Motorola Moto Z3 Dilancarkan Dengan Sokongan Rangkaian 5G Dan Skrin AMOLED 6-inci Comments Off on Motorola Moto Z3 Dilancarkan Dengan Sokongan Rangkaian 5G Dan Skrin AMOLED 6-inci

Verizon selaku syarikat telco terbesar di Amerika Syarikat baru-baru ini telah melancarkan Motorola Moto Z3 secara eksklusif. Moto Z3 ialah sebuah peranti induk yang menawarkan sejumlah ciri-ciri terbaharu salah satunya ialah sokongan rangkaian 5G dimana rangkaian ini akan diperluaskan di negara itu mulai tahun hadapan.

Secara teknikalnya, Moto Z3 dilengkapi pemproses terdahulu Snapdragon 835 dan bukan Snapdragon 845 seperti yang diharapkan. Memori yang didukung ialah 4GB RAM dan 64GB storan selain dimuatkan dengan bateri sebesar 3,000mAh. Dijalankan dengan Android 8.1 Oreo, peranti ini juga dijangka menjadi peranti yang terawal menerima kemas kini Android P apabila ia keluar nanti.

Pada bahagian luaran, ia hadir dengan sistem dwi kamera 12MP + 12MP menerusi panel gelas belakang yang hampir menyerupai generasi sebelumnya. Sementara kamera depan menawarkan swafoto daripada kamera 8MP. Pengimbas cap jari pula kini telah dialihkan ke bahagian sisi kerangka sekaligus menjadikan rupa depan tampak lebih kemas.

Seperti yang disebutkan tadi, telefon ini menyokong rangkaian 5G menerusi aksesori Moto Mod dan bukannya daripada perkakasan dalaman peranti itu sendiri. Moto Mod 5G ini telah dibangunkan dengan kerjasama Verizon, jadi tidak mustahil mereka mendapat hak penjualan eksklusif.

Dengan reka bentuk identikal ini, Moto Z3 masih menyokong aksesori modular yang lain seperti speaker, sarung pelindung dengan pengecas tanpa wayar, pad kawalan permainan, dan lain-lain. Untuk pengetahuan Moto Mod 5G juga dibekalkan dengan bateri sebesar 2,000mAh – menjadikan kuasa peranti bertambah kepada 5,000mAh sebaik Moto Mod 5G disambungkan.

Motorola Moto Z3 dijual di Verizon pada harga $480 (~RM1,957) tidak termasuk Moto Mod 5G. Harga untuk modular ini akan diumumkan awal tahun hadapan. Melihat pada penjualan eksklusif ini, agak tipis ia akan dijual di Malaysia. Jika ada, sokongan 5G tidak akan disertakan.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend