
Google Home sememangnya sangat praktikal jika digunakan sepenuhnya kerana ia berupaya memberikan maklumat yang cepat dalam cara yang mudah iaitu melalui pengaktifan suara sahaja. Melalui fungsi terbaru yang telah diperkenalkan oleh Google untuk speaker pintar Google Home, kini ia berupaya menjawab soalan berangkai yang diajukan oleh pengguna tanpa perlu pengaktifan suara ‘OK, Google’.

Fungsi terbaru yang dikenali sebagai Continue Conversation ini sudah boleh digunakan pada speaker pintar Google Home seperti Home, Home Mini dan juga Home Max. Melalui sokongan fungsi ini, pengguna boleh bertanya ramalan cuaca untuk hari ini, diikuti dengan ramalan cuaca untuk esok tanpa perlu menyebut kata kunci iaitu ramalan cuaca kerana Google Home boleh memahami konteks soalan yang diajukan.

Walau bagaimanapun, fungsi Continue Conversation ini hanya tersedia untuk pengguna di Amerika Syarikat sahaja. Tidak mustahil juga sekiranya fungsi ini akan turut diperkenalkan pada Google Assistant untuk telefon pintar Android pada masa akan datang.