Qualcomm Memperkenalkan Snapdragon 632, 439 Dan 429 Secara Rasmi Untuk Peranti Bajet Comments Off on Qualcomm Memperkenalkan Snapdragon 632, 439 Dan 429 Secara Rasmi Untuk Peranti Bajet

Qualcomm baru sahaja melancarkan dua pemproses dari kelas pertengahannya kepada umum dengan kemunculan Snapdragon 710, malah ketirisan prestasi benchmark Snapdragon 680 juga baru sahaja berjaya didedahkan di Internet. Kini Qualcomm dilihat telah mengumumkan pula tiga lagi pemproses terbarunya dari siri Snapdragon 600 dan juga Snapdragon 400.

Snapdragon 632

Dengan menggunakan proses 14nm, Snapdragon 632 hadir dengan lapan teras Kryo 250 berkelajuan 1.8 GHz. Empat daripada teras  itu akan memfokuskan aspek prestasi untuk aktiviti berat seperti permainan, manakala empat teras lagi akan digunakan untuk mengoperasikan aplikasi yang lebih efisien tenaga. Menurut Qualcomm, Snapdragon 632 menjanjikan prestasi 40% lebih baik berbanding Snapdragon 626, dan ia akan menyokong grafik Adreno 605 dan juga model X9 LTE.

Dibangunkan untuk sokongan paparan FHD+ yang menjadi trend pada masa kini, Snapdragon 632 ini berupaya menyokong satu kamera 24 Megapiksel ataupun dua kamera beresolusi 13 Megapiksel. Lebih menariknya, ia juga mampu menyokong efek bokeh masa-nyata, penggambaran bersudut luas dan juga rakaman video 4K.

Snapdragon 439

Dibangunkan khusus untuk peranti bajet dari segmen kelas permulaan, Snapdragon 439 menyokong lapan teras dengan menggunakan proses 12nm. Ia hadir dengan kombinasi empat teras Cortex-A53 berkelajuan 1.9 GHz dan juga empat teras Cortex-A53 dengan kelajuan 1.45 GHz. Cipset yang menyokong grafik Adreno 505 dan modem X6 LTE ini dikatakan 25% lebih berkuasa jika dibandingkan dengan Snapdragon 430. Ciri-ciri yang disokongnya termasuklah sokongan satu kamera 21 Megapiksel ataupun dwi kamera beresolusi 8 Megapiksel, dan mampu menyokong paparan skrin beresolusi FHD+.

Snapdragon 429

Sama seperti Snapdragon 439, Snapdragon 429 juga turut menggunakan proses 12nm tetapi hadir dengan sokongan empat teras Cortex-A53 berkelajuan 1.95 GHz. Walaupun tampil dengan sokongan modem X6 LTE, Snapdragon 429 menyokong grafik yang lebih rendah iaitu Adreno 504 dan juga paparan beresolusi HD+ sahaja. Ia juga mampu menyokong satu kamera beresolusi 16 Megapiksel ataupun dwi kamera 8 Megapiksel dengan prestasi 25% lebih baik berbanding Snapdragon 425.

Menurut laporan yang diterima, peranti dengan sokongan Snapdragon 632, 439 dan 429 ini akan mula diperkenalkan buat pertama kalinya menjelang suku ketiga tahun ini. Malah berdasarkan perkongsian dari Roland Quandt, peranti Android Go pada masa akan datang akan turut dikuasakan dengan Snapdragon 439 dan 429.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend