[Ulasan] Honor 20 Dengan Rekaan Kamera Depan Dalam Skrin Dan Empat Kamera Utama Comments Off on [Ulasan] Honor 20 Dengan Rekaan Kamera Depan Dalam Skrin Dan Empat Kamera Utama 509

Semalam kita telah menyaksikan sendiri majlis pelancaran rasmi siri Honor 20 di London, dan seperti yang telah diumumkan sebelum ini siri Honor 20 telah dijadualkan akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia hari ini. Bagi anda yang sudah tidak sabar-sabar untuk menantikan kemunculannya untuk dijadikan sebagai ‘telefon raya’, apa kata kita lihat dengan lebih dekat rekaan Honor 20 ini…

SPESIFIKASI

  • Magic UI 2.1 (Android 9.0 Pie)
  • Dwi slot kad nano SIM
  • Kirin 980 (2x 2.6GHz Cortex-A76 + 2x 1.92GHz Cortex-A76 + 4x 1.8GHz Cortex-A55)
  • Mali-G76 MP10
  • 6GB (LPDDR4x) + 128GB (UFS 2.1)
  • 6.26 inci IPS LCD FHD+ (2340 x 1080 piksel)
  • Kamera depan: 32MP (f/2.0)
  • Kamera utama: 48MP (f/1.8, Sony IMX586) + 16MP (f/2.2, Ultra Wide Angle) + 2MP (f/2.4, Depth sensor) + 2MP (f/2.4, Macro)
  • 3750 mAh (Honor SuperCharge 22.5W)
  • WiFi 802.11ac, Bluetooth 5.0, USB Type-C
  • Pengimbas cap jari pada butang kuasa
  • Speaker mono dengan Virtual 9.1 Surround Sound
  • Pilihan warna: Midnight Black, Sapphire Blue, Icelandic White

PAKEJ PEMBELIAN

Kotak pembungkusan Honor 20 tampil dengan penggunaan logo ‘HONOR’ yang menampilkan sentuhan warna baharu yang lebih menarik perhatian berbanding sebelum ini. Selain menampilkan imej Honor 20 pada bahagian atas kotak, keseluruhan permukaan kotak turut menerima sentuhan corak ringkas tetapi menarik perhatian.

Apa yang akan anda terima:

  • Honor 20
  • Pelindung skrin (siap dipasang)
  • *Sarung pelindung TPU lut sinar
  • Palam kuasa Honor SuperCharge 22.5W (5V4.5A)
  • Kabel USB Type-C
  • Adapter USB Type-C ke bicu audio 3.5mm
  • Pin slot kad SIM
  • *Buku manual

*tidak diberikan sekali dengan unit ulasan yang kami terima.

REKA BENTUK

Skrin

Secara keseluruhannya, saiz kerangka Honor 20 boleh dikatakan agak kompak dan ini sekaligus menjanjikan rasa pegangan yang agak baik. Ini kerana ia menampilkan skrin berukuran 6.26 inci dengan saiz bezel yang agak nipis, terutamanya saiz bezel pada bahagian atas skrinnya yang tidak memiliki takuk yang tidak begitu digemari oleh sesetengah pengguna.

Ketiadaan takuk pada Honor 20 telah digantikan dengan rekaan lubang kamera depan di dalam skrin mirip seperti Honor View20. Namun begitu, sokongan resolusi kamera depannya dilihat lebih baik pada Honor 20 kerana ia tersedia dengan lensa 32MP. Kedudukan lubang kamera pada kiri skrin pada pendapat kami adalah yang terbaik kerana ia akan terlindung dengan ibu jari anda ketika bermain game  terutamanya.

Kamera utama

Honor 20 menampilkan rekaan panel belakang yang diperbuat daripada kaca dengan permukaan sisinya yang sedikit melengkung. Unit yang kami terima ini merupakan warna Sapphire Blue dan berbeza dengan trend pengeluar yang lebih cenderung menggunakan sentuhan warna cerun, Honor 20 dilihat tampil dalam satu warna yang sama dengan efek pantulan cahaya yang lebih ringkas tetapi menarik perhatian.

Fokus paling utama yang cuba diketengahkan pada Honor 20 sudah tentunya pada sokongan empat kamera utamanya yang terdiri daripada lensa dengan mod penggambaran berbeza. Hadir dengan konfigurasi empat lensa, Honor 20 memiliki satu kelebihan berbanding peranti lain di pasaran kerana ia menyokong lensa dedikasi 2MP yang membolehkan anda mengambil gambar objek pada jarak sedekat 4cm melalui pilihan mod ‘Super Macro’.

Mungkin anda merasakan ketiadaan lensa telefoto akan membataskan keupayaan penggambaran menggunakan fungsi zum pada Honor 20, sebenarnya ia tidak menjadi masalah kerana anda masih boleh mengakses fungsi 2x zum menggunakan lensa makro beresolusi 2MP. Cuma apa yang kurang menariknya, permukaan kamera Honor 20 dilihat agak timbul daripada permukaan panel belakangnya.

Pengimbas cap jari

Jika diperhatikan, Honor 20 tidak tersedia dengan sensor pengimbas cap jari fizikal pada bahagian panel depan ataupun belakangnya, bahkan ia juga tidak dilengkapi dengan teknologi pengimbas cap jari di dalam skrin. Ini kerana siri Honor 20 telah menggunakan pendekatan yang pernah digunakan oleh Sony Xperia, iaitu dengan meletakkan sensor pengimbas cap jari pada butang kuasa.

Rekaan sebegini kami rasakan lebih praktikal dan merupakan kaedah terbaik kerana ia bukan sahaja lebih mudah untuk diakses, tetapi dalam masa yang sama menjanjikan proses mengimbas cap jari yang jauh lebih cepat berbanding kaedah pengimbas cap jari di dalam skrin. Menariknya, butang kuasa ini masih menjanjikan rasa klik yang sama seperti butang kuasa fizikal pada peranti yang lain.

Port USB Type-C

Sekiranya anda merupakan salah seorang pengguna yang sangat cerewet tentang jenis port pengecasan yang digunakan, Honor 20 nyata tidak mengecewakan kerana ia tersedia dengan port USB Type-C. Tidak cukup dengan itu, ia turut menyokong teknologi pengecasan pantas Honor SuperCharge dengan output pengecasan sehingga 22.5W atau bersamaan dengan 5V4.5A.

Namun bagi anda yang memiliki earphone atau headphone dengan sambungan 3.5mm, ia hanya boleh digunakan pada Honor 20 dengan sambungan adapter USB Type-C ke bicu audio 3.5mm yang didatangkan sekali dalam pakej pembelian. Ini kerana tiada bicu audio 3.5mm boleh ditemui pada peranti ini. Sungguhpun begitu, pengalaman audio menggunakan earphone/headphone menjanjikan kualiti terbaik melalui teknologi Virtual 9.1 Surround Sound.

Slot kad SIM

Honor 20 dilengkapi dengan hanya dua slot kad bagi menempatkan kad SIM bersaiz nano, dan tiada slot kad memori disokong oleh peranti ini. Tetapi memandangkan ia didatangkan dalam satu varian dengan sokongan ruang storan dalaman sebesar 128GB, ia dirasakan sudah memadai bagi kebanyakan pengguna di luar sana.

LED notifikasi dan sensor

Pada bahagian atas kerangka Honor 20, anda akan menemui satu sensor bersebelahan dengan jalur antena. Untuk pengetahuan anda, ia bukanlah sensor inframerah, tetapi sebenarnya ia merupakan sensor proximity yang berfungsi untuk memadam skrin apabila anda menjawab panggilan.

Selain itu, anda juga boleh menemui lampu LED notifikasi yang terselindung di sebalik lubang earpiece yang terletak di bahagian hujung skrin yang sedikit melengkung. Disebabkan kedudukan lubang earpiece sebegini, ada kalanya agak sukar untuk anda memerhatikan nyalaan lampu LED notifikasi ini. Bersebelahannya pula terdapat sensor ambient light yang berfungsi untuk mengawal keterangan skrin.

MAGIC UI 2.1

Tidak dinafikan lagi bahawa penampilan antaramuka Honor 20 dilihat sama sahaja berbanding peranti Huawei ataupun peranti Honor yang dikuasakan dengan antaramuka yang dikenali sebagai EMUI. Namun begitu, kini Honor 20 telah tampil dengan nama antaramuka baharu yang dikenali sebagai Magic UI 2.1 berasaskan Android 9.1 Pie.

Dari kiri → Lockscreen, Homescreen dan Homescreen Settings
Dari kiri → Notification area, Recent apps dan Settings
Dari kiri → Phone manager, HiCare dan AppGallery
Dari kiri → About phone, Viewfinder kamera dan pilihan mod kamera

PRESTASI

Ujian penanda aras

→ AnTuTu
→ Geekbench

Masa mengecas menggunakan Honor SuperCharge 22.5W

Honor 20 yang tersedia dengan bateri berkapasiti 3750 mAh ini boleh dicas dengan sangat pantas menggunakan teknologi Honor SuperCharge dengan output pengecasan maksimum mencecah 22.5W atau bersamaan dengan 5V4.5A. Berdasarkan ujian pengecasan yang kami jalankan, Honor 20 berjaya dicas sebanyak 73% iaitu 22% (11:55 AM) ke 95% (12:55 PM) dalam tempoh satu jam sahaja.

11:55 AM → 22%
12:55 PM → 95%

HASIL GAMBAR

Siang

This slideshow requires JavaScript.

Malam

This slideshow requires JavaScript.

Makro

This slideshow requires JavaScript.

*Hasil gambar yang dimuat naik ini telah dimampat sedikit kualitinya.

KESIMPULAN

Sekiranya anda bercadang untuk memiliki telefon pintar baru yang memfokuskan aspek penggambaran yang baik dengan bajet tidak lebih daripada RM1700, tidak dapat dinafikan lagi bahawa Honor 20 merupakan pilihan yang terbaik. Selain menawarkan keupayaan empat kamera dengan pelbagai mod penggambaran yang berkualiti, ia juga turut menjanjikan spesifikasi dan juga prestasi terbaik setanding telefon pintar mercu yang dijual pada harga yang jauh lebih mahal.

Kelebihan

+ Skrin penuh dengan rekaan lubang kamera dalam skrin dirasakan lebih menarik berbanding takuk.
+ Kualiti binaan yang baik melalui kombinasi antara kerangka logam dan juga panel belakang kaca.
+ Sambungan USB Type-C dengan teknologi pengecasan pantas 22.5W.
+ Pakej pembelian yang lengkap, dan ini termasuklah didatangkan sekali dengan pengecas pantas dan adapter 3.5mm.
+ Sokongan pengimbas cap jari yang diintegrasikan pada butang kuasa terasa sangat pantas dan mudah digunakan.
+ Dikuasakan dengan cipset Kirin 980 yang menjanjikan pengoperasian yang lancar tanpa isu.

Kekurangan

 Tiada bicu audio 3.5mm.
 Tiada slot kad memori tambahan.
 Hanya menyokong satu speaker.
 Rekaan empat kamera yang timbul daripada permukaannya.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend