
Kebocoran maklumat berhubung prestasi sesebuah telefon pintar bukanlah suatu perkara yang baru, ini kerana sudah banyak model yang belum diumumkan telah berjaya didedahkan melalui bantuan pangkalan data benchmark di Internet.
Kali ini giliran prestasi benchmark Samsung Galaxy Note 9 pula berjaya dikongsikan melalui keputusan skor yang diperolehinya dari aplikasi benchmark Geekbench. Dengan menggunakan nombor model SM-N960U, Galaxy Note 9 berjaya memperolehi 2190 untuk skor Single-Core dan 8806 untuk skor Multi-Core.

Keputusan yang diperolehi Galaxy Note 9 yang dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 845, RAM berkapasiti 6GB, dan juga dioperasikan dengan Android 8.1 Oreo ini tidak begitu jauh berbeza jika dibandingkan dengan model Galaxy S9 yang menggunakan pemproses Exynos 9810.

Sungguhpun begitu, untuk pasaran Malaysia nanti Samsung dipercayai akan hanya membawa masuk varian Galaxy Note 9 yang akan dikuasakan dengan Exynos 9810 sahaja. Manakala varian Qualcomm Snapdragon 845 kebiasaannya hanya diterima untuk negara tertentu seperti Amerika dan juga China.