Google Pixel 3 Dan Pixel 3 XL Diperkenalkan – Satu Kamera Belakang, Dua Kamera Depan Berkuasa AI Comments Off on Google Pixel 3 Dan Pixel 3 XL Diperkenalkan – Satu Kamera Belakang, Dua Kamera Depan Berkuasa AI

Google Pixel 3 dan Pixel 3 XL akhirnya diperkenalkan secara rasmi dalam acara khas Google semalam. Pandang pertama, tiada yang menarik pada peranti ini kerana rekaan yang ditampilkan adalah minimal. Pihak Google cuma mengubah sedikit rupa luaran dan yang paling penting, kamera utama masih lagi kekal tunggal.

Pixel 3 hadir dengan skrin 5.5-inci sementara Pixel 3 XL didatangkan dengan skrin 6.3-inci. Untuk model bersaiz besar, skrin paparan kini hadir dengan takuk menjadikan nisbah skrin-ke-kerangka lebih tinggi berbanding generasi terdahulu. Seperti panel OLED lain, kedua-dua peranti menyokong ciri HDR, Always On Dislay, serta Color Mode selain dilindungi panel Corning Gorilla Glass 5 depan dan belakang.

Google Pixel 3 XL – Clearly White

Pixel 3 memiliki kapasiti bateri sebesar 2,915mAh, manakala Pixel 3 XL dimuatkan bateri yang lebih kecil berbanding terdahulu iaitu sebesar 3,430mAh. Kedua-duanya menyokong teknologi pengecasan pantas tanpa wayar berkuasa 10W menerusi Google Pixel Stand. Google memberitahu, alat ini juga boleh dijadikan sebagai Google Home, bingkai foto, atau jam penggera.

Pada bahagian kamera, Pixel 3 dilengkapi sensor penstabilan imej optikal 12.2MP dengan aperture f/1.8. Kali ini, Google telah memasukkan integrasi kecerdasan buatan untuk penggambaran yang lebih kemas serta cantik. Seperti contoh, peranti ini kini menawarkan ciri Top Shot untuk cadangan gambar terbaik, mod Photobooth yang membolehkan gambar diambil secara automatik apabila pengguna senyum, dan Super Res Zoom untuk foto lebih terperinci. Bagaimanapun, untuk ciri penggambaran malam Night Sight, ia akan diberikan pada kemas kini akan datang.

Google Pixel 3 – Not Pink

Berbanding belakang yang menggunakan satu kamera, Pixel 3 telah hadir dengan sistem dwi kamera depan 8MP. Satu lensa untuk rakaman normal dan satu lagi lensa untuk penggambaran bersudut luas. Kedua-dua lensa menyokong ciri penstabilan imej digital.

Pixel 3 dan Pixel 3 XL dijana Android Pie, cip pemproses Qualcomm Snapdragon 845, memori 4GB RAM, dan pilihan storan 64GB atau 128GB. Malangnya, tiada slot untuk kad microSD. Bagi menambah perisa pada peranti ini, ia menerima sokongan kalis air dan debu IP68.

Siri kali ini didatangkan dengan warna baharu Clearly White, Just Black, dan Not Pink. Dua peranti ini akan dijual di AS terlebih dahulu pada harga bermula USD800 (~RM3322) untuk Pixel 3 dan USD900 (~RM3738) untuk Pixel 3 XL.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend