Kerajaan Melancarkan MySejahtera – Aplikasi Pengawasan Penularan Wabak COVID-19 Comments Off on Kerajaan Melancarkan MySejahtera – Aplikasi Pengawasan Penularan Wabak COVID-19

MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri. Pada masa yang sama, ia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat maklumat awal untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan.

Aplikasi MySejahtera memberikan kemudahan untuk:

  • Membantu Kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan seterusnya menangani wabak COVID -19
  • Membantu individu mengenalpasti tahap kesihatan mereka sepanjang penularan wabak COVID -19
  • Membantu individu mendapatkan bantuan kesihatan dan tindakan yang perlu diambil jika dijangkiti COVID -19
  • Membantu individu mengenal pasti hospital dan klinik terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan COVID -19

Aplikasi MySejahtera dibangunkan melalui kerjasama strategik Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

MySejahtera di iOS

Terdapat dua kategori pengguna aplikasi iaitu:

  • Pentadbir aplikasi di KKM
  • Rakyat Malaysia dan semua warga asing yang menetap di Malaysia

Aplikasi ini disokong oleh kesemua peranti telefon pintar yang menggunakan perisian sistem Android versi 4.4 dan iOS 11 ke atas. Aplikasi MySejahtera boleh dimuat turun dari Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery. Aplikasi MySejahtera adalah PERCUMA.

MySejahtera di Android

Untuk mendaftar, anda hanya perlu mengikuti langkah-langkah berikut:

  • Langkah 1: Imbas Kod QR di bawah atau klik pautan https://mysejahtera.malaysia.gov.my
  • Langkah 2: Masukkan nombor telefon bimbit anda atau alamat e-mel anda
  • Langkah 3: Tekan ‘Hantar’. Anda akan menerima one time pin (OTP) melalui SMS daripada MySMS 63839 (jika mendaftar menggunakan nombor telefon) atau emel (jika mendaftar menggunakan emel)
  • Langkah 4: Masukkan OTP yang diterima dan tekan ‘Hantar’
  • Langkah 5: Masukkan butiran pendaftaran seperti arahan di skrin dan tekan ‘Hantar’. Anda akan mendapat mesej ‘Pendaftaran Berjaya’
  • Langkah 7: Muat turun aplikasi MySejahtera dan log masuk

Anda BOLEH mendaftarkan maklumat berhubung ahli keluarga yang tidak mempunyai nombor atau akses kepada telefon pintar di dalam aplikasi ini. Aplikasi ini akan turut membantu anda menilai tahap kesihatan ahli keluarga atau individu lain yang tinggal bersama.

Aplikasi ini dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dan diuruskan oleh KKM sebagai pentadbir aplikasi dengan dibantu oleh MKN dan MAMPU. Kerajaan menjamin bahawa maklumat peribadi anda akan digunakan bagi tujuan pemantauan dan pencegahan wabak COVID-19 sahaja. Maklumat peribadi anda tidak akan dikongsi atau diberikan kepada mana-mana pihak yang lain. Semua maklumat pesakit COVID-19 adalah terpelihara di bawah kerahsiaan maklumat rekod perubatan.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend