Huawei Enjoy Max Dan Enjoy 9 Plus Dengan Rekaan Takuk Berbeza Kini Dilancarkan Secara Rasmi Comments Off on Huawei Enjoy Max Dan Enjoy 9 Plus Dengan Rekaan Takuk Berbeza Kini Dilancarkan Secara Rasmi

Selain telah menjadualkan pelancaran siri Huawei Mate 20 yang akan berlangsung pada malam ini, Huawei juga telahpun melancarkan dua lagi model keluarannya yang kurang mendapat publisiti berbanding peranti flagship itu. Dua model yang dimaksudkan adalah Huawei Enjoy Max dan juga Enjoy 9 Plus yang masing-masing tampil dengan rekaan takuk yang berbeza.

Huawei Enjoy Max

Dilengkapi dengan panel IPS LCD berukuran 7.12 inci dengan resolusi FHD+ (2244 x 1080 piksel), Huawei Enjoy Max menyokong rekaan takuk yang lebih kecil mirip seperti titisan air. Apa yang lebih istimewanya, paparan skrin Enjoy Max ini juga turut mendapat pensijilan TUV Rheinland yang disahkan tidak membahayakan kesihatan pengguna. Saiz skrin yang besar ini turut mendorong kepada saiz kerangka yang agak besar iaitu mencecah 177.57 x 86.24 x 8.48mm dengan berat 210g.

Enjoy Max turut dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 660 yang telah dioperasikan dengan antaramuka EMUI 8.2 berasaskan Android 8.1 Oreo. Terdapat dua varian ditawarkan iaitu 4GB + 64GB serta 4GB + 128GB, dan turut dilengkapi dengan slot kad microSD.

Rekaan panel belakang yang unik dengan kemasan seperti kulit ini telah menempatkan bateri berkapasiti 5000 mAh, sensor pengimbas cap jari, dwi kamera utama beresolusi 16MP (f/2.0) + 2MP (f/2.4), speaker Dolby Atmos dengan Histen 5.0, dan juga kamera hadapan beresolusi 8MP (f/2.0).

Ditawarkan dalam tiga warna iaitu Sky White, Magic Night Black dan Amber Brown, Huawei Enjoy Max akan dijual bermula 20 Oktober untuk varian 64GB dengan harga jualan CNY1699 (kira-kira RM1020) dan varian 128GB berharga CNY1999 (kira-kira RM1200) pula akan dijual bermula 1 November nanti.

Huawei Enjoy 9 Plus

Memiliki saiz skrin IPS LCD yang lebih kecil berukuran 6.5 inci FHD+ (2340 x 1080 piksel), Huawei Enjoy 9 Plus tampil dengan saiz kerangka yang lebih kecil berukuran 162.4 x 77.1 x 8.05mm. Malah rekaan takuknya juga tampil lebih besar yang juga turut mendapat pengiktirafan pensijilan TUV Rheinland yang mampu menapis cahaya biru yang berbahaya.

Enjoy 9 Plus akan dikuasakan dengan pemproses baharu iaitu Kirin 710 yang juga diperkenalkan dalam dua varian berbeza iaitu 4GB + 64GB dan juga 4GB + 128GB. Dioperasikan dengan antaramuka EMUI 8.2 berasaskan Android 8.1 Oreo, ia menyokong bateri lebih kecil berkapasiti 4000 mAh.

Keupayaan penggambarannya hadir dengan dwi kamera beresolusi 13MP (f/1.8) + 2MP dan juga dwi kamera hadapan beresolusi 16MP (f/2.0) + 2MP. Walaupun tidak menyokong audio Dolby Atmos, ia masih dilengkapi dengan teknologi Histen 5.0. Huawei Enjoy 9 Plus akan ditawarkan dalam empat warna iaitu Sakura Pink, Sapphire Blue, Magic Night Black dan juga Aurora Purple.

Varian 64GB akan dijual pada harga CNY1499 (kira-kira RM900) pada 20 Oktober, manakala varian 128GB pula akan dijual pada harga CNY1699 (kira-kira RM1020) bermula 25 Oktober.

Miliki telefon pintar Huawei set Malaysia pada harga di bawah RM1,000:

Baca juga:

Ketirisan Imej Rasmi Huawei Enjoy Max Memperlihatkan Skrin 7.12″ Dengan Rekaan Takuk Kecil

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend