[Ulasan] HUAWEI Nova 7i – Pengalaman Kami Menggunakan Peranti Dengan Sokongan HMS… Comments Off on [Ulasan] HUAWEI Nova 7i – Pengalaman Kami Menggunakan Peranti Dengan Sokongan HMS…

HUAWEI sebelum ini telahpun memperkenalkan cipset berasaskan proses 7nm keduanya iaitu Kirin 810. Bahkan ia telah dilancarkan secara rasmi serentak dengan model HUAWEI Nova 5 pada Jun tahun 2019 yang lalu. Namun begitu, model ini hanya tersedia untuk pasaran China sahaja.

Setelah sekian lama menanti, kini HUAWEI Malaysia akhirnya telah hadir dengan model HUAWEI Nova 7i yang merupakan telefon pertama di negara ini yang menyokong cipset Kirin 810. Apa yang pasti, berbeza dengan siri HUAWEI Nova sebelum ini, Nova 7i dilihat telah memfokuskan kepada persekitaran HMS (HUAWEI Mobile Services).

SPESIFIKASI:

  • EMUI 10.0.1 (Android 10)
  • Kirin 810 (7nm)
  • 2x 2.27GHz Cortex-A76 + 6x 1.88GHz Cortex-A55
  • Mali-G52 MP6
  • 8GB LPDDR4X + 128GB (UFS2.1)
  • NM SD Card sehingga 256GB
  • 6.4 inci IPS LCD FHD+ (2310 x 1080 piksel)
  • Kamera utama: 48MP (f/1.8) + 8MP (Ultra Wide Angle, f/2.4) + 2MP (Macro, f/2.4) + 2MP (Bokeh)
  • Kamera depan: 16MP (f/2.0)
  • Rakaman video: 1080p 30fps
  • Video Slo-Mo: [email protected][email protected]
  • 4200mAh (HUAWEI SuperCharge 40W)
  • USB Type-C, WiFi 802.11ac (2.4GHz/5GHz), Bluetooth 5.0, Bicu audio 3.5mm
  • Accelerometer, Ambient light sensor, Proximity sensor, Gravity sensor, Digital compass
  • Pengimbas cap jari (terbina-dalam pada butang kuasa)
  • 159.2 x 76.3 x 8.7mm / 183g
  • Pilihan warna: Sakura Pink / Midnight Black / Crush Green

PAKEJ PEMBELIAN

Jika anda perasan, HUAWEI sememangnya lebih gemar mengambil pendekatan untuk tampil dengan kotak pembungkusan yang ringkas. Bahkan untuk kotak pembungkusan Nova 7i ini juga ia didatangkan dalam kotak berwarna putih.

Tetapi apa yang membezakan kotak pembungkusan Nova 7i ini berbanding siri Nova yang lain adalah cetakan ‘Explore It On AppGallery’. Ini sebenarnya merujuk kepada penggunaan HMS yang mungkin terasa sedikit asing bagi pengguna tegar Android. (Kami akan bercerita lebih lanjut tentang HMS di bawah).

Apabila kotak ini dibuka, anda jelas boleh melihat Nova 7i yang disimpan di dalam plastik. Manakala bahagian bawah peranti ini telah tersedia dengan aksesori tambahan termasuklah pin untuk membuka slot kad, sarung pelindung jernih jenis TPU, fon telinga asas, kabel USB Type-C dan juga palam kuasa HUAWEI SuperCharge 40W.

REKAAN FIZIKAL

Tidak dinafikan bahawa rekaan panel skrin Nova 7i sebenarnya tidak begitu jauh berbeza dengan model Nova 5T, ini kerana kedua-dua model ini memiliki lubang kamera pada bahagian atas kiri skrin. Namun begitu, resolusi kamera depan Nova 7i tampil lebih rendah iaitu hanya 16MP berbanding 32MP pada Nova 5T.

Pada penelitian kami, kerangka Nova 7i ini dipercayai diperbuat daripada plastik dengan kualiti binaan yang kelihatan sangat baik. Bahagian sisi kiri kerangka peranti ini menempatkan slot kad yang tersedia dengan dua slot kad SIM hibrid bersaiz nano.

Sekiranya memori dalaman sebesar 128GB masih tidak mencukupi, anda masih boleh menggunakan NM SD Card dengan kapasiti maksimum sehingga 256GB. Cuma harga kad SD ini agak mahal kerana ia dijual pada harga mencecah lebih RM400 di pasaran untuk kapasiti 256GB.

Sisi kanan kerangka Nova 7i pula seperti biasa telah tersedia dengan dua butang fizikal iaitu butang melaras suara, dan juga butang kuasa yang agak lebar. Menariknya kedudukan pengimbas cap jari terbina-dalam pada butang kuasa ini sememangnya praktikal kerana ia mudah diakses menggunakan jari telunjuk (tangan kiri) ataupun ibu jari (tangan kanan).

Selain proses imbasan cap jari yang sangat pantas, anda juga boleh memilih untuk meletakkan jari di atas permukaan butang kuasa ataupun menekan butang kuasa untuk mengakses peranti ketika berada dalam mod sleep. Nova 7i juga turut menyokong proses pengecaman wajah yang pantas.

HUAWEI Nova 7i turut menjanjikan akses yang lengkap kerana ia didatangkan dengan sokongan port USB Type-C dengan teknologi pengecasan pantas, dan juga bicu audio 3.5mm yang membolehkan anda untuk menggunakan fon telinga dengan sambungan 3.5mm yang diberikan percuma dalam pakej pembelian.

KUAD KAMERA 48MP

Panel belakang Nova 7i sememangnya sangat menonjol, tetapi dalam masa yang sama menimbulkan kontroversi kerana rekaan kameranya dikatakan mirip seperti rekaan kamera sebuah jenama popular yang digilai oleh ‘instafamous’.

Tetapi pada pendapat kami, rekaan kamera matriks seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana HUAWEI terlebih dahulu memperkenalkannya pada siri Mate 20 pada tahun 2018 yang lalu. Cuma kedudukan kamera pada Nova 7i kini telah diubah kedudukannya pada sisi kiri, berbanding tengah sebelum ini.

Didatangkan dengan kuad kamera beresolusi 48MP + 8MP + 2MP + 2MP, Nova 7i menjanjikan keupayaan penggambaran yang berbeza termasuklah sudut lebar, bokeh dan juga makro.

Menariknya Nova 7i juga mampu mengambil gambar malam yang jauh lebih terang tanpa noise. Ini kerana ia dilengkapi dengan kombinasi teknologi HUAWEI AI Image Stabilization dan juga mod Handheld Super Night. Tanpa perlu menggunakan tripod, anda kini boleh mengambil gambar long exposure sehingga 7 saat tanpa menyebabkan hasil gambar kabur.

Pada pendapat kami, kualiti gambar menggunakan kamera Nova 7i ini sememangnya sangat baik bagi sebuah telefon pintar dalam segmen harga bawah RM1200. Ini kerana cipset Kirin 810 turut dilengkapi dengan teknologi pemprosesan imej ISP + IVP yang mampu mengurangkan noise dan juga mempertingkatkan white balance, setanding peranti mercu yang lebih mahal.

PRESTASI

  • Ujian Penanda Aras:

Berdasarkan ujian penanda aras yang kami jalankan, terbukti prestasi Kirin 810 sememangnya sangat baik bagi sebuah cipset untuk peranti kelas pertengahan. Apabila ‘Performance Mode’ diaktifkan, skor yang dicatatkan oleh Nova 7i dilihat jauh lebih tinggi berbanding menggunakan mod biasa.

Melalui ujian penanda aras menggunakan aplikasi AndroBench, Nova 7i dapat disahkan telah menyokong storan jenis UFS 2.1. Ini dapat dilihat melalui skor Sequential Read sekitar 839 MB/s dan juga Sequential Write sekitar 576 MB/s.

  • Kepantasan pengecasan HUAWEI SuperCharge 40W:

Selain cipset dan juga kamera, kelebihan yang membuatkan Nova 7i jauh lebih baik berbanding model telefon pintar lain dalam segmen harga bawah RM1,100 adalah sokongan pengecasan pantas sehingga 40W.

Dengan menggunakan teknologi HUAWEI SuperCharge (5V2A / 9V2A / 10V4A) pada kabel USB Type-C dan juga palam kuasanya, Nova 7i dicas dari 3% kepada 100% dalam masa hanya 1 jam 7 minit sahaja.

ANTARAMUKA EMUI 10

Keluar daripada kotak, Nova 7i telah siap dioperasikan dengan antaramuka EMUI 10 berasaskan Android 10 yang paling terkini. Selain penampilan antaramuka yang diinspirasikan daripada ‘Magazine Style UI’ dengan sentuhan warna baharu yang dikenali sebagai ‘Morandi Color System’, EMUI 10 ini turut menyokong beberapa fungsi menarik seperti berikut:

  • Mod gelap
  • Multi-screen Collaboration
  • GPU Turbo yang dinaik taraf dengan GameCentre
  • HUAWEI Phone Clone yang dinaik taraf bagi memudahkan pemindahan data antara telefon pintar.

Namun berbeza dengan peranti HUAWEI yang lain, jelas dapat dilihat bahawa antaramuka Nova 7i kelihatan lebih simple kerana tidak lagi didatangkan dengan folder yang menempatkan kesemua aplikasi daripada Google.

HUAWEI MOBILE SERVICES (HMS)

Memandangkan HUAWEI telah memfokuskan kepada HMS pada Nova 7i, kini ia tidak lagi didatangkan dengan sokongan aplikasi dan juga perkhidmatan daripada Google atau lebih dikenali sebagai GMS (Google Mobile Services). Ini termasuklah ketiadaan Gmail, Google Maps, Google Calendar, Google Play Services, Google Drive, YouTube dan sebagainya.

Walaupun tidak didatangkan dengan sokongan aplikasi Google Play Store, anda sebenarnya masih boleh memuat turun pelbagai aplikasi pihak ketiga dengan menggunakan tiga kaedah seperti berikut:

  • AppGallery

Berdasarkan percubaan kami, AppGallery berfungsi sama sahaja seperti Google Play Store kerana anda hanya boleh terus menaip nama aplikasi yang diingini atau mencari aplikasi mengikut kategori berbeza. Tetapi memandangkan AppGallery masih baru, masih banyak aplikasi tidak tersedia. Ini termasuklah aplikasi perbankan tempatan seperti Maybank dan juga aplikasi navigasi popular seperti Waze.

Namun sekiranya aplikasi yang dicari tidak ditemui, AppGallery agak pintar untuk menyediakan pautan pantas untuk membawa pengguna terus ke laman sesawang rasmi aplikasi tersebut (tetapi tidak semua aplikasi menyokong fungsi ini). Sebagai contoh apabila anda menaip ‘Facebook’ atau ‘WhatsApp’, AppGallery akan memaparkan butang ‘GET’ bagi membolehkan pengguna memuat turun dan memasang fail APK aplikasi tersebut secara manual.

  • Muat turun aplikasi melalui laman pihak ketiga

Jika aplikasi yang anda ingini tidak tersedia dalam aplikasi AppGallery, Nova 7i sebenarnya turut didatangkan dengan sokongan HUAWEI Browser yang dilengkapi dengan akses pintas ke laman sesawang pihak ketiga iaitu APKPure, APKMonk dan juga AppTaken.

Anda hanya perlu klik pada mana-mana laman sesawang tersebut untuk mencari aplikasi yang diigini (contoh: Waze) dan fail APK aplikasi tersebut akan dimuat turun ke dalam peranti. Anda hanya perlu klik pada fail yang telah siap dimuat turun pada ruangan notifikasi untuk memulakan proses pemasangan atau mengakses aplikasi File Manager > Internal Storage > Download > Browser.

  • Phone Clone

Proses muat turun aplikasi pada Nova 7i akan menjadi lebih mudah apabila anda menggunakan bantuan aplikasi Phone Clone. Ini kerana anda boleh memilih aplikasi seperti WhatsApp atau YouTube yang digunakan pada telefon lama untuk dipindahkan ke Nova 7i.

Gmail boleh disokong melalui aplikasi pra-pasang HUAWEI Email

Walaupun HUAWEI Nova 7i tidak tersedia dengan aplikasi Gmail, anda tidak perlu risau kerana sebenarnya anda masih boleh log masuk akaun Gmail pada aplikasi pra-pasang HUAWEI Email yang tersedia pada peranti ini. Bahkan notifikasi emel yang diterima oleh Gmail pada Nova 7i juga boleh diterima seperti biasa.

Pendapat kami:

Apabila pertama kali menggunakan HUAWEI Nova 7i yang tidak tersedia dengan sokongan GMS, terus-terang kami berasa agak skeptikal dengan kemampuan dan juga pengalaman penggunaan peranti ini. Antara persoalan yang bermain di fikiran, “Boleh ke nak guna aplikasi Facebook, Waze atau perbankan dekat Nova 7i ni nanti?”.

Ternyata dengan sokongan AppGallery dan juga beberapa kaedah yang ditawarkan, kesemua aplikasi yang biasa anda gunakan sebelum ini boleh dimuat turun dan digunakan tanpa masalah.

Namun apabila kami cuba memuat turun aplikasi Google seperti Google Maps dan YouTube dengan aplikasi ‘Google Play Services’ daripada laman pihak ketiga seperti yang kami nyatakan sebelum ini, ia boleh digunakan seperti biasa. Tetapi selepas beberapa ketika terdapat tetingkap yang menyatakan aplikasi tidak boleh dibuka kerana tiada ‘Google Play Services’, walaupun ia telahpun dipasang sebelum ini.

Jadi sebagai alternatif untuk menggunakan aplikasi daripada Google seperti YouTube dan Gmail, anda boleh mengaksesnya menggunakan HUAWEI Browser. Bagi memudahkan akses yang lebih mudah dan pantas, kami cadangkan anda untuk membuat shortcut di homescreen.

KELEBIHAN

  • Cipset Kirin 810 dengan kombinasi memori 8GB RAM serta storan sebesar 128GB sememangnya menjanjikan prestasi terbaik dalam segmen peranti kelas pertengahan. Ini sekaligus memastikan nilai belian terbaik dan berbaloi.
  • Kami amat menyukai kualiti kamera malam pada Nova 7i kerana ia berupaya menghasilkan gambar yang sangat terang, noise yang kurang, kawalan pendedahan cahaya yang sangat baik dan juga warna yang cantik.
  • HUAWEI Nova 7i merupakan satu-satunya telefon pintar kelas pertengahan yang hadir dengan teknologi pengecasan yang sangat pantas iaitu mencecah sehingga 40W.
  • Pembelian Nova 7i didatangkan dengan fon telinga dan juga palam kuasa serta kabel pengecasan pantas 40W yang sememangnya jarang dijumpai pada pada telefon pintar dalam bajet bawah RM1,100.

KEKURANGAN

  • HMS buat masa ini masih tidak mampu menggantikan GMS dari segi pengalaman penggunaan kerana pengguna terpaksa menggunakan kaedah yang berbeza untuk memuat turun aplikasi atau permainan iaitu melalui AppGallery ataupun laman pihak ketiga.
  • Mod malam (Night) pada Nova 7i tidak boleh digunakan pada kamera Ultra Wide Angle. Ia hanya boleh digunakan pada mod 1x dan 2x zum sahaja.
  • Walaupun Nova 7i menyokong slot memori tambahan, penggunaan HUAWEI NM SD Card tidak begitu praktikal untuk peranti dalam segmen ini kerana harganya yang sangat mahal.
  • Tiada lampu notifikasi LED disokong jadi agak sukar untuk anda mengetahui status pengecasan ataupun penerimaan mesej apabila peranti berada dalam mod sleep.

VIDEO BUKA KOTAK HUAWEI NOVA 7i:

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend