HUAWEI P40, P40 Pro, Dan P40 Pro+ Kini Rasmi – Banyak Teknologi Pertama Di Dunia Digunakan Comments Off on HUAWEI P40, P40 Pro, Dan P40 Pro+ Kini Rasmi – Banyak Teknologi Pertama Di Dunia Digunakan

HUAWEI P40, P40 Pro, dan P40 Pro+ akhirnya dilancarkan secara rasmi sebentar tadi menerusi penstriman atas talian. Ya, kali ini HUAWEI memperkenalkan tiga model untuk siri P40. Banyak ciri-ciri menarik telah dimuatkan pada ketiga-tiga peranti dan perubahan paling ketara adalah pada reka bentuk dan sistem kamera.

Baiklah, kita mulakan dengan reka bentuk. Semua model tampil dengan skrin penuh yang melengkung di setiap sisi iaitu kiri, kanan, atas, dan bawah. Teknologi ini dipanggil Quad-Curve Overflow Display.

HUAWEI P40 dilengkapi skrin 6.1-inci manakala P40 Pro dan P40 Pro+ dipadankan dengan skrin bersaiz 6.58-inci yang ketiga-tiganya Flex OLED QHD+ bernisbah 19.8:9. Skrin berteknologi baharu ini turut menawarkan kadar segar semula skrin 90Hz, sokongan HDR10+, serta pengimbas cap jari bawah skrin generasi baharu.

Daripada segi ketebalan bezel, HUAWEI mengatakan bezel pada ketiga-tiga peranti adalah jauh lebih nipis berbanding telefon mercu yang terbaru daripada Samsung dan juga Apple.

Pada bahagian belakang, P40 Pro+ didatangkan dengan panel belakang yang diperbuat daripada bahan tahan lasak yang dipanggil 5D Nano-Tech Ceramic yang mana menurut HUAWEI ianya sukar untuk calar dan retak. P40 Pro dan P40 Pro+ menyokong kalis air dan debu IP68 sementara P40 menyokong pensijilan IP53.

Sebut mengenai bateri, P40 dimuatkan bateri sebesar 3380mAh manakala P40 Pro dan P40 Pro+ masing-masing dengan bateri 4200mAh yang ketiga-tiganya menyokong pengecasan pantas 40W SuperCharge yang dilihat tiada naik taraf teknologi berbanding siri Mate 30. Namun pada kali ini siri P40 hadir dengan teknologi baharu pengecasan tanpa wayar 40W SuperCharge. Sementara pengecasan berbalik masih lagi dikekalkan.

Baiklah, kita akan beralih ke bahagian yang paling penting iaitu kamera. HUAWEI P40 tampil sistem trikamera, P40 Pro kuadkamera, dan P40 Pro+ pentakamera.

HUAWEI P40 memiliki konfigurasi kamera 50MP RYYB Ultra Vision Wide, 16MP Ultra Wide, 8MP telefoto 3x zum optikal, dan sensor suhu warna (LED flash).

HUAWEI P40 Pro pula dilengkapi sensor 50MP Ultra Vision Wide, 40MP Ultra Wide Cine (videografi), 12MP RYYB periskop 5x zum optikal, dan sensor ToF diikuti sensor suhu warna.

HUAWEI P40 Pro+ menyusunkan kamera yang jauh lebih baik menerusi sensor 50MP RYYB Ultra Vision Wide, 40MP Ultra Wide Cine, 8MP periskop 10x zum optikal, 8MP telefoto 3x zum optikal, serta kamera ToF termasuklah sensor suhu warna.

Untuk pengetahuan anda, sensor 50MP RYYB bersaiz 1/1.28″ (Galaxy S20 1/1.33 RGGB) merupakan sensor terbesar yang ada pada telefon pintar pada ketika ini. Ia mampu menarik 40% lebih banyak cahaya berbanding telefon pintar lain. Jadi, ini bermakna siri P40 mampu merakam gambar malam yang lebih terang dan terperinci.

Menurut HUAWEI, siri P40 mampu merakam gambar malam 200% lebih terang berbanding iPhone 11 Pro Max. HUAWEI juga menggunakan teknologi Full Pixel Octa PD AutoFocus yang pertama di dunia yang mampu memfokus lebih pantas objek walaupun dalam persekitaran gelap. Teknologi 8 Color Channel turut digunakan bagi menghasilkan 45% ketepatan warna – naik taraf daripada 3 Color Channel pada siri P30.

Teknologi seterusnya pula adalah XD Fusion Image Engine yang menyertakan sistem ISP terbaru yang membantu kamera menggabungkan gambar-gambar yang diambil bagi mendapatkan gambar terakhir yang terbaik. Sensor RYYB ini juga merupakan yang pertama digunakan pada telefon pintar.

Daripada segi zum, P40 Pro menyokong 5x zum optikal, 10x zum hibrid, dan 50x zum digital sementara P40 Pro+ menyokong sehingga 10x zum optikal, 20x zum hibrid, dan 100x zum digital. HUAWEI turut memperkenalkan ciri penggambaran yang dipanggil Golden Snap. Ciri ini adalah ciri yang mana peranti akan memilih gambar yang terbaik untuk pengguna gunakan.

Selain itu, Golden Snap juga merangkumi ciri penyuntingan gambar segera, memudahkan pengguna menyunting gambar hanya dengan sekali butang ditekan.

  • AI Remove Passersby – membolehkan pengguna memadam gambar orang yang melintas di belakang.
  • AI Remove Reflection – membolehkan pengguna memadam kesan pantulan jika gambar diambil disebalik cermin.

Pada kamera depan, siri P40 hadir dengan sistem penggambaran 32MP AF (P40 – 32MP FF), sensor IR Depth/Gesture Camera (untuk efek pro-bokeh), dan sensor Ambient & Proximity untuk Face Unlock dalam gelap. Kewujudan sensor tambahan turut membolehkan pengguna menggunakan ciri Small Gesture Control selain AI Private View yang akan mempamerkan notifikasi hanya kepada pemilik peranti.

Untuk videografi, ia menyokong ciri antaranya zum audio, video telefoto, 4K 60fps, 4K HDR+ Time-Lapse dengan SuperZoom, dan video dwi-pandangan (ultralebar+close up). Kesemua rakaman video dibantu dengan teknologi tiga mikrofon bagi menghasilkan video yang lebih realistik.

Siri HUAWEI P40 dikuasakan cip pemproses Kirin 990 5G yang kesemuanya hadir dengan sokongan 5G. Terdapat slot dwi-SIM (SIM 1+SIM 2/NM Card) disamping sokongan eSIM dan WiFi 6 Plus yang dapat menarik data sehingga 2400Mbps (160MHz pada frekuensi 5Ghz)

Peranti ini dijalankan di atas sistem EMUI 10.1 berasaskan Android 10. Menurut HUAWEI antaramuka terbaru ini mempunyai lebih banyak tema untuk dipilih. Selain itu, HUAWEI juga menyertakan sistem bantuan arahan suara yang dinamakan “Hey Celia” iaitu mirip seperti “Hey Siri” pada iOS.

HUAWEI juga mengubah suai ciri Always-On-Display yang mana kini AOD hadir dengan pelbagai pilihan animasi 3D baharu. Ciri seterusnya pula adalah Multi-Window iaitu ciri yang membolehkan pengguna membuat pelbagai perkara di pisahan-skrin. Sementara ciri Multi-Device pula adalah fungsi yang membenarkan pengguna mengawal alat elektronik di sekeliling dari telefon pintar.

Terakhir sekali ialah HUAWEI MeeTime iaitu aplikasi panggilan video berdefinisi tinggi 1080p yang dapat digunakan di kalangan pengguna HUAWEI untuk berhubung.

Sekali lagi, siri HUAWEI P40 tidak didatangkan dengan GMS sebaliknya digantikan dengan HMS (HUAWEI Mobile Service). HUAWEI memberitahu bahawa mereka telah bekerjasama dengan 1.3 juta pembangun dari seluruh dunia untuk memperluaskan penggunaan HMS di kalangan pengguna HUAWEI di 170 lebih negara.

Sebelum kita akhiri dengan tanda harga, siri HUAWEI P40 muncul dalam pilihan warna baharu.

  • P40 – Iced White, Deep Sea Blue, dan Black (kemasan Matte)
  • P40 Pro – Silver Frost (Matte) dan Blush Gold
  • P40 Pro+ – Ceramic White dan Ceramic Black

HUAWEI P40 akan mula dijual di Eropah pada 7 April 2020 manakala P40 Pro dan P40 Pro+ bakal menyusul pada bulan Jun depan. Harga yang ditawarkan juga memang mahal memandangkan cukai di Eropah yang tinggi. Apa yang pasti di Malaysia nanti akan lebih murah.

  • P40 (8GB+128GB) – Euro €799 (~RM3839
  • P40 Pro (8GB+256GB) – Euro €999 (~RM4800)
  • P40 Pro+ (8GB+512GB) – Euro €1399 (~RM6722)
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend