
Sedar atau tidak, apabila pengguna ingin membeli sebuah telefon pintar dengan bajet yang agak rendah, kita terpaksa membuat pilihan. Ada antara pengeluar yang dilihat memfokuskan pada aspek sokongan spesifikasi berkuasa tetapi aspek rekaan fizikal peranti tersebut tidak begitu dititik beratkan, dan begitu juga sebaliknya.
Kini honor berjaya membuktikan bahawa telefon pintar yang dijual pada harga yang murah sebenarnya masih boleh mengekalkan dua kriteria penting itu dengan kemunculan model terbaru keluarannya iaitu honor 9 Lite. Apa yang pasti, kehadiran honor 9 Lite di pasaran mampu dijadikan sebagai tanda aras kepada pengeluar telefon pintar bajet yang lain…
RM 749
SPESIFIKASI
honor 9 Lite | |
---|---|
Sistem Operasi | Android 8.0 (EMUI 8.0) |
CPU | HiSilicon Kirin 659 (Octa Core) 4x 2.36 GHz Cortex-A53 + 4x 1.7 GHz Cortex-A53 16 nm FinFET+ |
GPU | Mali-T830 MP2 @ 900 MHz |
Ukuran / Berat | 151 x 71.9 x 7.6mm / 149g |
Memori | ROM : 32 GB RAM : 3 GB LPDDR3 microSD : sehingga 256 GB |
Skrin | 5.65 inci FHD+ (2160 x 1080 piksel) 428 ppi 18:9 |
Kamera Utama | 13 Megapixel + 2 Megapiksel (Auto Fokus, Single LED Flash) Rakaman video : FHD 1080p (16:9, stereo) |
Kamera Hadapan | 13 Megapixel + 2 Megapiksel (Face Detection) Rakaman video : HD 720p (16:9, stereo) |
Bateri | 3000 mAh (5V2A) |
Sambungan | WiFi 802.11 b/g/n, Bluetooth v4.2 |
Port Audio | 3.5mm audio jack |
Keselamatan Biometrik | Jari |
Kalis Air | Tiada |
Pilihan Warna | Sapphire Blue, Glacier Grey |
PAKEJ PEMBELIAN


REKA BENTUK
Skrin 5.65 FHD+
honor 9 Lite menyokong rekaan paparan skrin moden dengan nisbah 18:9 berukuran 5.65 inci dengan resolusi FHD+ atau bersamaan dengan 2160 x 1080 piksel. Paparan jenis IPS LCD ini menjanjikan tahap keterangan dan juga sudut pandangan yang baik. Malah ia juga menyokong permukaan skrin jenis 2.5D yang melengkung pada bahagian sisi skrinnya.
Dwi Kamera Swafoto
Keistimewaan honor 9 Lite berbanding pesaingnya yang lain di pasaran adalah sokongan dwi kamera untuk penggambaran swafoto. Bahkan honor 9 Lite juga merupakan model pertama dari honor yang menampilkan kamera depan dengan dua lensa beresolusi 13 Megapiksel + 2 Megapiksel. Selain lubang earpiece dan sensor, ia juga turut hadir dengan LED notifikasi.
Dwi Kamera Utama
Sebagaimana kamera swafoto, kamera utama honor 9 Lite turut menyokong dua buah lensa beresolusi 13 Megapiksel + 2 Megapiksel dengan sokongan satu LED Flash. Sistem dwi kamera yang disokong pada honor 9 Lite adalah bertujuan untuk mendapatkan efek bokeh (kabur) melalui penyediaan mod penggambaran Wide Aperture dan juga Portrait.
Pengimbas Cap Jari
Sama seperti kebanyakan peranti honor sebelum ini, sensor pengimbas cap jari ditempatkan pada bahagian panel belakangnya. Selain menyokong proses imbasan cap jari yang sangat pantas, anda juga boleh menggunakannya untuk kawalan skrin yang lain seperti memaparkan panel notifikasi, menjawab panggilan, mematikan jam penggera, dan juga melihat gambar dengan pantas.
Tips pantas : Cara pengaktifan kawalan skrin menggunakan sensor pengimbas cap jari
-
Akses menu Settings pada telefon pintar dan klik pada menu Security & privacy.
-
Pilih menu Fingerprint ID.
-
Aktifkan fungsi yang anda mahukan secara manual. (Contoh: Show notification panel).
Panel Belakang Kaca
Daya tarikan paling utama pada honor 9 Lite sudah tentunya pada rekaan panel belakangnya yang kelihatan sangat cantik dengan sokongan panel kaca yang berkilat seperti cermin. Malah ia juga menggunakan rekaan panel kaca jenis 2.5D sama seperti panel depan. Apa yang agak mengecewakan adalah kesan cap jari yang dapat dilihat dengan jelas dan sentiasa perlu dilap. Anda juga boleh menggunakan sarung pelindung lut sinar yang ada disediakan dalam pakej pembelian.
Port dan Speaker
Bahagian kerangka bawah honor 9 Lite telah menempatkan satu port 3.5mm audio jack, lubang mikrofon, port microUSB dan juga sebuah speaker dengan kualiti mono. Manakala bahagian atas kerangkanya pula dibiarkan kosong supaya tampil lebih kemas.
Butang Kawalan Fizikal
Sisi kanan honor 9 Lite seperti biasa telah disediakan dengan dua butang kawalan fizikal iaitu butang melaras bunyi dan juga butang kuasa. Kedua-dua butang ini tampil dengan rekaan permukaan yang sama seperti permukaan bingkai peranti yang diperbuat daripada logam.
Slot Kad Hibrid
Sisi kirinya pula membolehkan anda untuk mengakses slot kad jenis hibrid iaitu satu slot boleh menyokong kad nano SIM, manakala slot kedua pula boleh digunakan untuk sokongan kad nano SIM ataupun kad microSD sehingga 256 GB.
EMUI 8.0
honor 9 Lite telah menggunakan antaramuka EMUI 8.0 yang berasaskan kepada sistem operasi Android 8.0 Oreo yang terbaru. Antaramuka yang kelihatan mirip seperti antaramuka iOS ini walau bagaimanapun mungkin tidak digemari oleh sesetengah pengguna yang mengutamakan pengalaman penggunaan Android yang sebenar.
PRESTASI BENCHMARK
Bagi melihat sendiri keupayaan prestasi benchmark honor 9 Lite yang dikuasakan dengan pemproses HiSilicon Kirin 659, kami telah memilih model Xiaomi Remi 5 Plus yang dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 625. Pemilihan model ini dibuat kerana ia bukan sahaja menyokong spesifikasi yang setanding, tetapi harga jualannya juga adalah sama iaitu RM749.
Geekbench 4 (Multi-Core)
honor 9 Lite : 3664
Xiaomi Redmi 5 Plus : 4309
AnTuTu
honor 9 Lite : 87038
Xiaomi Redmi 5 Plus : 63019
GFXBench 3.1 Manhattan (on-screen)
honor 9 Lite : 5.0
Xiaomi Redmi 5 Plus : 6.2
Pendapat TeknoRatz :
Dengan harga di bawah RM800, honor 9 Lite sememangnya layak dinobatkan sebagai telefon pintar dengan rekaan terbaik boleh anda miliki. Rekaan panel kaca yang sangat berkilat seperti cermin dengan sentuhan bingkai kerangka yang turut menerima kemasan warna yang sama berjaya menyerlahkan reka bentuknya berbanding model bajet lain di pasaran.
Walaupun tampil cantik, honor 9 Lite juga sebenarnya tidak mengecewakan kerana ia juga turut menawarkan spesifikasi antara yang terbaik boleh anda miliki. Malah ia juga turut menawarkan ciri-ciri moden dengan sokongan paparan skrin bernisbah 18:9, dan juga empat kamera yang tidak disediakan pada peranti dengan harga yang setanding dengannya.
Baca ulasan [Bahagian 2] – honor 9 Lite : Empat Kamera Menjanjikan Keunikan Penggambaran Bokeh