Huawei Mate X Kini Rasmi Sebagai Telefon Pintar 5G Dengan Skrin Boleh Lipat Yang Pertama Di Dunia Comments Off on Huawei Mate X Kini Rasmi Sebagai Telefon Pintar 5G Dengan Skrin Boleh Lipat Yang Pertama Di Dunia 721

Sebagaimana yang kita sedia maklum, siri Huawei P30 tidak akan diperkenalkan dalam acara MWC 2019 nanti kerana ia akan dilancarkan dalam acara berasingan pada bulan Mac nanti. Tetapi seperti yang kami telah kongsikan sebelum ini, Huawei telah memeriahkan lagi acara ini dengan pelancaran telefon pintar skrin boleh lipat pertamanya iaitu Huawei Mate X.

Tampil dengan rekaan engsel yang dikenali sebagai Falcon Wing Mechanical Hinge, Huawei Mate X telah dilengkapi dengan cipset modem 7nm daripada Balong 5000 untuk sokongan rangkaian 5G. Peranti ini boleh digunakan sebagai telefon pintar dengan skrin berukuran 6.6 inci (6.38 inci untuk panel belakang), dan apabila dibuka ia boleh digunakan sebagai tablet 8.0 inci yang sangat nipis iaitu hanya 5.4mm.

Huawei Mate X yang hadir dengan paparan OLED fleksibel ini turut menyokong bateri berkapasiti 4500 mAh dengan teknologi pengecasan Huawei SuperCharge 55W yang terpantas di dunia. Ini secara tidak langsung membolehkan baterinya dicas ke 85% dalam tempoh hanya 30 minit sahaja.

Apabila paparan skrin digunakan dalam mod tablet, Huawei Mate X berupaya menjanjikan pengalaman produktiviti yang jauh lebih baik kerana anda bebas untuk menggunakan fungsi leret dan lepas dari satu tetingkap ke satu tetingkap yang lain dalam mod split-screen. Malah kedua-dua bahagian skrin juga boleh digunakan apabila paparan skrin dilipat.

Tidak cukup dengan itu, Huawei Mate X juga hadir dengan butang kuasa yang telah diintegrasikan sekali dengan sensor pengimbas cap jari bagi memudahkan anda untuk mengakses peranti dengan hanya satu klik sahaja. Ia juga tersedia dengan dua slot kad SIM yang menyokong sambungan 4G dan juga 5G.

Dari segi keupayaan penggambaran pula, ia telah tersedia dengan tiga lensa LEICA beresolusi 40MP (Wide Angle lens) + 16MP (Ultra Wide Angle lens) + 8MP (Telephoto). Sokongan dua panel skrin membolehkan anda untuk mengambil gambar swafoto dengan menggunakan konfigurasi kamera yang sama.

Huawei Mate X yang dikuasakan dengan pemproses Kirin 980 dengan kombinasi konfigurasi memori 8GB + 512GB akan ditawarkan dalam warna Interstellar Blue. Ia akan dijual pada harga €2,299 (kira-kira RM10,616) bermula pertengahan tahun 2019 nanti.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend