HUAWEI Mate Xs Dilancarkan Dengan Skrin OLED Boleh Lipat 8″, Kirin 990 5G Dan 55W SuperCharge Comments Off on HUAWEI Mate Xs Dilancarkan Dengan Skrin OLED Boleh Lipat 8″, Kirin 990 5G Dan 55W SuperCharge

Seperti yang telah dijanjikan, HUAWEI kini telahpun melancarkan telefon pintar generasi keduanya iaitu HUAWEI Mate Xs untuk pasaran global. Walaupun hadir dengan rekaan mirip seperti model pertamanya yang dilancarkan pada tahun lepas, Mate Xs kini menerima penambahbaikan pada sokongan rekaan fizikal, spesifikasi dan juga fungsinya.

HUAWEI Mate Xs dilengkapi tiga mod skrin OLED berbeza iaitu skrin penuh pada panel depan berukuran 6.6 inci (2480 x 1148 piksel) dan juga skrin kedua 6.38 inci (2480 x 892 piksel) pada panel belakang yang boleh digunakan untuk swafoto. Apabila skrin lipat ini dibuka, ia tersedia dengan paparan skrin utama sebesar 8.0 inci (2480 x 2200 piksel).

Bagi memastikan ketahanan skrin yang lebih baik, Mate Xs turut menyokong dua lapisan Optical Polyimide yang 80% lebih tahan berbanding hanya satu lapisan. Menurut HUAWEI, teknologi ini dikatakan 3x lebih mahal berbanding emas.

Rekaan engsel Falcon Wing yang diperbaharui pada Mate Xs telah diperbuat berasaskan Zirconium, dan dikatakan 30% lebih tahan lasak jika dibandingkan dengan Aloi Titanium.

Prestasi Mate Xs juga telah dipertingkatkan dengan sokongan cipset Kirin 990 5G yang sebelum ini telah diperkenalkan pada model Mate 30 Pro 5G. Berbeza dengan Kirin 980 + Balong 5000 pada Mate X, ia kini menjanjikan peningkatan 23% untuk CPU, 39% untuk GPU dan 460% untuk NPU (AI).

Sokongan cipset ini secara tidak langsung membolehkan Mate Xs untuk menyokong lebih banyak jalur 5G global. Tidak cukup dengan itu, penggunaan cipset yang lebih efisien ini turut menjanjikan ketahanan bateri mencecah sehingga 7.5 jam untuk penggunaan 5G yang agak berat.

Sama seperti Mate X, Mate Xs turut dilengkapi dengan kapasiti bateri 4500mAh dan juga teknologi pengecasan pantas HUAWEI SuperCharge 55W yang boleh mengecas 2.3 kali lebih pantas berbanding Galaxy Fold 5G (4235mAh).

Keupayaan penggambaran Mate Xs telah dibantu oleh sokongan kuad kamera beresolusi 40MP SuperSensing (27mm, f/1.8, RYYB) + 8MP (Telephoto, 80mm, f/2.4, OIS) + 16MP (Ultra Wide, 17mm, f/2.2) + ToF (3D Depth Sensing). Dengan sokongan OIS + AIS, ia mampu menyokong 3x zum optikal dan sehingga 30x zum digital.

Dioperasikan dengan EMUI 10 (Android 10), Mate Xs turut menyokong fungsi Always-on Display dengan pelbagai pilihan tema berbeza, mod gelap baharu untuk skrin penuh, dan juga rekaan Multi-Window yang kini menyokong pengoperasian beberapa aplikasi serentak dengan ciri drag & drop.

HUAWEI Mate Xs ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu 8GB + 512GB, dan ia tersedia dalam warna Interstellar Blue pada harga EUR2,499 atau kira-kira RM11,429. Sebagai rujukan harga jualan telefon pintar di Eropah adalah lebih mahal kerana ia melibatkan cukai dan juga caj tambahan yang sangat tinggi.

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend