JBL Anjur Pertandingan Nyanyian Dalam Talian Dengan Hadiah Bernilai Sehingga RM100,000 – ‘JBL Rising Star Singing Competition 2018’ Comments Off on JBL Anjur Pertandingan Nyanyian Dalam Talian Dengan Hadiah Bernilai Sehingga RM100,000 – ‘JBL Rising Star Singing Competition 2018’

Hot Gadgets selaku pengedar tunggal produk JBL di Malaysia, telah berkolaborasi dengan JBL Malaysia untuk menganjurkan pertandingan nyanyian dalam talian iaitu ‘JBL Rising Star Competition 2018’. Pertandingan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur antara 16 hingga 30 tahun yang mempunyai bakat dalam nyanyian serta persembahan, dan ia menawarkan hadiah bernilai sehingga RM100,000.

Penyertaan pertandingan ini telahpun dibuka mulai hari ini dan para peserta boleh mengambil bahagian dengan membuat rakaman video nyanyian lagu pilihan sendiri yang berdurasi selama satu minit. Rakaman video itu perlu dimuat naik ke akaun Instagram masing-masing dan ia perlu diletakkan tanda pagar #JBLMY dan juga #JBLRISINGSTAR sebagai syarat penyertaan.

Seramai 18 peserta akan dipilih ke pusingan separuh akhir di mana 15 peserta akan dipilih oleh tiga juri profesional yang terdiri daripada penyanyi tempatan popular seperti Hael Husaini, Hanz Guo Wen Han dan Jenn Chia. Tiga peserta dengan jumlah like tertinggi di Instagram akan mara secara automatik ke pusingan separuh akhir pada hari Sabtu, 19 Mei 2018 nanti.

Tiga juri profesional ini akan turut ditugaskan untuk memilih 10 peserta paling berbakat dari senarai peserta separuh akhir tersebut untuk bertanding pada peringkat akhir yang berlangsung pada 23 Jun 2018 bertempat di Sunway Velocity Mall bagi menentukan tiga tempat teratas.

Juara akan membawa pulang hadiah bernilai sehingga RM50,000 iaitu terdiri daripada produk keluaran JBL serta wang tunai bernilai RM8,000. Malah juara pertandingan ini juga akan turut dipilih sebagai duta ‘JBL Rising Star’ di mana beliau akan membuat penampilan di semua kempen atau aktiviti JBL selama setahun. Selain tiga pemenang utama, peserta juga berpeluang untuk membawa pulang dua anugerah khas iaitu ‘Anugerah Penyertaan Dalam Talian Paling Popular’ dan juga ‘Anugerah Persembahan Terbaik’.

Penyertaan pertandingan ‘JBL Rising Star Singing Competition 2018’ ini bermula dari hari ini sehingga 24 April 2018 nanti. Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook rasmi JBL Malaysia atau hubungi talian 03-5569 1387.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend