
Samsung sememangnya boleh dianggap sebagai peneraju di dalam penghasilan perkakasan memori dengan dominasinya dalam industri DRAM dan juga NAND flash. Namun begitu, ia tidak begitu memfokuskan perkakasan untuk penggambaran peranti mudah alih kerana Sony boleh dianggap sebagai peneraju global untuk pasaran sensor pengimejan.
Walaupun masih belum setanding dengan Sony, hari ini Samsung dilihat telah berada di landasan yang betul dengan melancarkan sensor imej terbarunya iaitu Samsung ISOCELL Slim 3P9 yang menawarkan resolusi penggambaran 16 Megapiksel dengan saiz piksel sebesar 1.0μm.

Dilengkapi dengan teknologi Tetracell, ia telah dibangunkan khusus untuk telefon pintar bagi mendapatkan hasil gambar yang lebih terang dan juga warna yang lebih menonjol kerana teknologi ini membolehkan empat piksel digabungkan, bagi menghasilkan saiz piksel sebesar 2.0μm. ISOCELL Slim 3P9 ini juga turut didatangkan dengan teknologi termaju phase detection auto-focus (PDAF) untuk proses fokus yang lebih cepat.
Berbeza dengan sensor imej sedia ada di pasaran, ISOCELL Slim 3P9 menyokong inovasi pertama ‘plug & play’, sekaligus membolehkan pengeluar telefon pintar mempercepatkan proses penghasilan peranti kerana modul kamera ini boleh terus dipasang dengan mudah.