LG G7 ThinQ Dilancarkan Secara Rasmi Dengan Penggambaran AI, Quick Charge 4.0 Dan Butang Dedikasi Google Assistant Comments Off on LG G7 ThinQ Dilancarkan Secara Rasmi Dengan Penggambaran AI, Quick Charge 4.0 Dan Butang Dedikasi Google Assistant 377

Akhirnya LG telah melancarkan model flagship keluarannya iaitu model G7 ThinQ yang akan diperkenalkan secara eksklusif untuk pasaran Korea Selatan terlebih dahulu. Berdasarkan kepada ketirisan imej di Internet, sudah tentunya ramai di antara anda yang sedia maklum bahawa ia menampilkan rekaan skrin bertakuk dan juga butang dedikasi untuk mengaktifkan pembantu digital Google Assistant.

LG G7 ThinQ menyokong paparan skrin dengan nisbah 19.5:9 berukuran 6.1 inci IPS LCD QHD+ (3120 x 1440 piksel) FullVision Super Bright yang sangat terang iaitu mencecah sehingga 1000 nits. Dari segi prestasi pula, ia dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 845 bagi mengoperasikan sistem operasi Android 8.0 Oreo.

Berbeza dengan kebanyakan peranti Android yang memiliki rekaan takuk pada skrin, LG G7 ThinQ menyokong saiz takuk yang agak besar mirip seperti iPhone X. Namun begitu, ia memiliki kelebihan yang tidak dimiliki pada sesetengah peranti lain iaitu fungsi untuk menyembunyikan takuk seperti yang disokong oleh siri Huawei P20.

Dari segi keupayaan penggambaran pula, ia dilihat masih mengekalkan konfigurasi dwi kamera beresolusi 16 Megapiksel yang menawarkan kamera biasa dan juga kamera dengan sudut luas mencecah sehingga 107 darjah (LG V30 sokong kamera sudut luas 120 darjah). Apa yang menariknya, LG G7 ThinQ juga kini turut menyokong mod AI CAM yang mampu mengenal pasti sehingga 1000 objek berbeza mahupun persekitaran.

LG G7 ThinQ ditawarkan dalam dua varian storan berbeza iaitu 64GB + RAM 4GB untuk model biasa dan juga 128GB + RAM 6GB untuk model LG G7+ ThinQ. Walau bagaimanapun, sokongan bateri berkapasiti 3000 mAh dilihat lebih kecil berbanding bateri pada LG G6 dan juga LG V30. Tetapi sokongan teknologi pengecasan pantas Quick Charge 4.0 yang menjanjikan masa mengecas yang jauh lebih cepat.

Buat masa ini harga jualan LG G7 ThinQ yang hadir dengan ciri IP68, pengecaman wajah dan juga speaker stereo Boombox (Hi-Fi Quad DAC) ini masih lagi belum didedahkan kepada umum. LG G7 ThinQ akan dijual dalam empat warna menarik iaitu New Platinum Grey, New Aurora Black, New Moroccan Blue dan juga Raspberry Rose.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend