MediaTek Helio P70 Kini Dilancarkan Dengan Peningkatan Prestasi Sehingga 13% Berbanding Generasi Sebelumnya 0 183

Minggu lepas kami ada mendedahkan bahawa MediaTek dilaporkan akan melancarkan pemproses terbaharunya iaitu Helio P70. Nampaknya seperti yang telah dijanjikan, hari ini pemproses itu telahpun didedahkan kepada umum secara rasmi.

Namun seperti yang dilaporkan sebelum ini, Helio P70 nampaknya tidak menyokong NPU (Neural Processing Unit) sebaliknya ia telah disahkan menyokong APU (Artificial Intelligence Processing Unit) sama seperti Helio P60 sebelum ini. Sungguhpun begitu, aspek AI pada Helio P70 telah dipertingkatkan lagi dengan bantuan MediaTek NeuroPilot yang mampu menjanjikan prestasi 30% lebih baik.

Berbanding Helio P60 sebelum ini, Helio P70 masih lagi mengekalkan sokongan fabrikasi semikonduktor FinFET 12nm, konfigurasi empat teras Cortex-A73 serta empat teras Cortex-A53, dan juga sokongan GPU Mali-G72. Apa yang membezakannya dengan pemproses sebelum ini adalah sokongan frekuensi CPU dan GPU yang telah dipertingkatkan.

Helio P70 kini menyokong frekuensi CPU berkelajuan 2.1GHz untuk teras Cortex-A73 dan 2.0GHz untuk teras Cortex-A53. Manakala kelajuan frekuensi GPU turut dipertingkatkan kepada 900MHz berbanding hanya 800MHz sebelum ini. Peningkatan ini dikatakan mampu menjanjikan prestasi sehingga 13% lebih baik.

Cipset baharu MediaTek ini juga mampu menyokong memori RAM antara 3GB (LPDDR3) hingga 8GB (LPDDR4X). Manakala untuk sokongan memori dalaman pula ia berupaya menyokong ruang storan jenis eMMC 5.1 ataupun UFS 2.1. Sungguhpun begitu, sambungan Bluetooth masih lagi menyokong versi 4.2 (LE).

Sumber

 

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend