Samsung Galaxy S Light Luxury Kini Rasmi Dengan Snapdragon 660 Dan Kamera 16 Megapiksel Comments Off on Samsung Galaxy S Light Luxury Kini Rasmi Dengan Snapdragon 660 Dan Kamera 16 Megapiksel

Model yang sebelum ini dikhabarkan sebagai ‘Samsung Galaxy S8 Lite’ nampaknya telah dilancarkan secara rasmi di China dengan menggunakan nama ‘Samsung Galaxy S Light Luxury’. Jika dilihat pada rekaan fizikal model terbaru dari Samsung ini, ia kelihatan mirip seperti model Galaxy S8 yang diperkenalkan pada awal tahun lepas.

Walaupun Samsung Galaxy S Light Luxury hadir dengan nama yang kedengaran agak mewah, sebenarnya ia menyokong spesifikasi yang lebih rendah berbanding Galaxy S8. Sebagai contoh, paparan skrin Infinity Display berukuran 5.8 inci yang pada model ini hanya menyokong resolusi FHD+ (2220 x 1080 piksel), dan lensa 12 Megapiksel Dual Pixel pada Galaxy S8 telah digantikan dengan lensa 16 Megapiksel tanpa sokongan OIS.

Sesuai dengan sasaran pasaran kelas pertengahan premium, ia telah dikuasakan dengan pemproses lapan teras dari Qualcomm Snapdragon 660 berkelajuan 2.2 GHz yang dioperasikan oleh Android 8.0 Oreo. Malah sokongan paparan HDR10 serta butang Home 3D pada peranti ini turut disingkirkan. Sama seperti Galaxy S8 sebelum ini, Galaxy S Light Luxury mengekalkan ciri kalis air IP68, bateri berkapasiti 3000 mAh, pengecasan tanpa wayar dan juga kamera swafoto 8 Megapiksel.

Buat masa ini Samsung Galaxy S Light Luxury hanya boleh dibeli secara eksklusif di laman JD.com di China pada harga CNY3,999 (kira-kira RM2,490). Terdapat dua warna boleh dipilih iaitu Burgundy Red dan juga Black Night.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend