Google Pixel XL Berhadapan Dengan Isu Arus Pengecasan Berlebihan Selepas Dikemaskini Ke Android 8.1 Oreo Comments Off on Google Pixel XL Berhadapan Dengan Isu Arus Pengecasan Berlebihan Selepas Dikemaskini Ke Android 8.1 Oreo

Kemas kini diperkenalkan pada sesebuah telefon pintar kebiasaannya didorong oleh beberapa sebab utama seperti memastikan prestasi atau kestabilan pengoperasian yang lebih baik, memperbaiki atau mengatasi sebarang isu yang dihadapi pada versi sebelumnya, ataupun penyediaan fungsi ataupun ciri-ciri baharu untuk peranti tersebut.

Namun ada di antara versi kemas kini yang diperkenalkan menyebabkan timbulnya isu lain yang tidak sepatutnya. Perkara ini turut terjadi pada generasi pertama telefon pintar keluaran Google iaitu Pixel XL selepas ia dikemaskinikan ke Android 8.1 Oreo. Ada di antara pengguna telah berhadapan dengan isu pengecasan arus yang lebih dari sepatutnya.

Menurut mereka, Google Pixel XL yang diperkenalkan pada tahun 2016 itu mencatatkan input pengecasan mencecah sehingga 25W (9V2.8A) walaupun palam kuasa dan kabel USB yang didatangkan sekali dengan pakej pembelian digunakan. Input pengecasan maksimum yang sepatutnya disokong oleh Google Pixel XL hanya setakat 18W (9V2A) sahaja.

Arus pengecasan yang berlebihan ini dikhuatiri mampu menyebabkan Google Pixel XL itu rosak sekiranya dicas berulang kali untuk satu tempoh tertentu. Jadi bagi mengatasi masalah ini, pemilik peranti itu disarankan untuk menggunakan palam kuasa dengan output pengecasan yang lebih rendah, sementara menunggu kemas kini baharu dari Google nanti.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend