
Pada 29 April 2018 (Ahad) yang lepas telah berlangsungnya pertandingan ‘ROG Conquest: Penang State Championship’ peringkat akhir yang bertempat di The Top Komtar, Pulau Pinang. Bertujuan untuk menarik minat golongan remaja untuk menyertai arena eSport, pertandingan ini telah berjaya menerima sehingga 90 pasukan berbeza untuk menyertai perlawanan permainan Dota 2.

Pertandingan anjuran ROG yang turut mendapat kerjasama dari Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan juga Persatuan ICT Pulau Pinang (PICTA) telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 500 peminat permainan ini bagi menyaksikan pertarungan peringkat akhir ROG Conquest 2018.

Pasukan BlackJack telah berjaya dinobatkan sebagai juara apabila berjaya memenangi perlawanan Dota 2 untuk dua set berturut-turut bagi mengalahkan pasukan lain yang menyertai pertandingan ini. Tempat kedua dimenangi oleh pasukan DotaHero, tempat ketiga disandang oleh pasukan Lagenda, manakala pasukan CR1 Stratos pula menduduki tempat keempat.

Pentas pertandingan peringkat akhir ROG Conquest 2018 ini telah dikuasakan oleh komputer riba gaming terbaru iaitu ROG Strix GL503 SCAR Edition yang dilengkapi dengan paparan skrin berukuran 15.6 inci. Hadir dengan profil kerangka yang kompak, ia memiliki ketebalan hanya 2.3cm dan juga berat hanya 2.3kg. ROG Strix GL503 turut dikuasakan dengan pemproses Intel Core i7 dengan grafik NVIDIA GeForce GTX 1060.