
Sekiranya anda mementingkan aspek penerimaan kemas kini yang berterusan daripada pihak pengeluar telefon pintar, jenama Nokia boleh dimasukkan di dalam senarai. Ini kerana HMD Global baru-baru ini telah mengesahkan bahawa kesemua model Nokia keluarannya akan menerima kemas kini terbaru Android P pada masa akan datang.
Ini bermakna kesemua peranti yang dioperasikan dengan platform Android One termasuklah Nokia 8 Sirocco, Nokia 7 Plus, Nokia 6, Nokia 5.1 dan Nokia 3.1 akan menerima kemas kini tersebut. Lebih menariknya, HMD Global dilihat tidak mengabaikan model generasi pertamanya iaitu Nokia 3, Nokia 5 dan juga Nokia 8, kerana ketiga-tiga model ini akan turut menerima Android P.

Malah peranti Nokia yang dioperasikan dengan platform Android Go iaitu Nokia 1, Nokia 2 dan juga Nokia 2.1 turut disahkan akan menerima kesemua kelebihan yang disokong oleh Android P. Sementara itu, Ketua Pegawai Produk HMD Global iaitu Juho Sarvikas turut mengumumkan penawaran mod Nokia Pro Camera untuk Nokia 8 pada 1 Jun 2018 nanti.