
Melalui blog mikro popular Weibo, rekaan sebenar Lenovo Z5 yang dikatakan menyokong nisbah skrin-ke-kerangka mencecah sehingga 95% akhirnya telah didedahkan sendiri oleh Naib Presiden Kumpulan Lenovo iaitu Chang Cheng. Jika sebelum ini kita telah didedahkan dengan ketirisan gambar yang memperlihatkan sokongan skrin penuh, nampaknya ia tidaklah seperti yang kita sangka.

Melalui gambar yang dikongsikan, Lenovo Z5 akan menyokong bezel pada bahagian bawah skrin dan ini bertujuan untuk menempatkan kamera hadapan dan juga sensor. Kedudukan kamera hadapan yang mirip seperti Xiaomi Mi MIX ini sememangnya agak menjengkelkan untuk digunakan kerana peranti perlu dipegang secara terbalik setiap kali anda hendak mengambil gambar swafoto atau panggilan video.

Sungguhpun begitu tidak dapat disahkan sama ada Lenovo akan menggunakan kaedah yang sama untuk kamera hadapannya atau terdapat inisiatif terbaru untuk penggunaan kamera hadapannya itu. Ini kerana Lenovo dikatakan akan memperkenalkan empat teknologi terbaru dan juga 18 teknologi yang telah dipatenkan.