Nokia 6.1 Plus Dan Nokia 5.1 Plus – Betul-Betul Lain Daripada Nokia Sebelum Ini 0 263

HMD Global yang lebih dikenali sebagai Nokia semalam telah melancarkan dua peranti terbaharu mereka iaitu Nokia 6.1 Plus dan Nokia 5.1 Plus ke pasaran tempatan. Titik penjualan peranti ini ialah kepada mereka yang gemarkan permainan mudah alih tetapi memiliki bajet yang terhad dalam masa sama inginkan peranti dengan antaramuka Android asli (Android One).

Nokia 6.1 Plus (kiri) dan Nokia 5.1 Plus

Kualiti binaan yang menjadi teras utama Nokia telah menjadikan Nokia 6.1 Plus sebuah peranti premium berasaskan kaca hampir 90% – berbeza dengan Nokia 6.1 yang sebelum ini direka menggunakan bahan berasaskan aluminium.

Atas kertas, Nokia 6.1 Plus dilengkapi paparan 5.8-inci FHD+ bertakuk pertama dalam barisan peranti pintar Nokia. Ruang dagu kini direka lebih nipis sekaligus nisbah skrin-ke-kerangka melebihi 80%. Pada perkakasan dalaman, Nokia 6.1 Plus dikuasakan cip pemproses Snapdragon 636, memori 4GB RAM dan storan seluas 64GB yang menyokong memori kad microSD sehingga 400GB. Kapasiti bateri ialah sebesar 3,060mAh.

Rekaan panel belakang seakan sama dengan kedudukan cap jari di bawah modul kamera

Sistem kamera pada peranti ini menyediakan sensor sebesar 16MP dan 5MP di sebelah belakang. Nokia mengatakan kali ini bantuan AI dapat menghasilkan gambar yang lebih kemas dan kamera depan 16MP masih menawarkan ciri Bothie. Bagi yang tidak tahu, Bothie menyokong rakaman gambar dan video menerusi lensa depan dan belakang secara serentak.

USB Type-C dan kekisi speaker

Nokia 6.1 Plus didatangkan dengan warna Gloss Black, Gloss White, dan Gloss Midnight Blue pada harga RM1,149 seunit. Peranti ini mula dijual di kedai-kedai bermula hari ini.

Sebuah lagi peranti yang diperkenalkan ialah Nokia 5.1 Plus. Peranti ini dapat dibezakan dengan skrin beresolusi lebih rendah iaitu hanya HD+ sahaja. Pada paparan 5.8-inci, pengguna masih lagi menerima rekaan takuk – cuma lebih besar berbanding Nokia 6.1 Plus.

FHD+ melawan HD+

Nokia 5.1 Plus dijana oleh pemproses MediaTek Helio P60 dan turut digandingkan bersama memori 3GB RAM serta 32GB storan. Pengguna boleh memasukkan kad microSD kerana peranti ini menyokong sehingga 256GB. Bateri yang diletakkan ialah sebesar 3,060mAh melalui sambungan USB Type-C (sama seperti Nokia 6.1 Plus).

Penggambaran pula, peranti ini menyediakan gambungan kamera 13MP dan 5MP untuk belakang, manakala untuk depan kamera 8MP telah dimuatkan. Didatangkan dengan tiga plihan warna, pihak Nokia masih merahsiakan harga untuk peranti ini. Dimaklumkan, harga akan diumumkan dalam seminggu-dua lagi.

Kotak hadiah

Bagi pengguna yang ingin mendapatkan Nokia 6.1 Plus, 2,500 pelanggan yang terawal akan membawa pulang kotak hadiah berupa kamera aksi, sarung pelindung jernih, dan tempered glass bernilai RM300.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend