Lenovo Tab V7 Diperkenalkan Dengan Cipset Snapdragon 450, Skrin 6.9 Inci FHD+Dan Bateri 5180 mAh 0 186

Lenovo bukanlah satu jenama yang asing di kalangan pengguna di negara ini, dan tidak dinafikan yang ia sering menjadi pilihan pengguna yang mahukan sebuah telefon pintar mahupun tablet pada harga yang lebih mampu milik. Bersempena berlangsungnya acara MWC 2019, Lenovo turut tidak melepaskan peluang apabila telah melancarkan Lenovo Tab V7 secara rasmi.

Hadir dengan panel skrin IPS LCD FHD+ (2160 x 1080 piksel) berukuran 6.9 inci, Lenovo Tab V7 telah dikuasakan dengan cipset Qualcomm Snapdragon 450. Ia juga tersedia dengan memori 4GB RAM dan ruang storan sebesar 64GB yang boleh dibesarkan lagi melalui sokongan kad microSD sehingga 128GB.

Sesuai dengan sasarannya sebagai sebuah peranti multimedia, Lenovo Tab V7 turut tersedia dengan dwi speaker Dolby Audio yang terletak pada bahagian depan. Manakala untuk aspek penggambaran pula ia menyokong kamera utama beresolusi 13MP dan juga kamera swafoto beresolusi 5MP.

Lenovo Tab V7 yang dioperasikan oleh Android 9.0 Pie dengan tetapan Adaptive Battery berupaya menjanjikan masa berbual sehingga 30 jam ataupun masa memainkan video sehingga 10 jam. Masa penggunaan yang sangat baik ini dibantu pula dengan bateri berkapasiti 5180 mAh.

Dijual pada harga €249 (kira-kira RM1,151) termasuk VAT iaitu cukai di UK, Lenovo Tab V7 akan mula ditawarkan bermula April 2019 ini.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend