menggunakan pelayar Internet, antaramuka Quick APP tampil lebih mirip seperti aplikasi biasa dan pengguna boleh meletakkan ikon pintas tersebut mirip seperti aplikasi biasa bagi memudahkan mereka mengaksesnya pada bila-bila masa.

Apa yang membezakan ikon Quick APP denga ikon aplikasi biasa adalah kehadiran simbol seperti kilat berwarna biru yang tertera pada ikon.

  • Butang ‘GET’ memudahkan pengguna

Namun sekiranya aplikasi yang dicari tidak ditemui, AppGallery agak pintar untuk menyediakan pautan pantas untuk membawa pengguna terus ke laman sesawang rasmi aplikasi tersebut (tetapi tidak semua aplikasi menyokong fungsi ini).

Sebagai contoh apabila anda mencari aplikasi Facebook atau WhatsApp, AppGallery akan memaparkan butang ‘GET’ bagi membolehkan pengguna memuat turun dan memasang fail APK aplikasi tersebut secara manual melalui laman sesawang rasmi aplikasi itu sendiri.

3. Muat turun aplikasi melalui laman pihak ketiga

Jika aplikasi yang anda ingini tidak tersedia dalam AppGallery, anda boleh menggunakan bantuan laman sesawang pihak ketiga seperti APKPure, APPMonk ataupun AppTaken.

Ketiga-tiga pautan laman sesawang itu telah siap tersedia pada antaramuka utama HUAWEI Browser. Jadi untuk memuat turun aplikasi yang tidak terdapat di AppGallery, anda boleh menggunakan salah satu daripada laman sesawang yang dinyatakan.

Berdasarkan pengalaman kami, proses carian dan pemasangan menggunakan APKPure terasa lebih baik kerana ia siap didatangkan dengan aplikasi yang boleh terus dipasang ke dalam peranti.

Malah jika terdapat kemas kini baharu untuk aplikasi yang telah dipasang, anda akan menerima notifikasi untuk mengemaskinikannya secara automatik.

Tahukah anda Gmail boleh disokong melalui aplikasi pra-pasang HUAWEI Email?!

Sememangnya P40 Pro tidak tersedia dengan aplikasi Gmail, tetapi anda tidak perlu risau kerana akaun Gmail sebenarnya masih boleh didaftar masuk menggunakan aplikasi pra-pasang HUAWEI Email. Bahkan notifikasi emel baharu juga boleh diterima oleh P40 Pro seperti biasa.

PRESTASI

  • Ujian penanda aras
  • Masa mengecas menggunakan HUAWEI SuperCharge 40W

Dengan bateri berbaki 12%, kami mula mengecas P40 Pro ini menggunakan pengecas HUAWEI SuperCharge 40W pada jam 8.35 pagi. Dalam 30 minit pertama, bateri berkapasiti 4200mAh ini berjaya dicas sehingga 74% iaitu kenaikan sebanyak 62%. Bateri telah mencatatkan kapasiti 100%, tepat selepas 1 jam ia dicas.

SPESIFIKASI HUAWEI P40 Pro

  • EMUI 10.1 (Android 10)
  • HUAWEI Kirin 990 5G
  • (Octa Core) 2x 2.86GHz Cortex-A76 + 2x 2.36GHz Cortex-A76 + 4x 1.95GHz Cortex-A55
  • 8GB + 256GB (UFS 3.0)
  • 6.58 inci Quad-Curve Overflow Display OLED
  • 2640 x 1200 piksel
  • 90Hz, DCI-P3, HDR10
  • Kamera depan: 32MP (f/2.2) + IR Depth/Gesture Camera
  • Kamera utama: 50MP Ultra Vision Wide (RYYB, f/1.9, OIS) + 40MP Ultra Wide Cine (f/1.8) + 12MP 5x Optical Telephoto (RYYB Periscope, f/3.4, OIS) + TOF Camera (Depth sensing)
  • 4200mAh
  • Pengecas berwayar 40W, pengecas tanpa wayar 27W, pengecas tanpa wayar berbalik 27W
  • WiFi 802.11ax (WiFi 6+), 5G, Bluetooth 5.1, NFC, USB Type-C, Dual-band GPS, Inframerah
  • Pengimbas cap jari optikal, pengecaman wajah 3D
  • Speaker mono (Acoustic display untuk panggilan)
  • IP68 (kalis air dan debu)
  • Pilihan warna: Silver Frost, Blush Gold, Deep Sea Blue
  • Harga: RM 3,899

PENDAPAT

Tidak dapat disangkal lagi HUAWEI P40 Pro sememangnya layak digelar sebagai antara telefon pintar terbaik yang boleh anda miliki di pasaran. Ini kerana ia bukan sahaja menawarkan keupayaan kamera yang terbaik, tetapi dalam masa yang sama menjanjikan prestasi yang berkuasa tinggi.

Bagi kami rekaan fizikal HUAWEI P40 Pro juga kelihatan menarik dan sangat premium, tetapi kehadiran lubang kamera yang agak besar ini sedikit kurang ‘selesa’ untuk dipandang. Namun begitu ia mungkin boleh dimaafkan kerana ia tersedia dengan fungsi pengecaman wajah 3D yang sememangnya sangat praktikal di dalam persekitaran gelap.

Malah ketiadaan Play Store juga tidak menjadi satu isu besar kepada kami kerana aplikasi yang biasa digunakan seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, Netflix, YouTube (kami gunakan YouTube Vanced), aplikasi perbankan, dan juga aplikasi eDompet seperti Touch ‘n Go eWallet boleh dimuat turun dan digunakan seperti biasa.

Tetapi disebabkan proses muat turun aplikasi perlu dibuat melalui beberapa kaedah berbeza, ia sememangnya agak melecehkan.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend