[Ulasan] HUAWEI MateBook X Pro 2020 – Komputer Riba Kompak Berprestasi Tinggi Comments Off on [Ulasan] HUAWEI MateBook X Pro 2020 – Komputer Riba Kompak Berprestasi Tinggi

Kebiasaannya selain daripada sokongan spesifikasi yang baik, perkara yang sering dipertimbangkan apabila ingin memiliki sebuah komputer riba adalah rekaan yang mudah untuk dibawa. Selain itu, bagi kami sendiri rekaan sesebuah komputer riba itu juga sebenarnya memainkan peranan terutamanya sekiranya anda sering menggunakan di tempat awam.

Ternyata kesemua ciri-ciri yang disenaraikan itu jelas ada tersedia pada HUAWEI MateBook X Pro 2020. Tidak dinafikan secara fizikalnya, tiada banyak perubahan yang dapat dilihat pada model ini berbanding model tahun 2019 yang lalu. Untuk mengetahui apakah pembaharuannya, teruskan membaca ulasan daripada kami…

Spesifikasi

  • Windows 10 Home
  • 10th Gen Intel Core i7-10510U, 1.8GHz 4 cores, Turbo up to 4.9GHz
  • NVIDIA GeForce MX250 (2GB GDDR5) / Intel UHD Graphics
  • 16GB LPDDR3 2133MHz
  • 1TB NVMe PCIe SSD
  • 13.9 inci 3K FullView Display (3000 x 2000 piksel)
  • Skrin sentuh sensitif sentuhan (10 poin)
  • Lithium Polymer 56Wh
  • 4 speaker + 4 mikrofon
  • WiFi 802.11ac, Bluetooth 5.0, NFC
  • I/O Port:
    • 2x USB-C 3.1
    • 1x USB-A 3.0
    • 1x 3.5mm audio jack + mikrofon
  • Papan kekunci backlit chiclet, Butang kuasa dengan pengimbas cap jari terbina-dalam, Pad sentuh dengan multi-touch
  • Kamera web 1MP (tersembunyi antara butang F6 dan F7)
  • Fungsi menarik:
    • HUAWEI Share
    • HUAWEI MateBook Manager
    • Eye Protection Mode
  • 304 x 217 x 14.6 mm
  • 1.33 kg
  • Pilihan warna: Emerald Green, Space Gray, Mystic Silver
  • Kerangka: Aluminum Alloy

Harga dan sasaran pengguna

Tidak dinafikan harga jualan HUAWEI MateBook X Pro yang ditawarkan pada harga RM7,999 sudah tentunya tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan pengguna biasa. Ini kerana ia lebih sesuai disasarkan untuk golongan profesional yang sentiasa aktif bergerak.

Mungkin ada yang berpendapat dengan harga sebegini, anda sudahpun boleh memiliki sebuah komputer riba permainan berprestasi tinggi. Namun sebagaimana yang kita sedia maklum, komputer sebegini tidaklah begitu praktikal kerana ia tebal dan berat.

Malah mungkin juga ada di antara anda yang akan membandingkannya dengan komputer riba terbaharu daripada Apple iaitu MacBook Pro kerana harga jualannya adalah setanding. Tetapi jika dilihat pada sokongan spesifikasi perkakasannya, ternyata MateBook X Pro memiliki lebih banyak kelebihan.

Pakej pembelian

Sama seperti model tahun 2019, kotak pembungkusan untuk MateBook X pro 2020 ini masih kekal sama sahaja. Hadir dalam kotak pembungkusan yang ringkas berwarna putih, ia tersedia dengan pengecas USB-C 65W dan juga kabel pengecas USB-C dalam warna putih.

Namun apa yang menarik perhatian kami adalah kehadiran aksesori tambahan iaitu HUAWEI MateDock 2 berharga RM299 yang diberikan secara percuma. Aksesori dengan sokongan pelbagai port sambungan seperti HDMI, VGA, USB-A dan juga USB-C.

Reka Bentuk

HUAWEI MateBook X Pro 2020 ini sebenarnya masih mengekalkan rekaan yang sama sahaja seperti generasi sebelum ini. Apa yang membezakannya antara edisi tahun ini dengan tahun 2019 adalah penawaran satu warna baharu iaitu warna istimewa Emerald Green, selain warna asal yang dibawa masuk ke Malaysia sebelum ini iaitu Mystic Silver dan Space Gray.

Keistimewaan rekaan MateBook X Pro 2020 terletak pada penggunaan kerangka unibodi yang diperbuat daripada aluminium yang bukan sahaja kelihatan premium, tetapi ia juga menampilkan rekaan nipis dan ringan.

Malah ia boleh dikatakan alternatif terbaik bagi anda yang inginkan sebuah komputer riba dengan rekaan mirip seperti MacBook Pro tetapi dioperasikan dengan Windows.

Tetapi apa yang kami perasan, proses membuka MateBook X Pro 2020 dengan menggunakan sebelah tangan terasa lebih baik berbanding MateBook X Pro 2019. Ini kerana bahagian skrin boleh diangkat dengan lebih stabil dan mudah seperti MacBook Pro, tanpa menyebabkan bahagian bawah komputer riba terangkat.

Cuma kekurangannya adalah pada penggunaan pelapik getah pada bahagian bawah yang tidak begitu melekat pada permukaan meja, yang mana MateBook X Pro 2020 ini adakalanya akan bergerak sedikit ke belakang apabila bahagian skrin dibuka dengan sebelah tangan.

Secara keseluruhannya, tiada banyak perkara boleh diceritakan tentang rekaan fizikal MateBook X Pro 2020 kerana ia sebenarnya sama sahaja seperti model sebelum ini. Tetapi ia bukanlah satu kekurangan kerana rekaannya telah berjaya dinobatkan sebagai pemenang anugerah ‘Best of MWC 2019’, dan dilihat masih relevan untuk digunakan pada hari ini.

Paparan skrin

Selain menggunakan kerangka unibodi aluminium yang premium, kelebihan paling utama yang dapat dilihat pada MateBook X Pro 2020 adalah penggunaan panel kaca sepenuhnya pada bahagian skrin. Ini bermakna tiada bingkai plastik boleh ditemui di sekeliling komputer riba ini.

Dilengkapi dengan paparan 3K FullView Display dengan resolusi 3000 x 2000 piksel dan juga gamut warna sRGB 100%, MateBook X Pro 2020 mampu menghasilkan paparan imej dan video yang lebih realistik. Tidak cukup dengan itu, ia turut menyokong panel skrin sentuh yang sensitif pada sentuhan.

Malah rekaan saiz bezel pada komputer riba HUAWEI ini juga tampil sangat nipis dengan rekaan yang simetri pada sisi tepi dan juga bahagian atas skrin. Saiz bezel yang sangat nipis ini sekaligus menjanjikan nisbah skrin-ke-kerangka mencecah sehingga 91%.

Dari segi tahap keterangan, MateBook X Pro 2020 menyokong sehingga 450nits, dan ia dirasakan sudah memadai untuk sebuah komputer riba. Cuma penggunaan panel kaca berkilat merupakan kelemahan utama pada komputer riba ini kerana pantulan cahaya dan bayang pada skrin sememangnya agak mengganggu.

Sokongan skrin dengan nisbah paparan 3:2 sememangnya sesuai untuk aktiviti produktiviti kerana ia mampu memaparkan lebih banyak maklumat. Namun begitu, apabila anda menonton video dengan format 16:9 seperti video di YouTube, bahagian atas dan bawah skrin jelas dapat dilihat bar hitam yang agak tebal.

Papan kekunci dan pad kawalan

MateBook X Pro 2020 dilengkapi dengan papan kekunci penuh dengan key travel yang baik dengan menggunakan rekaan butang jenis chiclet. Rasa klik setiap butang terasa sangat baik sekali kerana ia memberikan kepuasan setiap kali anda menekannya. Bahkan ia juga dikatakan kalis percikan air.

Papan kekunci MateBook X Pro turut tersedia dengan nyalaan lampu dengan sentuhan LED berwarna putih kebiruan. Nyalaan backlight pada setiap butang kelihatan sekata dan ia boleh dilaras dengan dua tahap keterangan yang sederhana.

Manakala bahagian sisi kanan papan kekunci komputer riba ini telah tersedia dengan butang kuasa yang sangat praktikal kerana ia hadir dengan sokongan sensor pengimbas cap jari terbina-dalam. Kami sangat menyukai rekaan sebegini kerana dengan hanya satu klik anda boleh terus menghidupkan komputer riba ini, dan dalam masa yang sama proses imbasan cap jari akan dilaksanakan.

Memandangkan komputer riba ini hadir dengan saiz bezel yang sangat nipis, kamera beresolusi 1MP pada MateBook X Pro 2020 masih mengekalkan rekaan kamera tersembunyi yang ditempatkan antara butang F6 dan F7.

Selain kedudukan kamera yang agak kontroversi kerana imej yang dihasilkan kelihatan seperti mendongak, kualiti kameranya dengan ciri HDR pada MateBook X Pro ini sememangnya sangat mengecewakan.

Menariknya trackpad yang disokongnya memiliki saiz yang sangat besar (sama saiz seperti MacBook Pro), dengan kawalan gerakan cursor yang terasa lancar dan tepat. Untuk pengetahuan anda, hampir keseluruhan bahagian trackpad ini boleh diklik untuk digunakan sebagai butang left-click, manakala bahagian bawah kanan trackpad ini sahaja berfungsi sebagai butang right-click.

Kuad speaker

Walaupun tampil dalam rekaan kerangka yang nipis dan kompak, MateBook X Pro 2020 masih mampu menjanjikan kepuasan audio kerana ia menyokong empat buah speaker.

Dua buah speaker boleh ditempatkan di sebelah kiri dan kanan papan kekunci, manakala dua buah speaker lagi diletakkan pada bahagian bawah kerangka sebagaimana kebanyakan komputer riba lain di pasaran.

Port sambungan

Sebagaimana kebanyakan komputer riba nipis moden yang lain, MateBook X Pro 2020 hanya dilengkapi dengan port sambungan yang asas sahaja. Pada sisi kiri tersedia dengan bicu audio/mikrofon 3.5mm, dan dua port USB-C yang mana salah satu daripadanya menyokong fungsi DisplayPort.

Manakala sisi kanan MateBook X Pro ini pula hanya tersedia dengan satu sahaja port sambungan iaitu port USB-A 3.0. Menariknya lebih banyak sambungan seperti HDMI dan VGA boleh dibuat pada komputer riba ini menggunakan aksesori HUAWEI MateDock 2 yang diberikan secara percuma.

Prestasi dan ketahanan bateri

Jika rekaan MateBook X Pro 2020 tiada kelainan dengan generasi sebelumnya, penambahbaikan paling utama adalah terletak pada sokongan pemproses paling terkini iaitu Intel Core generasi ke-10 iaitu i7-10510U. Malah keupayaan grafiknya juga telah dipertingkatkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce MX250, dan juga ruang storan NVMe PCIe SSD sebesar 1TB.

Berdasarkan pengalaman kami menggunakan MateBook X Pro 2020 untuk tujuan menulis artikel dengan membuka lebih daripada 5 tab laman web sambil membuka video YouTube, ia masih boleh dioperasikan dengan lancar tanpa masalah.

Tetapi jika anda inginkan sebuah komputer riba dengan keupayaan suntingan video berkualiti 4K atau ingin menggunakannya untuk tujuan permainan video dengan grafik tinggi, MateBook X pro 2020 bukanlah disasarkan untuk anda.

Dengan sokongan bateri 56Wh, kami mampu menggunakan komputer riba ini lebih 7 jam dengan kapasiti bateri masih berbaki sekitar 15%. Sebenarnya ketahanan baterinya bergantung juga kepada tugasan yang anda lakukan, tahap keterangan skrin, kekuatan speaker dan juga mod bateri yang digunakan.

Fungsi menarik

  • PC Manager

MateBook X Pro 2020 siap dipasang dengan perisian pra-pasang PC Manager yang membolehkan proses diagnostik untuk memeriksa tiada sebarang masalah berlaku pada komputer riba ini. Malah melalui perisian ini juga ia memudahkan pengguna untuk memastikan driver yang terkini akan dipasang.

  • HUAWEI Share

Keistimewaan MateBook X Pro 2020 berbanding komputer riba yang lain di pasaran adalah sokongan fungsi HUAWEI Share. Sokongan fungsi ini membolehkan pemilik telefon pintar HUAWEI yang terkini menggunakan fungsi mirror paparan skrin telefon pintar mereka pada skrin komputer riba.

Penyediaan fungsi Multi-screen Collaboration pada HUAWEI Share turut membenarkan pengguna untuk membuat panggilan, menghantar mesej, ataupun membuat pemindahan fail menggunakan kaedah drag & drop.

Kelebihan:

  • Rekaan premium yang kompak, nipis dan ringan sangat sesuai untuk pengguna yang aktif bergerak.
  • Prestasi Intel Core i7 generasi ke-10 yang sangat baik.
  • Ketahanan bateri yang baik memandangkan ia memiliki kerangka yang nipis dan kompak.
  • Paparan skrin sentuh dengan kualiti paparan yang sangat baik.
  • Sokongan fungsi HUAWEI Share sememangnya sangat praktikal untuk pengguna yang memiliki telefon pintar HUAWEI.

Kekurangan:

  • Kerangka unibodi aluminium terasa agak panas apabila anda membuat tugasan yang agak berat. Tetapi ia tidak menjadi masalah apabila digunakan di dalam bilik berhawa dingin.
  • Sekiranya anda kerap menggunakan kamera web untuk tujuan mesyuarat atau persidangan video, kedudukan sudut kamera jenis pop-up sememangnya agak menjengkelkan.
  • Paparan skrin berkilat menyebabkan terlalu banyak pantulan cahaya atau bayang, terutamanya apabila digunakan di tempat yang terang.
  • Harga jualannya yang agak tinggi.
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend