
Samsung gemar menggunakan kod nama yang merujuk kepada galaksi dengan penggunaan kod nama ‘Dream’ untuk Galaxy S8 dan juga ‘Star’ untuk Galaxy S9. Melalui perkongsian laporan dari The Bell, model flagship terbaru keluaran Samsung iaitu Galaxy S10 akan tampil dengan kod nama ‘Beyond’.
Bersempena dengan ulang tahun ke-10 flagship dari siri Galaxy S, penggunaan nama ‘Beyond’ untuk model terbarunya itu dilihat sangat bersesuaian kerana ia dipercayai akan menampilkan pelbagai revolusi pada sebuah telefon pintar. Berdasarkan kepada khabar angin yang diterima, Galaxy S10 dan Galaxy S10+ yang masing-masing menyokong paparan skrin Infinity Display berukuran 5.8 inci dan 6.3 inci ini tidak akan menerima sentuhan rekaan yang jauh berbeza berbanding generasi sebelumnya.

Tetapi apa yang menjadikannya lebih istimewa adalah sokongan teknologi pengimbas cap jari pada skrin sentuh dan Samsung dipercayai akan mendapatkan bekalan dari pengeluar berbeza seperti Synaptics, Qualcomm dan Ezestek bagi mengatasi isu bekalan perkakasan tersebut.
Menurut The Bell lagi, Samsung Galaxy S10 juga didakwa berkemungkinan besar akan turut dilengkapi dengan kamera 3D bagi memperbaiki proses pengecaman wajah dan dalam masa yang sama meningkatkan keupayaan penjejakan wajah untuk fungsi AR Emoji. Sokongan kamera 3D ini dikatakan mampu membolehkan pengguna membuat panggilan video menggunakan avatar digital dengan lebih baik.

The Bell setakat ini memiliki rekod yang sangat tepat dalam membuat ramalan berhubung peranti flagship keluaran Samsung yang masih lagi belum diumumkan secara rasmi.