LG V40 ThinQ Kini Rasmi Dengan 5 Kamera Dan Paparan OLED 6.4″ QHD+ Comments Off on LG V40 ThinQ Kini Rasmi Dengan 5 Kamera Dan Paparan OLED 6.4″ QHD+

LG V40 ThinQ dengan lima kamera telah dilancarkan secara rasmi hari ini sekaligus menjadikan ia telefon pintar pertama di dunia dengan sokongan tiga kamera utama yang meliputi lensa utama, sudut luas, dan telefoto.

Atas kertas, kamera belakang telah dimuatkan dengan sensor 12MP f/1.5 bersaiz 1.4um – lebih besar berbanding model terdahulu LG G7 dan V35. Sensor ini juga turut dibantu dengan fungsi penstabilan imej optikal yang telah dinaik taraf malah ini adalah yang pertama keluaran LG yang menyokong fungsi Dual Pixel autofocus. Pada sensor telefoto, LG meletakkan kamera 12MP f/2.4 yang menyokong zum sehingga 3-kali. Pada sensor ketiga pula, ia masih menggunakan kamera 16MP yang sama daripada LG G7 iaitu seluas 107-darjah.

Ketiga-tiga kamera ini menyokong penstabilan imej digital dan HDR untuk rakaman video. Selain itu, ia menawarkan sokongan Triple Shot untuk merakam tiga gambar sekaligus disamping sokongan video 4K pada 60fps dan gerak-perlahan 1080p pada 240fps. Sementara pada kamera depan, LG V40 ThinQ hadir dengan dwi kamera depan 8MP f/1.9 dan 5MP f/2.4 yang menyokong penggambaran bokeh dan efek pencahayaan studio.

Paparan pada peranti ini menyediakan skrin bertakuk OLED bersaiz 6.4-inci FullVision beresolusi QHD+. Kerangka badan pula, peranti ini diiktiraf MIL-STD-810G dan IP68 yang boleh diselamkan ke dalam air tanpa masalah.

LG V40 ThinQ dijana cip pemproses Snapdragon 845, 6GB RAM, dan 64GB storan. Bagi melengkapkan spesifikasi, ia dibekalkan bateri sebesar 3,300mAh dan sambungan USB Type-C yang menyokong Quick Charge 3.0. Terdapat slot untuk kad microSD bersama-sama dengannya.

LG V40 ThinQ dikemaskan dengan warna Aurora Black dan Moroccan Blue pada harga bermula USD900 (~RM3,733) seunit. Tiada maklumat untuk pasaran Malaysia setakat ini.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend