Ketirisan Imej Huawei Nova 4 Mengesahkan Sokongan Tiga Kamera Utama Dengan Lensa 48MP Comments Off on Ketirisan Imej Huawei Nova 4 Mengesahkan Sokongan Tiga Kamera Utama Dengan Lensa 48MP

Dari hari ke hari, ada sahaja berita ketirisan tentang peranti kelas pertengahan terbaharu keluaran Huawei iaitu model Nova 4 yang berjaya dirungkai. Sebagaimana yang kita ketahui, Huawei Nova 4 telah disahkan menjadi peranti pertama daripada jenama itu yang menyokong rekaan kamera swafoto di dalam skrin.

Menariknya blog DroidShout baru-baru ini dilihat telah memuat naik imej rasmi Huawei Nova 4 yang memberikan lebih banyak klu sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada 17 Disember nanti. Melalui perkongsian imej tersebut, Huawei Nova 4 dilihat menyokong paparan skrin penuh tanpa takuk dengan saiz bezel yang lebih nipis.

Ditawarkan dalam empat warna pilihan iaitu Aurora Blue, Red, White dan Black, Huawei Nova 4 telah disahkan menyokong tiga kamera utama dengan kedudukan lensa mirip seperti Huawei P20 Pro. Berdasarkan imej itu juga, peranti ini juga hadir dengan lensa utama beresolusi 48MP dengan aperture f/1.8. Manakala dua lensa lagi dipercayai menyokong resolusi 16MP (f/2.2) + 2MP (f/2.4).

Mengikut khabar angin yang dikongsikan sebelum ini, Huawei Nova 4 akan dikuasakan dengan Kirin 970, paparan skrin bernisbah 19.25:9 sebesar 6.4 inci FHD+, dan berkemungkinan besar menyokong 8GB RAM serta ruang storan 128GB. Selain itu ia juga mungkin tersedia dengan lensa depan 25MP dan juga bateri berkapasiti 3750 mAh dengan pengecasan pantas 18W.

Menurut blog itu lagi, Huawei Nova 4 akan turut diperkenalkan dalam varian lebih mampu milik dengan sokongan tiga kamera beresolusi 20MP + 16MP + 2MP, dan juga resolusi skrin yang lebih rendah. Benar atau tidak pendedahan yang dibuat ini, sama-sama kita nantikan pendedahannya nanti.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend