
HMD Global hari ini telah melancarkan dua buah telefon pintar terbaru, Nokia 6.2 dan Nokia 7.2 untuk pasaran Malaysia. Kedua-dua telefon pintar ini hadir dengan spesifikasi kelas pertengahan selain datang dengan tiga kamera belakang yang mana Nokia 7.2 dilengkapi lensa ZEISS.
Peranti di bawah program Android One ini menjalankan sistem operasi Android 9 Pie terkini dengan antaramuka asli. Nokia 6.2 dan Nokia 7.2 berkongsi jenis skrin yang sama iaitu paparan PureDisplay 6.3-inci FHD+ dengan sokongan HDR serta takuk titisan air.

Nokia 6.2 dikuasakan pemproses Snapdragon 636 manakala Nokia 7.2 menggunakan Snapdragon 660. Walaupun ramai yang mengatakan ia adalah cipset generasi lama, HMD mendakwa selagi kemas kini berkala diberikan, prestasi peranti akan kekal pada tahap optimum.

Pemilik telefon pintar Nokia ketika ini juga dikatakan akan menikmati kemas kini Android selama dua tahun dan kemas kini keselamatan selama tiga tahun. Jadi, cukup jelas bahawa HMD mengeluarkan telefon pintar bukan sahaja untuk mengikut trend masa kini tetapi pada masa sama menawarkan sistem operasi yang baik kepada pengguna.

Nokia 6.2 akan berada di pasaran mulai Oktober ini pada harga RM899 sementara Nokia 7.2 pula boleh didapati di kedai-kedai terpilih mulai hari ini dengan tanda harga RM1299. Sebagai permulaan, kedua-dua telefon pintar ini hanya ditawarkan dalam pilihan warna Hitam, manakala warna-warna lain bakal menyusul dalam beberapa minggu selepas itu.
Spesifikasi Nokia 7.2:
- PureDisplay 6.3″ FHD+ HDR10
- Qualcomm Snapdragon 660
- Android asli (berasaskan Android 9 Pie)
- Kamera utama: ZEISS Optic 48MP f/1.8 + 5MP kedalaman + 8MP f/2.2 ultra-lebar
- Kamera depan: 20MP ZEISS Optic
- 6GB + 128GB (sokong microSD sehingga 400GB)
- 3500mAh USB-C
- Night mode, Face Unlock, Fingerprint Unlock
Spesifikasi Nokia 6.2:
- PureDisplay 6.3″ FHD+ HDR10
- Qualcomm Snapdragon 636
- Android asli (berasaskan Android 9 Pie)
- Kamera utama: 16MP f/1.8 + 5MP kedalaman + 8MP f/2.2 ultra-lebar
- Kamera depan: 8MP f/2.2
- 4GB + 64GB (sokong microSD sehingga 400GB)
- 3500mAh USB-C
- Night mode, Face Unlock, Fingerprint Unlock