
Hari ini HTC secara rasmi telah melancarkan HTC U12+ yang menampilkan rekaan skrin Super LCD6 bernisbah 18:9 tanpa takuk sebesar 6.0 inci dengan resolusi 2280 x 1440 piksel (537 ppi). Kualiti paparannya juga kini telah dipertingkatkan dengan sokongan HDR10 dan juga DCI-P3 yang mampu memaparkan gamut warna yang lebih luas. Ia juga dilengkapi dengan ciri kalis air dengan pengiktirafan IP68 dan juga bateri berkapasiti 3500 mAh.


Keupayaan penggambaran HTC U12+ menampilkan sokongan dwi kamera utama beresolusi 12 Megapiksel UltraPixel sensor serta lensa kedua beresolusi 16 Megapiksel yang boleh digunakan untuk fungsi 2x zum optikal. Kamera belakangnya juga disediakan dengan aperture f/1.8, teknologi penstabilan OIS, dan juga dua jenis fokus iaitu PDAF serta Laser.

Penggambaran swafoto pada model terbaru ini juga diperhebatkan dengan dua kamera beresolusi 8 Megapiksel yang mampu menghasilkan mod potret dengan efek bokeh yang lebih baik. Spesifikasi lain yang disokong oleh HTC U12+ termasuklah pemproses Qualcomm Snapdragon 845, Android 8.0 Oreo (bakal sokong kemas kini Android P), RAM berkapasiti 6GB, pilihan ruang storan 64GB atau 128GB, dan juga sistem Edge Sense 2 untuk akses pantas aplikasi.