
Pembekal mudah alih, U Mobile hari ini telah mengumumkan kerjasama dengan platfom komunikasi popular, WeChat bagi menawarkan khidmat pesanan, sosial, permainan, dan pembayaran melalui Program Mini yang dinamakan WeChat Go.
Program Mini yang turut mendapat kerjasama dari Pavilion KL dan Tourism Malaysia ini adalah bertujuan untuk memudahkan pelancong dari Tanah Besar, China berbelanja di Malaysia.

Kita juga tahu pelancong dari China ini mempraktikkan kehidupan seharian mereka dengan membeli segala keperluan hanya menggunakan telefon pintar menerusi e-dompet, WeChat Pay. Maka dengan itu, kaedah yang sama juga kini boleh digunakan oleh mereka di negara ini menggunakan mata wang Renminbi (RMB).

Sebagai contoh, buat masa ini pelancong dari China boleh membeli-belah atau menempah penginapan di Pavilion KL menggunakan aplikasi WeChat Go Malaysia. Contoh lain, jika mereka mahukan perkhidmatan pengangkutan, mereka boleh menempah bas terus dari aplikasi tersebut.

Menurut U Mobile, para pedagang yang berminat untuk menyertai Program Mini ini, mereka boleh mengemukakan minat di laman sesawang U Mobile bermula hari ini. Proses saringan akan dilakukan bagi membolehkan mereka layak untuk menyertai Program Mini WeChat Go.
WeChat Go diperluaskan ke Malaysia bertujuan untuk meningkatkan lagi jumlah pelancong dari China ke Malaysia memandangkan tahun lepas sahaja seramai hampir 3 juta warga China telah melancong ke negara ini.