Suri Rumah Didenda RM6,000 Kerana Mengaibkan Polis Di Instagram Stories Comments Off on Suri Rumah Didenda RM6,000 Kerana Mengaibkan Polis Di Instagram Stories

Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang suri rumah menjelaskan denda RM6,000 selepas mengaku salah mengaibkan pegawai polis di laman sosial Instagram (IG), kira-kira dua bulan lepas.

Majistret Nor Izzati Zakaria memerintahkan Aini Syanina Ismail, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS) menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu. 

Aini Syanina dari Felda Lepar Hilir 3, Gambang di sini didakwa melakukan kesalahan itu kepada Inspektor Faizal Basri yang menjalankan tugasnya di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 4.30 pagi, 12 Jan lepas. 

OKS didakwa telah menyebut perkataan “bodoh polis bodoh” semasa merakam video menerusi IG stories menggunakan akaun bernama Nanabeauty miliknya. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ker Qi En mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Pada prosiding itu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu hanya dikenakan denda ringan kerana dirinya bergantung kepada pendapatan suami sebagai pekerja ladang dengan gaji bulanan RM800 selain mempunyai dua anak yang masih kecil. 

OKS yang difahamkan melakukan perbuatan itu selepas kereta suaminya disita kerana melanggar undang-undang, menjelaskan denda itu.

sumber: BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend