Sarung Pelindung Rekaan Pemuda Berusia 25 Tahun Ini Mampu Melindungi Telefon Pintar Apabila Terjatuh Comments Off on Sarung Pelindung Rekaan Pemuda Berusia 25 Tahun Ini Mampu Melindungi Telefon Pintar Apabila Terjatuh

Setiap kali telefon pintar kita terjatuh, perkara yang paling dirisaukan adalah paparan skrin retak kerana ia melibatkan kos pembaikan yang agak mahal. Tidak dinafikan terdapat pelbagai sarung pelindung yang dikategorikan sebagai tahan lasak, tetapi ia sama sekali berbeza dengan sarung pelindung yang dihasilkan oleh seorang pelajar Universiti dari Jerman.

Philip Frenzel yang berusia 25 tahun ini telah berjaya memenangi anugerah ‘German Society for Mechatronics 2018’ apabila rekaan sarung pelindungnya dilihat mampu menawarkan perlindungan yang jauh lebih unik. Menurut pemuda ini, sarung pelindung ciptaannya itu mengambil masa selama empat tahun dan ia telah dilengkapi dengan sensor yang mampu mengesan jika telefon pintar terjatuh.

Pemuda berusia 25 tahun ini telah menggunakan mesin pencetak 3D untuk menghasilkan sarung pelindung inovatif ini.

Sebaik sahaja telefon pintar terjatuh, secara automatik sensor itu akan mengaktifkan komponen dengan spring yang terletak di keempat-empat penjuru sarung pelindung supaya impak tidak terus diserap pada telefon pintar. Apa yang menariknya, komponen dengan spring pada sarung pelindung yang dipanggil sebagai ‘mobile airbag’ atau lebih dikenali sebagai ‘active damping’ ini boleh digunakan berulang kali.

Menurut maklumat yang dikongsikan, pelajar jurusan kejuruteraan ini telah bercadang untuk memulakan projek ini melalui laman Kickstarter pada Julai 2018 nanti.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend