Pelancaran Cipset Xiaomi Surge S2 Terpaksa Ditunda Berikutan Isu Yang Tidak Dapat Dielakkan Comments Off on Pelancaran Cipset Xiaomi Surge S2 Terpaksa Ditunda Berikutan Isu Yang Tidak Dapat Dielakkan

Jenama Xiaomi sememangnya tidak lagi perlu diperkenalkan kerana ia memiliki pengikutnya yang tersendiri di seluruh dunia kerana ia boleh dianggap antara peranti yang berbaloi untuk dimiliki. Bahkan pada Februari 2017 yang lalu, buat pertama kalinya Xiaomi telah melibatkan diri dengan industri pembuatan cipset apabila melancarkan Xiaomi Surge S1 yang digunakan pada model Xiaomi Mi 5C.

Xiaomi Mi 5C merupakan peranti pertama dikuasakan dengan cipset Surge S1.

Berdasarkan daripada laporan pada bulan April 2018, TSMC dikatakan telahpun mula menghasilkan cipset generasi kedua Xiaomi iaitu Surge S2 yang berasaskan proses 16 nm FinFET. Namun sehingga kini tiada sebarang berita berhubung ketersediaan cipset tersebut di pasaran.

Berikutan daripada itu, baru-baru ini Wang Teng Thomas selaku Pengarah Produk Xiaomi telah mengeluarkan kenyataan bahawa cipset Surge S2 itu masih lagi sedang dibangunkan. Menurut beliau, pelancaran cipset generasi kedua daripada Xiaomi itu terpaksa ditunda berikutan terdapat isu yang tidak dapat dielakkan.

Prestasi Surge S1 boleh dianggap sangat baik bagi sebuah cipset baru.

Cipset Surge S2 dipercayai akan menyokong rekaan lapan teras iaitu empat teras Cortex-A73 berkelajuan 2.2GHz, dan empat teras Cortex-A53 berkelajuan 1.8GHz. Ia juga dikatakan menyokong GPU Mali-G71MP8, dilengkapi oleh storan jenis UFS2.1, dan juga memori RAM LPDDR4.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend