[Ulasan] HUAWEI MatePad Pro – Adakah Ini Merupakan Tablet Android Terbaik Di Pasaran?! Comments Off on [Ulasan] HUAWEI MatePad Pro – Adakah Ini Merupakan Tablet Android Terbaik Di Pasaran?!

Sebagaimana yang kita ketahui, HUAWEI sememangnya terkenal dengan penawaran tablet keluarannya di bawah siri MediaPad. Namun begitu buat pertama kalinya HUAWEI telah menampilkan sedikit kelainan apabila mengumumkan kemunculan tablet terbaharunya di bawah siri MatePad.

Menariknya HUAWEI MatePad sebenarnya telah menggabungkan rekaan mudah alih pada tablet MediaPad dan juga keupayaan produktiviti pada komputer riba MateBook.

Jadi dengan rekaan kompak dan prestasi berkuasa, MatePad Pro sudah tentunya mampu memenuhi keperluan harian anda tidak kira di mana jua dan apa jua aktiviti yang anda lakukan…

PAKEJ PEMBELIAN

  • Kotak pembungkusan

Tidak jauh berbeza dengan kotak pembungkusan produk keluaran HUAWEI yang lain, tablet MatePad Pro masih mengekalkan penampilan kotak pembungkusan yang ringkas berwarna putih.

Apa yang membezakan MatePad Pro dengan tablet keluaran HUAWEI sebelum ini adalah cetakan ‘EXPLORE IT ON AppGallery’ serta cipset KIRIN 990 yang mendedahkan bahawa tablet ini menyokong HUAWEI Mobile Services (HMS).

  • Aksesori di dalam kotak

Selain MatePad Pro itu sendiri, di dalam kotak telah tersedia dengan dua kotak berasingan yang mana kotak pertama menempatkan pin slot kad, kabel USB Type-C Quick Charge, buku manual pengguna, dan juga penyambung USB Type-C ke bicu audio 3.5mm.

Manakala kotak kedua pula menempatkan pengecas HUAWEI Quick Charge 20W dengan sambungan tiga pin. Pengecas ini menyokong tiga output berbeza iaitu 5V2A (10W), 9V2A (18W) dan 10V2A (20W).

REKAAN

Apabila pertama kali kami memegang dan melihat sendiri MatePad Pro, ia sememangnya mengingatkan kami kepada rekaan iPad Pro. Ini kerana ia menampilkan rekaan skrin yang luas dengan sokongan bezel yang sangat nipis iaitu hanya 4.9mm, berbanding iPad Pro (8.3mm) dan juga Galaxy Tab S6 (8.5mm).

 Bezel nipis yang simetri ini bukan sahaja kelihatan lebih seimbang rekaannya, tetapi akan lebih dihargai oleh pengguna yang memiliki OCD.

Kualiti paparan skrin pada MatePad Pro juga terasa cukup puas untuk dilihat kerana ia menyokong skrin sebesar 10.8 inci dengan resolusi 2560 x 1600 piksel. Tahap keterangan maksimum sehingga 540nits juga cukup memadai untuk digunakan dalam persekitaran yang terang.

Selain itu keunikan paling ketara yang dapat dilihat pada MatePad Pro berbanding tablet lain di pasaran adalah pada rekaan lubang kamera depan beresolusi 8MP. Bagi kami rekaan sebegini sebenarnya agak kurang praktikal kerana sedikit sebanyak ia boleh menggangu tumpuan ketika menggunakannya.

Walaupun hadir dengan rekaan bezel nipis, anda masih boleh menggunakan MatePad Pro tanpa rasa kekok kerana paparan skrin tablet ini menyokong ciri yang mampu mengabaikan sentuhan pada skrin apabila anda memegangnya.

Bahkan ciri palm rejection ini juga turut berfungsi dengan sangat baik apabila anda menggunakan M-Pencil untuk membuat lakaran atau mengambil nota pada permukaan skrin yang besar. Ini bermaksud anda masih boleh meletakkan tangan anda di atas paparan skrin dan hanya input sentuhan pada M-Pencil sahaja akan dikesan.

Jika dilihat pada rekaan kamera utamanya yang agak panjang, mungkin anda menyangkakan MatePad Pro menyokong lebih daripada satu lensa, tetapi sebenarnya ia hanya memiliki satu kamera beresolusi 13MP. Selain itu anda juga boleh menemui LED Flash dan juga salah satu daripada lima lubang mikrofon yang terdapat pada tablet ini.

Tidak dinafikan rekaan sebegini memang kelihatan menarik pada sebuah tablet, tetapi permukaan kamera yang timbul ini agak menjengkelkan. Ini kerana tablet anda akan lebih mudah bergoyang apabila ia digunakan di atas permukaan meja.

Dari aspek kualiti bunyi, HUAWEI MatePad Pro tidak dinafikan antara yang terbaik kerana ia tersedia dengan empat buah speaker iaitu dua di sebelah kiri kerangka dan dua lagi speaker di sebelah kanan kerangka tablet ini. Kuad speaker pada MatePad Pro telah ditala oleh Harman Kardon Audio dan juga Histen 6.0 3D yang bukan sahaja berjaya menghasilkan bunyi bes yang baik, tetapi ia juga menyokong efek bunyi keliling 360 darjah.

Berdasarkan pengalaman kami, efek bunyi yang dihasilkan bukan sahaja dapat memberikan kepuasan ketika menonton atau bermain game, tetapi gegaran daripada bes yang dihasilkan turut boleh dirasai apabila anda memegang tablet ini.

Hadir dengan kerangka setebal 7.2mm, MatePad Pro bukanlah tablet ternipis di pasaran kerana pesaingnya tampil jauh lebih nipis iaitu Galaxy Tab S6 setebal 5.7mm dan juga iPad Pro setebal 5.9mm. Namun begitu dengan bateri berkapasiti 7250mAh, MatePad Pro telah dilengkapi dengan teknologi pengecasan yang lebih baik iaitu pengecas pantas berwayar 20W, berbanding 15W pada Galaxy Tab S6 dan 18W pada iPad Pro.

• Bahagian atas MatePad Pro boleh ditemui empat daripada lima mikrofon dan juga butang melaras suara.

Tidak cukup dengan itu, MatePad Pro turut menyokong teknologi pengecasan tanpa wayar 15W dan juga pengecas berbalik mencecah sehingga 7.5W. Malah bahagian sisi pada tablet ini turut menyediakan bahagian bermagnet dengan pengecasan tanpa wayar untuk mengecas M-Pencil, sekaligus menjadi tempat untuk anda meletakkan aksesori ini apabila tidak digunakan.

Untuk pengetahuan anda, MatePad Pro yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia adalah merupakan model WiFi sahaja. Ini bermakna anda perlu bergantung sepenuhnya kepada sambungan WiFi kerana tiada slot kad SIM disediakan. Satu-satunya slot yang terdapat pada tablet ini adalah slot kad NM yang mampu menyokong sehingga 256GB. Cuma kekurangan paling utama kad memori NM ini adalah harganya yang sememangnya sangat mahal.

AKSESORI EKSKLUSIF

HUAWEI MatePad Pro sememangnya menjanjikan sokongan spesifikasi yang cukup berkuasa untuk melaksanakan sebarang tugasan yang diperlukan. Tetapi menariknya produktiviti tablet ini akan lebih menyerlah dengan penawaran aksesori esklusif yang diperkenalkan khusus iaitu HUAWEI Smart Magnetic Keyboard dan juga HUAWEI M-Pencil.

Namun begitu, aksesori eksklusif ini hanya akan diberikan kepada pembeli yang memiliki HUAWEI MatePad Pro secara pra-tempah sahaja. Manakala untuk yang terlepas membuat pra-tempah, HUAWEI Smart Magnetic Keyboard dan HUAWEI M-Pencil ini perlu dibeli secara berasingan.

  • HUAWEI Smart Magnetic Keyboard

Rekaan papan kekunci MatePad Pro ini kelihatan mirip seperti rekaan papan kekunci pada iPad Pro, dan sambungan ke tablet boleh dibuat dengan sangat mudah kerana ia tersedia dengan bahagian bermagnet yang sangat kuat.

Pengalaman menggunakan papan kekunci ini sememangnya sangat baik kerana ia memberi rasa klik yang memuaskan dengan key travel sejauh 1.3mm. Namun begitu kami mengalami sedikit kesukaran untuk menggunakan papan kekunci ini memandangkan susunan saiz butangnya yang agak kecil, terutamanya butang ‘Enter’ dan ‘Delete/Backspace’. Mungkin kami memerlukan lebih masa untuk membiasakan diri untuk menaip menggunakan papan kekunci ini.

Memandangkan papan kekunci ini tidak tersedia dengan butang ‘Fn’ untuk mengaktifkan penggunaan simbol (contoh: @, #, %, & dan sebagainya), ia sememangnya sangat mengganggu kelancaran ketika menaip terutamanya apabila anda ingin memasukkan simbol ‘@’ pada alamat emel. Bahkan kami terpaksa mencari jalan penyelesaian sendiri kerana ia tidak dinyatakan dalam buku panduan pengguna.

Tips : Selepas mencuba pelbagai cara, kami telah berjaya menemui penyelesaian untuk mengaktifkan penggunaan simbol yang betul, iaitu dengan membuat pilihan ‘English (US), International style’ pada menu ‘Keyboard layouts’ dengan mengikuti langkah berikut: System & updates → Language & input → More input settings → Physical keyboard → HUAWEI MatePad Keyboard.

Keistimewaan yang paling kami suka tentang HUAWEI Smart Magnetic Keyboard adalah pengaktifan fungsi Multi-screen Collaboration yang membolehkan sambungan interaktif antara tablet ini dengan telefon pintar HUAWEI. Proses sambungannya juga sangat mudah iaitu meletakkan bahagian NFC pada telefon pintar anda pada ikon khas yang terdapat pada butang ‘Shift’.

Bagi memastikan penggunaan yang lebih fleksibel, anda boleh meletakkan MatePad Pro dalam dua sudut berbeza iaitu 60 darjah atau 70 darjah bergantung kepada keselesaan anda. Prosesnya juga sangat mudah kerana ia memiliki permukaan magnet yang sangat kuat.

  • HUAWEI M-Pencil

Direka khusus untuk MatePad Pro, HUAWEI M-Pencil yang hadir dengan rekaan hexagonal ini memiliki bahagian hujung mata pensil yang sangat sensitif iaitu mencapai sehingga 4,096 Levels of Pressure Sensitivity. Tahap kependaman (latency) M-Pencil ini juga agak baik iaitu 20ms, sekaligus mampu mengurangkan isu lag.

Apabila tablet berada dalam mod standby, anda hanya perlu menyentuh skrin menggunakan M-Pencil untuk mengaktifkan fungsi Quick Note bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pengambilan nota penting. Bahkan nota yang telah diambil tadi akan disimpan secara automatik ke dalam aplikasi Notepad.

Proses membuat lakaran atau menulis menggunakan M-Pencil juga menjanjikan pengalaman yang sangat baik kerana anda boleh merehatkan tangan di atas permukaan skrin MatePad Pro tanpa perlu risaukan input yang tidak dikehendaki dengan adanya sokongan palm rejection.

HUAWEI M-Pencil menjanjikan ketahanan bateri yang sangat baik kerana ia mampu bertahan sehingga 10 jam untuk aktiviti menulis dan sehingga 10 hari masa menunggu.

Malah proses pengecasannya juga sangat mudah kerana anda hanya perlu meletakkannya pada bahagian atas MatePad Pro (apabila digunakan dalam mod landskap), dan secara automatik ia akan dicas menggunakan teknologi pengecasan tanpa wayar. Menurut HUAWEI, M-Pencil boleh digunakan sehingga 10 minit dengan pengecasan hanya 30 saat.

ANTARAMUKA EMUI 10.0.1

Berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh Apple yang menawarkan sokongan platform yang dikhususkan untuk tablet keluarannya yang dikenali sebagai iPadOS, HUAWEI pula telah menggunakan platform EMUI yang sama seperti yang digunakan pada telefon pintar keluarannya.

Namun begitu bagi disesuaikan dengan paparan skrin tablet yang lebih besar, HUAWEI telah membuat beberapa perubahan terhadap antaramuka dan juga fungsi EMUI untuk MatePad Pro. Antaranya termasuklah fungsi peralihan pantas ke PC Mode, Multi-Window, App Multiplier dan juga Multi -screen Collaboration.

Dioperasikan dengan EMUI 10.0.1 berasaskan Android 10, MatePad Pro dengan sokongan cipset Kirin 990 telah dibangunkan dengan versi sumber terbuka Android (AOSP) tanpa memerlukan sokongan Google Mobile Services (GMS). Ini bermakna kesemua aplikasi daripada Google seperti Play Store, Maps dan YouTube tidak lagi disokong oleh tablet ini.

Sebagai alternatif HUAWEI MatePad Pro kini telah dilengkapi dengan sokongan HUAWEI Mobile Services (HMS), dan anda boleh menggunakan aplikasi pra-pasang AppGallery untuk memuat turun aplikasi ataupun permainan.

Seperti yang pernah kami kongsikan dalam ulasan HUAWEI P40 Pro dan juga HUAWEI Nova 7i, terdapat banyak aplikasi yang boleh anda muat turun terus melalui AppGallery. Antaranya termasuklah TikTok, Lazada, Shopee, WeChat, Boost, Touch ‘n Go, JOOX Music, iflix, AirAsia, dan termasuklah aplikasi perbankan seperti Public Bank, RHB serta Amonline.

Manakala untuk sesetengah aplikasi seperti WhatsApp dan Facebook, AppGallery akan terus menyediakan pautan ke laman rasmi aplikasi tersebut untuk pengguna memuat turun fail .apk untuk dipasang secara manual.

FUNGSI MENARIK

  • Multi-Window

Terus terang kami katakan bahawa fungsi Multi-Window pada MatePad Pro ini sememangnya diinspirasikan daripada fungsi Split View yang disokong oleh iPad Pro. Malah animasi yang digunakan juga kelihatan sama sahaja.

Untuk mengaktifkan fungsi ini, anda boleh membuka mana-mana aplikasi (contoh: HUAWEI Browser), leretkan skrin dari sisi kiri/kanan dan jangan lepaskan sehingga satu senarai ikon aplikasi dipaparkan. Anda boleh leretkan ikon aplikasi (termasuk aplikasi pihak ketiga) yang diingini ke dalam skrin utama untuk mengaktifkan fungsi Multi-Window.

 Anda boleh mengoperasikan sehingga tiga aplikasi secara serentak, termasuk aplikasi ketiga dalam bentuk tetingkap mini.

Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh mengaktifkan tetingkap aplikasi terapung ketiga yang boleh dileretkan pada mana-mana bahagian pada paparan skrin. Menariknya ketiga-tiga tetingkap ini menyokong fungsi ‘drag & drop’ fail seperti gambar, video ataupun dokumen dari satu tetingkap ke tetingkap yang lain.

  • App Multiplier

App Multiplier menawarkan kaedah baharu untuk menggunakan tablet anda dalam orientasi landskap. Sebagai contoh apabila kami menggunakan aplikasi Lazada, paparan skrin akan diasingkan kepada dua bahagian berbeza iaitu satu bahagian akan memaparkan senarai carian produk, manakala satu bahagian lagi memaparkan butiran lengkap produk yang anda pilih.

  • Multi-screen Collaboration

Fungsi Multi-screen Collaboration yang sebelum ini telah diperkenalkan pada komputer riba HUAWEI MateBook X Pro kini tersedia untuk digunakan pada tablet MatePad Pro. Melalui fungsi ini, anda boleh memaparkan dan mengawal skrin telefon pintar anda melalui skrin tablet itu sendiri.

Apabila kedua-dua peranti ini disambungkan melalui fungsi Multi-screen Collaboration, anda boleh membuat panggilan, menghantar mesej, atau melihat gambar dan video pada telefon pintar anda pada skrin MatePad Pro.

Bukan setakat itu sahaja, fungsi ini turut membolehkan anda untuk memindahkan fail seperti gambar, video ataupun dokumen antara dua peranti tersebut dengan menggunakan kaedah ‘drag & drop’.

  • Desktop Mode

Sekiranya anda inginkan pengalaman penggunaan yang lebih mirip seperti menggunakan komputer, MatePad Pro tersedia dengan fungsi Desktop Mode yang boleh diaktifkan dengan hanya satu klik sahaja. Bahkan peralihan dari Tablet Mode ke Desktop Mode juga hanya mengambil masa beberapa saat sahaja.

Berdasarkan pengalaman kami sendiri, sambungan papan kekunci dan juga tetikus menggunakan bantuan adapter USB Type-C pada MatePad Pro sememangnya sangat praktikal kerana ia sangat membantu dalam melancarkan tugasan yang sedang anda lakukan.

Selain menawarkan antaramuka seakan Windows, fungsi Desktop Mode ini membolehkan pengguna mengoperasikan lebih banyak aplikasi secara serentak dalam bentuk tetingkap berasingan, sama seperti menggunakan komputer.

APLIKASI MENARIK

  • WPS Office

MatePad Pro telah didatangkan dengan aplikasi pra-pasang WPS Office yang merupakan perisian pejabat pelbagai platform yang dibangunkan untuk Windows, macOS, Linux, iOS dan juga Android. Dengan menggunakan aplikasi ini, ia menawarkan tiga sokongan dokumen berbeza iaitu WPS Writer, WPS Presentation dan juga WPS Spreadsheet.

Menariknya aplikasi WPS Office boleh memastikan kerja pejabat yang lebih efisien kerana ia memiliki fungsi tambahan seperti pengambilan nota suara, dan dalam masa yang sama turut menyokong fungsi pen penyerlah (highlighter pen) untuk menandakan bahagian penting.

  • Nebo for HUAWEI

Aplikasi Nebo yang sememangnya terkenal di kalangan pengguna iPad kini turut diperkenalkan pada MatePad Pro. Dengan menggunakan bantuan HUAWEI M-Pencil, anda boleh menulis nota dalam cara yang paling intuitif.

Ini kerana aplikasi ini menyokong pelbagai fungsi praktikal seperti contengan pada teks untuk memadam, garisan menegak ke bawah antara perkataan untuk mengasingkannya ke perenggan baharu, dan bermacam-macam lagi fungsi yang memudahkan pengambilan nota anda.

Tidak cukup dengan itu, ia turut menyokong kandungan yang lebih interaktif iaitu keupayaan untuk menyelitkan diagram, persamaan matematik, tambahan gambar lengkap penjelasan, dan juga lakaran bebas berwarna.

  • MyScript Calculator 2

Bagi anda yang sangat memerlukan bantuan pengiraan pantas, terutamanya untuk golongan pelajar, aplikasi MyScript Calculator 2 menawarkan kaedah paling mudah untuk membuat kiraan terutamanya untuk formula matematik yang kompleks.

Anda hanya perlu menulis kiraan pada paparan skrin dan secara automatik jawapan untuk formula itu akan dipaparkan. Lebih menariknya, anda boleh menggunakan kaedah ‘Drag & Drop’ pada mana-mana nombor di barisan berikutnya.

KELEBIHAN:

  • Cipset Kirin 990 merupakan cipset yang menawarkan prestasi antara yang terbaik di pasaran.
  • Paparan skrin 2K dengan rekaan bezel yang sangat nipis.
  • Tablet pertama menggunakan rekaan lubang kamera depan pada skrin.
  • Empat speaker dengan sokongan Harman Kardon dan HUAWEI Histen 6.0.
  • Dilengkapi teknologi pengecasan tanpa wayar dan pengecasan berbalik.
  • Menjanjikan pengalaman tablet terbaik dengan sokongan pelbagai fungsi menarik seperti Multi-screen Collaboration, Desktop Mode dan Multi-Window.

KEKURANGAN:

  • Hanya ditawarkan dalam varian WiFi sahaja untuk pasaran tempatan.
  • Tiada aplikasi atau perkhidmatan daripada Google.
  • AppGallery masih belum mampu menawarkan himpunan koleksi aplikasi yang lengkap.
  • Masih terdapat aplikasi pihak ketiga yang belum dioptimumkan sepenuhnya untuk menyokong paparan tablet dalam mod landskap.

PENDAPAT

Apa yang kami kurang suka tentang tablet ini

Apabila pertama kali kami menggunakan HUAWEI MatePad Pro, ketiadaan aplikasi Google Play Store sememangnya terasa agak melecehkan kerana kami perlu menjalankan proses Phone Clone bagi memastikan kesemua aplikasi yang biasa kami gunakan boleh terus digunakan pada tablet ini.

Malah proses muat turun aplikasi atau permainan pihak ketiga menggunakan AppGallery juga tidaklah semudah menggunakan Play Store. Lebih mengecewakan apabila ada antara aplikasi atau permainan popular seperti PUBG Mobile dan Netflix tidak dapat ditemui di dalam AppGallery.

Tidak dinafikan sememangnya terdapat pelbagai cara alternatif untuk kita muat turun aplikasi pihak ketiga, tetapi tidak semua pengguna mahu menyusahkan diri untuk berbuat demikian.

Sepanjang menggunakan tablet ini, kami mendapati ada di antara aplikasi pihak ketiga seperti Shopee tidak dioptimumkan untuk paparan tablet yang besar. Ini kerana antaramuka aplikasi itu secara automatik akan dipaparkan dalam mod menegak dan tidak boleh digunakan dalam mod melintang (landskap). Tetapi isu ini mungkin boleh diatasi pada masa akan datang melalui kemas kini baharu.

Apa yang kami suka tentang tablet ini…

Sebaik sahaja kami selesai memuat turun segala aplikasi dan permainan yang diperlukan, segala perkara yang kami tidak suka tentang MatePad Pro tidak lagi menjadi isu.

Ini kerana tidak dinafikan MatePad Pro merupakan tablet Android terbaik boleh anda miliki di pasaran buat masa ini. Bahkan dengan harga jualan yang jauh lebih rendah berbanding pesaingnya, HUAWEI MatePad Pro menjanjikan belian paling berbaloi.

Kombinasi aksesori eksklusif seperti Smart Magnetic Keyboard serta M-Pencil, dan juga perisian EMUI 10 yang ditala dengan fungsi menarik seperti Multi-screen Collaboration, Desktop Mode serta Multi-Window sememangnya sangat kami suka kerana ia bukan sahaja mampu menawarkan penggunaan mirip seperti komputer, tetapi juga sangat memudahkan.

Selain sesuai digunakan untuk membuat kerja, MatePad Pro juga merupakan sebuah tablet multimedia terbaik. Paparan skrin dengan resolusi 2K mampu menjanjikan kepuasan tontonan. Manakala sokongan kuad speaker dengan sentuhan daripada Harman Kardon dan HUAWEI Histen 6.0 pula sememangnya sukar digambarkan dengan perkataan, kecuali anda mendengarnya sendiri.

[Video] Sambungan pantas aksesori

[Video] Fungsi ‘scanner’ menggunakan mod ‘Documents’ pada kamera

MENGAPA PERLU MEMILIH TABLET DAN BUKANNYA KOMPUTER RIBA?!

Kami tahu ada di antara pengguna di luar sana yang akan mempersoalkan, kenapa perlu memiliki tablet HUAWEI MatePad Pro ini sedangkan dengan harga tersebut kita boleh memiliki sebuah komputer riba?!

Tidak dinafikan ada kebenaran di sebalik persoalan itu, kerana dengan harga RM2399, kita sudah boleh memiliki sebuah komputer riba yang cukup berkuasa dan contoh terdekat adalah HUAWEI MateBook D 15 yang dijual pada harga RM2499.

Jadi berikut adalah sebab mengapa tablet dirasakan lebih praktikal berbanding komputer riba:

  1. Jauh lebih ringan dan lebih mudah untuk dibawa ke mana-mana.
  2. Kebanyakan daripada kita akan menghabiskan masa bermain permainan mudah alih atau menonton video apabila berada di luar, dan tablet merupakan alternatif terbaik bagi menggantikan telefon pintar.
  3. Tablet memiliki hayat bateri yang lebih baik dan ia masih boleh dibiarkan dalam mod standby walaupun tidak digunakan.

SPESIFIKASI HUAWEI MATEPAD PRO

  • EMUI 10.0.1 (Android 10)
  • Kirin 990 + Dwi NPU
  • CPU: 2x Cortex-A76 2.86GHz + 2x Cortex-A76 2.09GHz + 4x Cortex-A55 1.86GHz
  • GPU: 16-Core Mali-G76 600MHz
  • 8GB (LPDDR4x) + 256GB (UFS 3.0)
  • Slot kad NM sehingga 256GB
  • 10.8 inci IPS LCD, WQXGA 2560 x 1600 piksel
  • 280 ppi, DCI-P3, 540 nits, 1500:1 contrast
  • Kamera utama: 13MP (f/1.8, Auto focus)
  • Kamera depan: 8MP (f/2.0)
  • Speaker: Empat speaker (Harman Kardon, HUAWEI Histen 6.0)
  • WiFi 802.11ac, Bluetooth 5.1, USB Type-C 3.1, USB OTG (5V1.5A reverse power supply), GPS/GLONASS/Beidou/Galileo/QZSS
  • 7250mAh (20W)
  • Ambient light sensor, Hall sensor, Gyroscope, Compass, Gravity sensor, Colour temperature sensor
  • 246 x 159 x 7.2mm / 460g
  • Pilihan warna: Pearl White, Midnight Grey

HARGA DAN HADIAH PERCUMA

HUAWEI MatePad Pro kini sudahpun mula dijual secara rasmi di Malaysia pada harga RM2,399 dan setiap pembelian akan turut menerima tiga hadiah percuma iaitu HUAWEI Cloud Storage 50GB (sah selama 12 bulan), HUAWEI Video (langganan premium percuma selama 3 bulan), dan juga WPS Office Premium (langganan percuma selama 3 bulan).

Memandangkan kita kini masih lagi berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Ketiga, pembelian HUAWEI MatePad Pro boleh dibuat secara atas talian di laman rasmi HUAWEI Online Official Store.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend