
Berikutan penyenaraian jenama HUAWEI dalam Senarai Entiti oleh kerajaan Amerika Syarikat, peranti baharu keluaran HUAWEI yang diperkenalkan di pasaran tidak lagi disertakan dengan sokongan aplikasi daripada Google, atau lebih tepat Google Mobile Services (GMS).
Melalui temu bual antara Economic Times dengan Charles Peng selaku CEO Bahagian Perniagaan Pengguna HUAWEI dan HONOR India, HUAWEI akan mula melancarkan HUAWEI Mobile Services (HMS) untuk digantikan dengan GMS pada telefon pintar keluarannya pada penghujung tahun 2019 ini.
Selain memastikan sokongan aplikasi utama seperti navigasi, pembayaran, permainan dan permesejan, HUAWEI juga dilaporkan akan memastikan 150 aplikasi popular di pasaran boleh disokong pada kedai aplikasi miliknya. Bagi memastikan ekosistem HMS yang lebih baik, HUAWEI akan membangunkan aplikasi alternatif untuk GSM seperti Google Maps, Gmail, Google Pay, YouTube, Play Store dan Play Games.
Di dalam laporan berasingan, HUAWEI juga dijangka akan menjual lebih daripada 230 juta unit telefon pintar keluarannya pada penghujung tahun 2019 ini. Bahkan sebelum ini HUAWEI berjaya menjual sebanyak 200 juta unit telefon pintar pada bulan Oktober 2019, iaitu 64 hari lebih cepat berbanding rekod yang sama pada tahun lepas.
We’ve just exceeded 200 mil shipments in 2019 🎉
64 days earlier than in our previous year!
Our thanks and appreciation goes out to everyone for your support – as we keep striving to improve technology for all #Huawei #MakeItPossible pic.twitter.com/gPs9pnmMyJ— Huawei Mobile (@HuaweiMobile) October 23, 2019
Sekiranya HUAWEI berjaya mencatatkan rekod jualan mencecah 230 juta unit, ia dilihat akan memberi saingan sengit terhadap jenama Samsung yang meletakkan sasaran untuk menjual 250 juta unit telefon pintar untuk pasaran global.