
Shopee baru-baru ini telahpun melancarkan jualan besar-besaran hujung tahun sempena kempen ‘Shopee 11.11 Big Sale’ yang berlangsung pada 25 Oktober hingga 11 November 2018 nanti. Hari ini Shopee sekali lagi mengumumkan kerjasama dengan sub-jenama OPPO iaitu Realme, untuk menerima hak eksklusif untuk menjual Realme 2 Pro.

Bersesuaian dengan kempen ‘Shopee 11.11 Big Sale’, Realme telah menjalinkan kerjasama dengan Shopee untuk menjual Realme 2 Pro yang akan dilancarkan secara rasmi pada 7 November nanti. Keputusan ini telah dibuat oleh Realme Malaysia dalam usahanya untuk mencapai kejayaan di India, yang mana 200,000 unit siri Realme 2 telah berjaya dijual dalam masa hanya 5 minit.
Menurut Tiffany Teh, Pengurus Jenama Realme Malaysia, Shopee telah dipilih berikutan kejayaan singkatnya untuk berkembang menjadi salah satu platform e-dagang terbesar di rantau Asia Tenggara dan Taiwan.

Realme 2 Pro yang akan dijual secara eksklusif di ‘Shopee 11.11 Big Sale’ akan menampilkan skrin penuh 6.3 inci dengan rekaan takuk kecil, dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 660, dan juga kombinasi memori sehingga 8GB + 128GB. Untuk mengetahui harga jualannya, nantikan pelancaran rasminya pada 7 November nanti.