Siri OnePlus 8 Kini Rasmi – Snapdragon 865, Skrin 120Hz, Pengecasan Tanpa Wayar 30W Comments Off on Siri OnePlus 8 Kini Rasmi – Snapdragon 865, Skrin 120Hz, Pengecasan Tanpa Wayar 30W

OnePlus akhirnya melancarkan dua peranti terbaru mereka iaitu OnePlus 8 dan OnePlus 8 Pro, siri telefon pintar mercu yang kini lebih premium.

OnePlus 8 Pro

Model Pro ini hadir dengan paparan 6.78-inci Fluid AMOLED QHD+ dengan kadar segar semula 120Hz menjadikan ia skrin yang paling baik pernah OnePlus tawarkan. Selain mempertingkatkan teknologi skrin, OnePlus juga turut mengubah mekanisma kamera depan yang mana kini kamera swafoto itu diletakkan pada bucu skrin berbanding rekaan pop-naik pada generasi terdahulu.

Ultramarine Blue, Onyx Black, Glacial Green

OnePlus 8 Pro mengenakan konfigurasi kuadkamera belakang yang menyusunkan lensa utama 48MP, ultralebar 48MP, telefoto 3x zum optikal, dan lensa penyaring warna.

OnePlus 8 Pro dikuasakan cip pemproses Snapdragon 865, memori LPDDR5 sehingga 12GB RAM, storan sehingga 256GB berasaskan UFS 3.0, dan bateri sebesar 4510mAh yang menyokong pengecasan pantas Warp Charge 30T selain pengecasan pantas tanpa wayar Warp Charge 30 Wireless. Bersama-sama dengannya juga terdapat fungsi pengecasan berbalik yang membolehkan peranti mengecas peranti lain tanpa menggunakan wayar. Bagi melengkapkan spesifikasi, OnePlus 8 Pro menyokong ciri sambungan 5G, WiFi 6, dan kerangka kalis air bertaraf IP68.

OnePlus 8

Sementara itu untuk versi asas, OnePlus 8 menawarkan paparan yang sedikit kecil yang mana peranti ini dilengkapi skrin 6.55-inci AMOLED beresolusi FHD+. Sokongan kadar segar semula pula ialah 90Hz sama seperti generasi sebelum ini.

Peranti ini juga dijana cipset Snapdragon 865, memori LPDDR4X sehingga 12GB RAM, storan yang besar sehingga 256GB, dan bateri berkapasiti 4300mAh dengan sokongan Warp Charge 30T. Tiada sokongan pengecasan tanpa wayar mahupun pengecasan berbalik.

Onyx Black, Glacial Green, Interstellar Glow

Bercakap tentang kamera, OnePlus 8 hadir dengan sistem trikamera belakang menerusi sensor utama 48MP, ultralebar 16MP, dan makro 2MP sekaligus menjadikan kameranya tidak sebaik versi Pro.

Daripada segi sambungan, OnePlus 8 menyokong 5G dan WiFi 6 untuk capaian internet yang lebih baik serta lancar. OnePlus 8 Pro dan OnePlus 8 kedua-duanya didatangkan dengan pembesar suara stereo Dolby Atmos dan sokongan getaran haptik bagi memberikan pengalaman permainan yang lebih imersif.

Dua peranti ini ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat pada harga bermula US$699 (~RM3029) untuk OnePlus 8 dan US$899 (~RM3896) untuk OnePlus 8 Pro. Malangnya tiada maklumat mengenai ketersediaan peranti untuk pasaran Malaysia buat masa ini.

sumber

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend