[Ulasan] HONOR 20 Pro – Kelebihan Dan Kekurangan Yang Perlu Anda Ketahui Tentang Peranti Ini?! Comments Off on [Ulasan] HONOR 20 Pro – Kelebihan Dan Kekurangan Yang Perlu Anda Ketahui Tentang Peranti Ini?! 283

Pada penghujung bulan Mei yang lepas, HONOR Malaysia buat pertama kalinya telah memperkenalkan telefon pintar kuad kamera yang pertama dengan pelancaran model HONOR 20 dan HONOR 20 Pro. Namun begitu, HONOR 20 Pro yang dijual pada harga RM2299 ini dilihat hanya mula dijual secara di Malaysia pada 15 Ogos 2019 yang lepas.

Walaupun HONOR 20 Pro ini sudah hampir dua bulan mula dijual secara rasmi untuk pasaran tempatan, mungkin ada di antara anda yang bercadang untuk memilikinya. Namun dengan bajet pembelian yang hampir mencecah RM2300, sudah tentunya anda ingin tahu apakah kelebihan dan juga kekurangan HONOR 20 Pro sebelum membuat keputusan membelinya. Jadi di sini kami akan membantu anda untuk  membuat keputusan dengan lebih mudah!

KELEBIHAN YANG ADA PADA HONOR 20 PRO!

#1. Panel belakang kaca yang cantik

Tidak dinafikan lagi bahawa sejak kebelakangan ini, rekaan telefon pintar di pasaran kelihatan tidak begitu jauh berbeza antara satu model dengan model yang lain. Jadi bagi memberikan sedikit kelainan, HONOR 20 Pro telah menampilkan kemasan panel belakang kaca dengan sentuhan warna unik yang tidak terlalu menyerlah tetapi masih mampu kelihatan sangat cantik.

Jika diperhatikan pada unit ulasan yang kami terima, bahagian panel belakang HONOR 20 Pro dalam warna ‘Phantom Black’ ini menampilkan penggunaan warna ungu dan hitam. Tetapi apabila anda memegang peranti ini pada sudut tertentu, ia akan menghasilkan biasan cahaya berwarna biru.

Malah sepanjang kami menggunakan peranti ini, kebanyakan daripada mata yang memandang HONOR 20 Pro pastinya akan memuji kecantikan dan juga keunikan warnanya. Selain warna yang kami terima ini, HONOR 20 Pro turut ditawarkan dalam warna ‘Phantom Blue’ dengan sentuhan warna hijau/hitam, dan juga satu lagi warna baharu iaitu ‘Icelandic Frost’ yang tampil dengan kombinasi warna unik yang lebih cerah.

#2. Rekaan lubang kamera yang lebih baik berbanding takuk

Bagi memastikan rekaan skrin penuh yang lebih baik, HONOR 20 Pro telah menampilkan rekaan lubang kamera di dalam skrin bagi menggantikan rekaan takuk yang lebih dominan di pasaran. Sememangnya peranti skrin penuh dengan rekaan kamera pop-naik dirasakan lebih baik kerana tiada sebarang halangan pada skrin, tetapi tanpa anda sedar rekaan tersebut adalah kurang praktikal terutamanya untuk anda yang gemar menggunakan fungsi pengecaman wajah ataupun kerap berswafoto.

Pada pendapat kami, rekaan lubang kamera di dalam skrin pada HONOR 20 Pro dirasakan sangat baik kerana saiz yang kecil dilihat tidak terlalu mengganggu. Malah kewujudan lubang kamera pada skrin mungkin tidak akan anda sedari ketika sedang bermain game dalam mod landskap kerana ia akan terlindung di sebalik ibu jari.

#3. Kuad kamera dengan empat mod penggambaran berbeza

HONOR 20 Pro merupakan telefon pintar pertama daripada HONOR yang hadir dengan sokongan empat kamera dengan konfigurasi lensa 48MP (Sony IMX586, f/1.4, OIS, AIS, EIS, laser auto focus) + 16MP (Super Wide Angle, f/2.2) + 8MP (Telephoto, f/2.4, 3x zum optikal, OIS) + 2MP (Super Macro, f/2.4).

Sokongan empat jenis lensa berbeza ini secara tidak langsung membolehkan anda untuk mengambil empat mod gambar berbeza iaitu normal, sudut lebar, telefoto/zum dan juga penggambaran jarak dekat sehingga 4cm bergantung kepada situasi.

This slideshow requires JavaScript.

Mungkin ada antara anda yang berpendapat bahawa sokongan kuad kamera ini bukanlah sesuatu yang baru kerana sudah banyak peranti dengan bajet lebih rendah turut menawarkannya. Tetapi apa yang perlu anda tahu adalah kebanyakan daripada peranti itu kebiasaannya menggantikan lensa Telephoto dengan sokongan zum optikal dengan lensa Depth sensor yang lebih murah kosnya.

DxOMark turut memberikan skor keseluruhan sebanyak 113 mata untuk HONOR 20 Pro, sekaligus meletakkannya sebagai antara lima telefon pintar berkamera terbaik.

Selain itu, HONOR 20 Pro juga turut menampilkan spesifikasi lensa kamera setanding peranti mercu yang lain kerana lensa yang disediakan hadir dengan sokongan teknologi penstabilan OIS yang digandingkan dengan AIS (AI Stabilization) serta EIS (Electronic Image Stabilization, dan juga PDAF serta laser auto focus untuk fokus lebih cepat.

#4. Pengimbas cap jari strategik

Trend penggunaan teknologi pengimbas cap jari dalam skrin mungkin kelihatan lebih cool dan canggih, tetapi ia dilihat masih tidak setanding dengan teknologi pengimbas cap konvensional. Ini kerana selain menjanjikan proses imbasan yang jauh lebih pantas, pengimbas cap jari konvensional juga tidak akan mengehadkan penggunaan jenis pelindung skrin pada peranti anda.

Apa yang lebih istimewanya, HONOR 20 Pro telah menempatkan sensor pengimbas cap jari terbina dalam pada butang kuasa. Kedudukan sensor pada butang kuasa fizikal yang boleh diklik ini sememangnya sangat praktikal kerana ia bukan sahaja mudah untuk dicapai oleh jari, malah anda hanya perlu meletakkan jari pada permukaan sensor untuk mengakses peranti tanpa perlu mengaktifkan paparan skrin terlebih dahulu.

#5. Port USB Type-C dengan pengecasan pantas

Sebagaimana kebanyakan telefon pintar baharu di pasaran, HONOR 20 Pro telah dilengkapi dengan sokongan port USB Type-C. Hadir dengan bateri berkapasiti 4000mAh, penyediaan teknologi pengecasan pantas HONOR SuperCharge 22.5W ini mampu mengecas bateri peranti ini sehingga 50% dalam tempoh hanya 30 minit sahaja.

Walaupun HONOR 20 Pro menggunakan teknologi pengecasan khas, berdasarkan percubaan kami ia masih mampu dicas pantas iaitu sekitar 18W apabila anda menggunakan palam kuasa dengan sokongan Quick Charge 3.0.

#6. Kirin 980 + AppAssistant untuk kelancaran permainan

Dari segi prestasi, keupayaan HONOR 20 Pro tidaklah mengecewakan kerana ia dikuasakan oleh cipset 7nm iaitu Kirin 980 yang sememangnya disasarkan untuk digunakan oleh peranti mercu. Bagi memastikan prestasi permainan yang lebih lancar tanpa isu lag, ia turut dikombinasikan dengan GPU Turbo 3.0 yang akan meningkatkan pemproses grafik berasaskan perkakasan fizikal serta perisian.

#7. Memori sangat besar

Satu lagi keistimewaan HONOR 20 Pro adalah sokongan memorinya yang sangat besar iaitu RAM berkapasiti 8GB dan juga ruang storan dalaman sebesar 256GB. Sokongan memori dalaman yang besar sememangnya sangat diperlukan dan sangat sesuai bagi membolehkan pengguna mengambil gambar beresolusi sehingga 48MP atau memuat turun pelbagai permainan dengan grafik tinggi.

#8. Sokongan kemas kini

HONOR 20 Pro telah dioperasikan dengan Magic UI 2.1.0 berasaskan Android 9.0 Pie dan seperti yang diketahui ia menawarkan pelbagai sokongan tambahan menarik seperti sokongan fungsi untuk menyembunyikan takuk (notch), nada dering video, kawalan navigasi untuk skrin penuh dan sebagainya.

Kekerapan penerimaan kemas kini untuk peranti ini tidak lagi perlu dipersoalkan kerana HONOR dilihat agak komited dalam menjanjikan kemas kini baharu dari masa ke semasa. Malah HONOR 20 Pro juga telah disahkan akan menerima kemas kini rasmi Magic UI 3.0 berasaskan Android 10 pada masa akan datang.

#9. Pakej pembelian yang baik

Pakej pembelian HONOR 20 Pro boleh dianggap agak baik kerana ia menawarkan beberapa aksesori penting di dalam kotak. Apa yang akan anda terima adalah pelindung skrin yang siap terpasang pada peranti, sarung pelindung jenis silikon jernih, adapter untuk sambungan audio jack 3.5mm ke USB-C, dan yang paling penting adalah palam kuasa dan juga kabel HONOR SuperCharge 22.5W yang tidak perlu dibeli secara berasingan.

KEKURANGAN HONOR 20 PRO!

#1. Tiada sokongan speaker stereo

Sekiranya anda sangat mementingkan bunyi speaker yang berkualiti, HONOR 20 Pro mungkin sedikit mengecewakan kerana ia hanya tersedia dengan satu speaker sahaja. Kedudukan speaker pada bahagian bawah kerangka juga mungkin akan sedikit terganggu apabila anda memegangnya ketika bermain game.

#2. Tiada slot kad microSD

Pada pendapat kami, ruang storan sebesar 256GB sudah cukup besar untuk digunakan oleh kebanyakan pengguna. Malah peranti 128GB yang kami gunakan lebih setahun juga masih berbaki lebih daripada 60GB. Tetapi sekiranya anda masih mahu menggunakan kad microSD, ia tidak disokong pada HONOR 20 Pro kerana ia hanya memiliki dua slot kad SIM bersaiz nano.

#3. Permukaan kamera yang timbul

Ketebalan kerangka peranti ini boleh dikatakan agak sederhana iaitu sekitar 8.44mm, tetapi apa yang agak menjengkelkan adalah permukaan kameranya yang timbul. Selain terdedah kepada risiko untuk pecah apabila terjatuh, pengalaman untuk menggunakan peranti ini apabila diletakkan di atas meja juga tidak begitu baik kerana ia tidak dapat diletakkan secara rata.

#4. Sambungan fon telinga jenis USB-C

HONOR 20 Pro juga tidak dilengkapi dengan bicu audio 3.5mm, dan ini bermakna anda perlu mencari fon telinga yang menggunakan sambungan USB-C ataupun terpaksa menyambungkan adapter 3.5mm ke USB-C yang tersedia dalam pakej pembelian. Sama seperti peranti HONOR yang lain, ia juga tidak didatangkan dengan aksesori fon telinga di dalam kotak.

SPESIFIKASI HONOR 20 PRO:

  • Magic UI 2.1.0 (Android 9.0 Pie)
  • Dwi slot kad nano SIM
  • Kirin 980 + Dual NPU (7nm)
  • 8GB + 256GB
  • Tiada slot kad microSD
  • 6.26 inci IPS LCD FullView Display FHD+ (2340 x 1080 piksel)
  • Kamera utama: 48MP (Sony IMX586, f/1.4, OIS, AIS, EIS, PDAF, Laser auto focus)+ 16MP (Super Wide Angle, f/2.2) + 8MP (Telephoto, f/2.4, OIS, PDAF, Laser auto focus) + 2MP (Macro, f/2.4)
  • Kamera depan: 32MP (f/2.0, 3D Portrait Lighting)
  • 4000mAh (HONOR SuperCharge 22.5W)
  • WiFi 802.11ac, Bluetooth 5.0, USB-C
  • 154.6 x 73.97 x 8.44mm
  • 182g
  • RM2299

Baca juga:

HONOR 20 Pro Dalam Warna ‘Icelandic Frost’ Akan Dijual Bermula 21 September Pada Harga RM2,299

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend