[Ulasan] ASUS VivoBook Ultra A512 – Janji Belian Terbaik Dengan Sokongan 512GB PCIe SSD Dan GeForce MX250 Comments Off on [Ulasan] ASUS VivoBook Ultra A512 – Janji Belian Terbaik Dengan Sokongan 512GB PCIe SSD Dan GeForce MX250 267

Pada pertengahan bulan Jun yang lalu, ASUS Malaysia telahpun melancarkan barisan siri komputer riba baharu dengan kemunculan VivoBook Ultra A512 untuk pasaran tempatan, selain dua model lagi iaitu VivoBook Ultra A412 dan juga VivoBook Ultra K403. Jika dilihat pada fokus yang cuba dibawakan oleh VivoBook Ultra A512, ia bukanlah disasarkan untuk segmen komputer riba kelas atasan, mahupun segmen komputer riba berprestasi tinggi.

Namun apa yang membuatkan VivoBook Ultra A512 mampu mendapat perhatian pengguna di pasaran adalah pada rekaan kerangkanya yang kompak, paparan skrin yang maksimum, dan juga sokongan spesifikasi yang sangat baik, terutamanya apabila dibandingkan dengan komputer riba lain di dalam kelasnya.

Spesifikasi:

  • Windows 10 Home
  • Intel Core i5-8265U (8th Gen)
  • NVIDIA GeForce MX250
  • 15.6 inci LED Backlit FHD (1920 x 1080 piksel)
  • 60Hz Anti-Glare Panel, 45% NTSC
  • 512GB NVMe PCIe Gen 3 x2 SSD
  • 4GB DDR4 2400MHz (sokong sehingga 16GB DDR4 2400MHz)
  • 37Wh 2-cell Battery
  • Output pengecasan 19V/3.42A (65W)
  • 1x combo audio jack, 1x USB Type-A 3.1, 1x USB Type-C 3.0, 2x USB Type-A 2.0, 1x HDMI, 1x microSD reader, 1x DC jack
  • HD webcam
  • WiFi 802.11ac, Bluetooth v4.1
  • Papan kekunci dengan backlit
  • Pengimbas cap jari (pada touchpad)
  • ASUS SonicMaster Technology
  • 357.2 x 230.4 x 19.9mm
  • 1.6kg
  • Pilihan warna: Transparent Silver, Slate Grey, Peacock Blue dan Coral Crush

Harga dan Ketersediaan

Sebagaimana yang kita sedia maklum, harga jualan untuk sesebuah komputer riba adakalanya agak mengelirukan kerana ia ditawarkan dalam pelbagai konfigurasi berbeza. Tetapi ASUS Malaysia menggunakan pendekatan yang lebih mudah untuk ASUS VivoBook Ultra A512 dengan menawarkan hanya satu konfigurasi sahaja untuk model ini. Dijual pada harga RM2,899, VivoBook Ultra A512 sudahpun mula dijual melalui pengedar sah ASUS di seluruh negara.

Dapatkan ASUS VivoBook Ultra A512 berharga RM2,899 melalui platform e-dagang popular:

Penampilan Fizikal

Rekaan

ASUS VivoBook Ultra A512 hadir dalam empat warna pilihan yang mampu melengkapi personaliti pemiliknya iaitu warna Transparent Silver (perak), Slate Grey (kelabu), Peacock Blue (biru gelap) dan juga juga Coral Crush (jingga terang). Unit yang kami terima adalah warna Transparent Silver, dan pada pendapat kami warna Coral Crush adalah yang paling menarik perhatian kerana ia menggabungkan kerangka jingga yang sangat terang dengan papan kekunci berwarna hitam. Manakala warna Slate Grey adalah warna yang paling sesuai untuk anda yang lebih mementingkan praktikaliti berbanding gaya.

Secara keseluruhannya, VivoBook Ultra A512 hadir dengan rekaan kerangka yang diperbuat daripada plastik keseluruhannya, dan ini secara tidak langsung menjadikannya lebih ringan iaitu hanya 1.6kg sahaja. Sungguhpun begitu, penggunaan kerangka plastik ini akan lebih mudah untuk tercalar dan rasa premium apabila dipegang. Tetapi apabila dilihat pada kombinasi harga dan spesifikasi, tiada apa yang perlu dirungutkan.

Skrin

Sebaik sahaja panel skrin berukuran 15.6 inci ini dibuka, perhatian anda sudah tentunya akan terus tertumpu pada paparan skrin yang hadir dengan saiz bezel yang sangat nipis. Rekaan skrin yang dikenali sebagai ‘NanoEdge Display’ ini menawarkan saiz bezel senipis 5.7mm, sekaligus menjanjikan nisbah skrin-ke-kerangka mencecah sehingga 88%.

Paparan skrin apabila digunakan dalam persekitaran luar (outdoor) yang agak redup.

Penggunaan panel LED backlit pada VivoBook Ultra A512 sememangnya kelihatan sangat baik dengan sudut pandangan yang agak baik,terutamanya untuk penggunaan di dalam ruang tertutup. Manakala untuk penggunaan di persekitaran terbuka yang agak terang, tahap keterangan skrin boleh dikatakan agak memuaskan.

Paparan skrin di dalam bilik tertutup (indoor) dengan pencahayaan lampu yang terang menjanjikan kejituan warna dan juga sudut padangan yang baik. Sokongan bezel nipis menjanjikan pengalaman yang jauh lebih baik.

Papan Kekunci

Papan kekunci jenis chiclet pada VivoBook Ultra A512 tersedia dengan nyalaan lampu LED yang boleh dilaras pencahayaannya pada tiga tahap keterangan berbeza. Dari segi kepuasan menaip, ia menjanjikan travel key yang baik tetapi dan maklum balas sentuhan setiap butang juga terasa cukup memuaskan untuk tujuan menaip walaupun dalam tempoh yang lama.

ASUS VivoBook Ultra A512 turut dilengkapi dengan sokongan backlit untuk memudahkan anda menaip di dalam persekitaran yang gelap. Terdapat tiga tahap keterangan boleh dipilih.

Namun kehadiran papan kekunci penuh yang lengkap dengan pad nombor sememangnya sangat praktikal untuk anda yang menggunakan komputer riba ini untuk menyiapkan tugasan. Ia juga turut menyediakan pad sentuh yang memiliki saiz yang agak baik dan isyarat kawalan boleh diakses dengan baik menggunakan bantuan ‘Precision Touchpad’ pada Windows 10.

Sensor pengimbas cap jari ditempatkan di dalam ruangan pad sentuh.

Di dalam pad sentuh itu juga turut menempatkan sensor pengimbas cap jari dengan integrasi Windows Hello bagi memudahkan anda untuk mengakses komputer riba ini dengan lebih mudah dan cepat. Namun begitu, kedudukan sensor pengimbas cap jari itu mungkin lebih praktikal jika diletakkan terus pada butang kuasa.

Pad getah pada bahagian ASUS VivoBook Ultra A512 memastikan bahagian bawah komputer riba ini tidak mudah tercalar .

ASUS juga dilihat bijak dalam mengoptimumkan rekaan pada komputer riba keluarannya melalui rekaan engsel yang dikenali sebagai ‘ErgoLift’. Ternyata rekaan inovasi yang diperkenalkan oleh ASUS ini bukan sekadar menampilkan kelainan fizikal semata-mata, ini kerana sokongan engsel itu akan menaikkan bahagian papan kekunci pada sudut 2° bagi memberikan keselesaan apabila menaip.

Bahagian belakang komputer riba ini akan sedikit terangkat apabila panel skrin dibuka.

Ports

Tampil dengan kerangka setebal 19.9mm, VivoBook Ulta A512 masih mampu menjanjikan sokongan port yang mencukupi untuk kebanyakan pengguna. Sisi kiri kerangka telah tersedia dengan dua port USB Type-A 2.0, dan pada bahagian ini turut menempatkan dua lampu notifikasi berwarna putih bagi memudahkan anda mengetahui sama ada komputer riba berada dalam mod standby ataupun status pengecasan.

Sisi kiri
Sisi kanan

Sisi kanan VivoBook Ultra A512 menampilkan lebih banyak port berkelajuan tinggi iaitu satu port USB Type-A 3.1 (SuperSpeed), HDMI, USB Type-C 3.0, bicu combo audio (fon telinga + mikrofon), dan juga slot reader untuk kad microSD.

Adapter Pengecas

Sebagaimana rekaan kerangkanya yang kompak, ASUS turut menawarkan adapter pengecas 65W (19V3.42A) dalam saiz yang sangat kecil. Ini  secara tidak langsung memudahkan anda untuk membawanya bersama-sama dengan VivoBook Ultra A512 ke mana jua anda pergi.

Prestasi

Jika dilihat pada penampilan luaran VivoBook Ultra A512, ia mungkin kelihatan sesuai digunakan untuk tujuan menyiapkan tugasan pejabat mahupun tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Tetapi kombinasi Intel Core i5-8165U dengan NVIDIA GeForce MX250 tidak dinafikan sudah cukup memadai untuk membolehkan anda bermain permainan atas talian popular seperti League of Legends, Dota 2, dan sebagainya.

Tidak dinafikan lagi bahawa sokongan RAM berkapasiti 4GB mungkin sudah cukup untuk pengguna kasual yang tidak mengoperasikan perisian berat. Tetapi bagi yang mahu menggunakan komputer riba ini untuk tujuan suntingan gambar atau video, naik taraf kapasiti RAM tidak menjadi satu masalah kerana ia mampu menyokong sehingga 16GB.

VivoBook Ultra A512 juga menjanjikan ruang storan yang sangat besar iaitu 512GB daripada NVMe SSD yang menawarkan kepantasan 10x ganda lebih laju berbanding SATA SSD. Bagi yang tidak begitu arif tentang jenis storan NVMe SSD ini, ia mampu memastikan kelancaran pengoperasian termasuklah membuka program/perisian, pengaktifan atau simpanan fail lebih cepat, dan juga masa menghidupkan atau mematikan komputer riba dalam masa beberapa saat sahaja.

Kesimpulan

Dengan harga jualan RM2,899, ASUS VivoBook UltraBook A512 boleh dikatakan antara pilihan terbaik untuk anda yang mementingkan keseimbangan antara prestasi yang berkuasa dan juga kerangka kompak yang mudah untuk dibawa.

Sokongan rekaan skrin dengan bezel yang sangat nipis dengan kombinasi Intel Core i5-8265U, NVIDIA GeForce MX250 dan 512GB NVMe SSD merupakan ciri-ciri yang mampu menyerlahkan komputer riba ini berbanding pesaingnya di pasaran. Lebih menariknya, anda juga boleh memilih warna Coral Crush yang sudah tentunya akan menarik perhatian apabila digunakan di tempat awam.

Kekurangan VivoBook Ultra A512 yang dapat kami lihat adalah pada kemasan kerangka yang keseluruhannya diperbuat daripada plastik – yang sudah tentunya memerlukan penjagaan yang lebih teliti. Namun apabila difikirkan semula, pendekatan itu merupakan penyelesaian terbaik untuk mendapatkan berat kerangka sekitar 1.6kg.

Selain itu, kapasiti RAM 4GB juga dirasakan tidak mencukupi untuk pengguna yang perlu menggunakan perisian berat untuk tugasan yang perlu dilaksanakan. Berita baiknya, komputer riba ini masih memberi ruang untuk anda menaik taraf kapasiti RAM itu melalui penyediaan slot tambahan.

Baca juga:

ASUS VivoBook Ultra A412 Dan A512 Dengan Intel Core i5 Dan NVIDIA GeForce Turut Dilancarkan Pada Harga RM2,899

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend