Samsung Galaxy S10 Versi 5G Memiliki Paparan Dan Bateri Lebih Besar 0 463

Samsung berkesempatan memperkenalkan telefon pintar 5G mereka di pentas pelancaran siri Galaxy S10 tempoh hari. Menariknya peranti ini akan dipasarkan di Amerika Syarikat tidak lama lagi iaitu sekitar suku kedua tahun ini.

Galaxy S10 5G dilengkapi paparan skrin bersaiz 6.7-inci melengkung yang mana lebih besar berbanding tiga model di bawahnya S10e, S10, dan S10+. Paparan ini juga menyokong teknologi pengimbas cap jari dalam skrin yang lebih maju. Ia dikuasakan cip pemproses yang sama iaitu Snapdragon 855 dan telah dimuatkan bersama modem 5G. Memori pula digandingkan dengan RAM sebesar 8GB selain storan seluas 256GB. Tiada pilihan 512GB atau 1TB dan lebih malangnya ia tidak menyediakan slot untuk kad microSD.

Bahagian kamera pula, peranti ini dibekalkan dengan empat kamera belakang – 12MP telefoto, 12MP sudut lebar, 16MP ultra lebar, dan dua sensor kamera 3D (ToF). Bahagian depan pula menawarkan tiga kamera dengan satu daripadanya 10MP dan yang selebihnya merupakan sensor 3D seperti kamera belakang.

Galaxy S10 5G dilihat menjadi model yang paling berat dalam kalangan siri Galaxy S10. Beratnya adalah 198g iaitu 23g lebih berat daripada S10+. Bagaimanapun berat ini telah didorong oleh bateri yang besar berkapasiti 4,500mAh yang mana turut menyokong pengecasan pantas dan ciri-ciri lain yang terdapat pada Galaxy S10+.

Memandangkan teknologi 5G masih terlalu awal untuk dilaksanakan di Malaysia, kita mungkin tidak akan melihat peranti ini dijual di negara ini. Cukuplah kita diperkenalkan dengan tiga model sahaja yang harganya juga mencecah RM4,600 seunit untuk varian paling atas.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend