Pengkomersilan 5G Di Malaysia Pada Suku Ketiga Ini Akan Menyumbang RM12.7b Dan 39,000 Peluang Kerja Comments Off on Pengkomersilan 5G Di Malaysia Pada Suku Ketiga Ini Akan Menyumbang RM12.7b Dan 39,000 Peluang Kerja

Melalui perkongsian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pengkomersilan teknologi 5G di Malaysia menjelang suku ketiga tahun 2020 ini bakal mengubah tahap kesalinghubungan dalam negara, sekaligus meletakkan Malaysia antara negara terawal di rantau ASEAN untuk melaksanakan rangkaian generasi kelima ini.

Berdasarkan laporan terkini oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengenai impak ekonomi pelaksanaan perkhidmatan 5G di Malaysia menjangkakan, sumbangan daripada teknologi 5G kepada ekonomi negara akan mencecah RM12.7 bilion bagi tempoh antara tahun 2021 sehingga 2025.

Selain itu memberi sumbangan besar kepada negara, pengkomersilan 5G juga mampu mewujudkan lebih 39,000 peluang pekerjaan baharu sepanjang tempoh tersebut.

Bagi menggalakkan pembangunan ekosistem 5G, geran dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta disediakan untuk merangsang penerimaan kes-kes kegunaan 5G oleh pihak industri dan sektor awam, merentasi vertikal-vertikal seperti automotif, pembuatan, keselamatan awam, pendidikan, pertanian, pelancongan, hiburan dan media.

Bahkan MCMC dengan kerjasama pihak berkepentingan dan syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan seperti Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Edotco Malaysia Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, Petroliam Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, U Mobile Sdn Bhd, Petroliam Nasional Berhad dan YTL Communications Sdn Bhd – turut menjalankan projek demonstrasi 5G di enam buah negeri melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM143 juta.

Pada 31 Disember 2019, MCMC turut mengumumkan Laporan Akhir berhubung peruntukan spektrum bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih negara bagi jalur spektrum 700MHz, 2300MHz, dan 2600MHz. Menurut laporan itu, MCMC telah mengenal pasti jalur spektrum 700MHz, 3.5GHz dan 26/28GHz sebagai jalur spektrum rintis untuk pelaksanaan 5G di Malaysia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan merasmikan Projek Demonstrasi 5G di Langkawi, Kedah pada 19 Januari 2020, diikuti oleh lawatan ke tapak kes-kes kegunaan terpilih seperti 5G Command Centre (5GCC) di bandar Kuah, Hospital Sultanah Maliha dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) bagi meninjau sendiri perkembangan mutakhir projek terbabit.

sumber

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend